Tuesday, March 18, 2008

DEB DISALAHGUNA, DISELEWENGKAN - MENTERI BESAR SELANGOR

"dsjkamarul" dsjkamarul@gmail.com

DEB DISALAHGUNA, DISELEWENGKAN - TAN SRI KHALID IBRAHIM - MENTERI BESAR SELANGOR
"DEB disalahguna, diselewengkan" - Tan Sri Khalid
Nyza Ayob
Mon | Mar 17, 08 | 8:59:06 pm MYT

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Hrkh) - "Ramai yang menyatakan saya telah lupa tentang DEB kerana saya adalah antara yang menerima 'rahmat' daripada DEB. Semasa saya di PNB, saya melaksanakan dasar secara menyeluruh iaitu dasar untuk semua orang-orang Melayu. Saya berterima kasih dengan penerimaan tersebut, tetapi terdapat penyelewengan selepas ia dilaksanakan pada tahun 1970-an."

Demikian penegasan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengenai pendiriannya mengenai pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru yang dikatakan akan dihapuskan di bawah pentadbiran DAP di Pulau Pinang.

"Apabila tahun 1990-an, kita dapati DEB telah disalahgunakan yang hanya mementingkan segelintir masyarakat Melayu dan segelintir masyarakat Cina dan India yang mempunyai hubungan dengan Umno," katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Kediaman Rasmi Menteri Besar, di sini, hari ini.

Beliau juga mempersoalkan apakah gunanya dasar yang sepatutnya memberi kesan kepada seluruh rakyat tetapi tidak dilaksanakan dengan baik.

Katanya sekurang-kurangnya 53 peratus masyarakat Melayu di Selangor perlu dibangunkan, untuk bersaing di peringkat antarabangsa. Begitu juga masyarakat Cina yang perlu dibangunkan bagi mengembangkan perniagaan.

Sementara itu, menyentuh mengenai pentadbirannya di Selangor, beliau ingin membawa kemajuan di Selangor untuk semua kaum, bagi membuktikan KeADILan bukan sahaja parti politik yang bergerak secara diplomatik tetapi dapat mentadbir dengan bersih cekap dan amanah.

Jelasnya, Selangor memiliki cukup sumber untuk dinikmati oleh semua bangsa terutama kepada mereka yang memerlukan tetapi ia perlu ditadbir dengan berkesan dan bebas daripada gejala rasuah dan penyelewengan kuasa.

Katanya, Selangor kini menyumbang 35 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan memperoleh pendapatan per kapita setaraf denagn negara maju iaitu AS$10,000 hingga AS$15,000 (US1=RM3.20) .

Katanya lagi, orang-orang Melayu akan dibangunkan supaya mereka boleh bersaing bukan sahaja di Selangor tetapi di peringkat antarabangsa. Manakala Masyarakat Cina juga akan dibangunkan supaya mereka dapat mengembangkan perniagaannya untuk meraih peluang daripada kebangkitan China sebagai satu gergasi ekonomi dunia.

Khalid juga berjanji tidak akan mengabaikan golongan setinggan.Beliau juga menekankan, dalam tempoh 10 tahun masyarakat India di Selangor tidak lagi menetap di kawasan estet. Kawasan estet ini juga akan turut dibangunkan agar masyarakat India tidak lagi ketinggalan dalam arus pembangunan di Selangor.

Air secara percuma untuk rakyat Selangor

Dalam pada itu, sewaktu ditanya mengenai pembekalan air secara percuma sebanyak 20 meter padu, beliau menjelaskan akan mengkaji semula perjanjian yang ada di antara kerajaan negeri dengan pemegang konsesi bekalan air di negeri itu.

Katanya, kajian semula itu perlu untuk memastikan janji manifesto Parti Keadilan Rakyat (PKR) dapat dilaksanakan untuk kemudahan penduduk negeri ini.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan tarikh sebenar pelaksanaan program itu berikutan terdapat beberapa perkara membabitkan perjanjian dan rundingan di antara kerajaan negeri dan pemegang konsesi bekalan air.

Katanya perjanjian yang telah dibuat baru-baru ini antara Puncak Niaga Holdings Bhd (PNHB), Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dan kerajaan Selangor untuk membetulkan loji bekalan air juga menimbulkan tanda tanya.

"Terdapat ketidak seimbangan antara hasil yang diberi kepada negeri dan rakyat dan saya dapati ia memperkayakan orang yang mendapat konsesi iaitu PNHB. Oleh sebab itu saya akan membuat semakan mengenai perkara ini,"katanya.

Bebaskan Selangor daripada rasuah

Sementara itu, Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang turut serta dalam sidang akhbar tersebut menyatakan Selangor merupakan negeri kedua yang dikunjunginya sebaik sahaja pilihan raya berakhir.

Katanya, beliau menyambut baik hasrat Tan Sri Khalid melaksanakan tugasnya dengan melakukan lawatan di pinggir kota serta kawasan perumahan yang bermasalah.

Jelasnya, bagi memacu pertumbuhan ekonomi di Selangor, tumpuan juga harus menjurus untuk kepentingan rakyat. Selain itu katanya, agenda ekonomi Malaysia menekankan isu pentadbiran yang baik dan cekap serta bertanggungjawab (accountability) dan membebaskan negeri Selangor daripada sebarang bentuk rasuah.

"Kepentingan antara kedudukan politik dengan perniagaan juga harus dipisahkan. Tradisi yang dijalankan oleh pimpinan Umno selama ini juga harus dihentikan. Pemimpin-pemimpin ini jika dilihat kekayaan mereka luar biasa,"katanya.

MB Selangor lawat ke rumah PPRT

Dalam perkembangan lain, sebaik sahaja selesai sidang akhbar tersebut, Tan Sri Khalid dan Dato' Seri Anwar Ibrahim melakukan kunjungan ke rumah pangsa PPRT yang didiami bekas penduduk setinggan.

Dalam pertemuan singkat bersama kira-kira 200 orang penduduk itu, beliau menyatakan akan cuba menyelesaikan masalah penempatan yang dihadapi penduduk khususnya penduduk Kg Rimba Jaya yang rumah mereka dirobohkan tahun lepas.

Turut serta dalam pertemuan tersebut Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad; Adun Batu Tiga, Rodziah Ismail serta Datuk Bandar Shah Alam, Dato' Ramlan Othman. - mks.



*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: