Saturday, March 22, 2008

BBPM untuk selamatkan Umno

"Tegak Iman" tegakiman@yahoo.com

BBPM untuk selamatkan Umno
Saidah Hairan
Fri | Mar 21, 08 | 12:16:38 pm MYT
KUALA LUMPUR, 21 Mac (Hrkh) - Akibat kemerosotan sokongan orang Melayu terhadap politik Umno dalam keputusan pilihan raya, Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) diwujudkan konon mahu menyatukan orang Melayu tanpa mengira fahaman politik demi menjaga kepentingan bangsa dan memelihara kesucian agama Islam.

Gabungan 25 pertubuhan dan badan amal Melayu/Islam itu diketuai Osman Abu Bakar berperanan sebagai orang tengah akan mengadakan perhimpunan Melayu dan Islam bersandarkan roh sambutan Maulidur Rasul di Kuala Lumpur atau Putrajaya.

Sehubungan itu, AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman menyanggah tindakan BBPM kerana gabungan itu diwujudkan hanya kerana mahu menjaga kepentingan dan menyelamatkan politik Umno semata-mata.

Katanya, isu perpecahan di kalangan orang Melayu tidak timbul hanya sebahagian daripada mereka sudah tidak menyokong perjuangan BN lagi.

"Kenapa mengatakan orang Melayu lemah sedangkan dalam pilihan raya mereka menyokong PAS dan KeADILan," tegasnya.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Johor melihat agenda BBPM itu sengaja dirancang oleh Umno di saat sokongan orang Melayu terhadap parti mereka semakin lemah.

"Jika Umno kembali kuat dengan mendapat sokongan daripada orang Melayu saya pasti dan yakin mereka tidak lagi bercakap soal perpaduan sebaliknya mereka akan terus mengajak orang Melayu menyokong Umno," katanya.

Beliau mempersoalkan daripada sudut apakah yang menyebabkan orang Melayu lemah sedangkan majoriti negeri ditadbir orang Melayu termasuk tiga PAS dan satu KeADILan.

Memang tidak relevan jika BBPM mengatakan orang Melayu lemah, jika alasan DEB selama diwujudkan memang tidak banyak membantu orang Melayu, tegasnya.

Mazlan menambah, jika isu DEB dijadikan alasan untuk mendakwa orang Melayu lemah, sudah tiba masanya satu dasar ekonomi orang Melayu diwujudkan dengan pendekatan yang lebih telus. - tajdid


*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)