Tuesday, March 18, 2008

Awasi provokasi yang cuba cetuskan ketegangan kaum di Perak

"Tegak Iman" tegakiman@yahoo.com

Awasi provokasi yang cuba cetuskan ketegangan kaum di Perak
Johari Jaafar
Mon | Mar 17, 08 | 11:03:14 am MYT
IPOH, 17 Mac (Hrkh) - Rakyat di negeri ini khususnya warga Ipoh dinasihati agar tidak terpengaruh dengan provokasi pihak tertentu yang mengedarkan risalah menggunakan logo PAS dan kenyataan PAS Negeri Perak.

Risalah yang diedar di merata-rata tempat itu khususnya di taman-taman cuba membuat provokasi dengan meminta orang ramai menyokong kerajaan Islam yang bakal dibentuk nanti.

Risalah `haram' menyatakan Kerajaan Islam yang dibentuk nanti akan melaksanakan empat perkara, menghapuskan pusat hiburan di seluruh negeri Perak, menghapuskan pusat perjudian, menghapuskan penjualan arak di semua premis perniagaan dan melaksanakan hukum hudud apabila suasana politik benar-benar stabil.

Risalah itu juga dilihat sebagai provokasi yang boleh menjejaskan perpaduan kaum di negeri ini, malah orang yang menentang kerajaan PAS di Perak disifatjkan sebagai kafir.

"Risalah yang tersibar ini amat bahaya, ia boleh menggugat keharmonian kaum di negara ini, sedangkan kerajaan yang dibentuk nanti adalah kerajaan campuran bukan Kerajaan PAS," ujar Setiausaha Kerja PAS Perak, Khalilul Rahman Abdul Samad.

"Jelas sekali risalah arahan PAS Perak tidak ada tanda tangan pimpinan PAS Negeri, ini menunjukkan risalah `haram' itu sengaja dibuat oleh pihak-pihak tertentu yang tidak senang dan iri hati dengan kemenangan Barisan Alternatif dan DAP," katanya.

Beliau meminta orang ramai yang menerima risalah tersebut supaya tidak terpengaruh dengan dakyah jahat pihak tertentu yang mahu mencetuskan huru-hara di negeri ini.

Beliau tidak menolak kemungkinan risalah tersebut dicetak dan diedarkan oleh pihak Umno yang mahu menggagalkan pembentukan kerajaan campuran di negeri ini.

Pada pilihan raya umum ke-12 baru-baru ini DAP memenangi 18 kerusi, PKR tujuh kerusi dan PAS enam kerusi, bagi membolehkan pembentukan kerajaan campuran dengan majoriti mudah.

Selain risalah `haram' yang diedarkan itu, pihak tertentu dipercayai telah mengangkut semua barang dan perkakas dari dewan orang ramai di negeri ini sebaik sahaja mereka mengetahui BN `tumbang' di negeri ini pada 8 Mac lalu.

Mereka menyifatkan segala barang dan kelengkapan di dalam dewan orang ramai itu adalah milik Umno, sedangkan ia merupakan harta kerajaan.

Sehubungan itu PAS kawasan atau cawangan atau individu tertentu perlu membuat aduan kepada pihak polis sekiranya perbuatan seperti ini berlaku di kawasan mereka. - mns


*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: