Tuesday, March 25, 2008

Ahmad Said kumpul sokongan, Idris Jusoh makin terpinggir

"Tegak Iman" tegakiman@yahoo.com

Ahmad Said kumpul sokongan, Idris Jusoh makin terpinggir
Mat Zain Mat Isa
Tue | Mar 25, 08 | 10:03:24 am MYT
Sesiapa saja yang sempat menonton visual sambutan orang ramai atas kepulangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal, Dato' Ahmad Said ke rumahnya di Kemaman semalam sudah tentu bersetuju bahawa jumlah itu bukan sekadar seratus atau dua ratus orang.

Deretan orang ramai yang melambai kepada kenderaan dinaiki Ahmad dilihat di kiri-kanan jalan menuju ke rumahnya. Di pekarangan rumahnya, ratusan lagi manusia berkumpul menanti ketibaannya.

Menteri Besar Terengganu yang baru menerima watikah daripada Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) Terengganu, Ahad lalu malah diminta menyampaikan ucapan kepada hadirin. Suara sorakan dan tepukan hadirin tanda sokongan kepadanya bertingkah-tingkah sepanjang ucapan ringkasnya itu.

Visual itu disiarkan TV3 menerusi slot beritanya, Buletin Utama jam 8.00 malam tadi. Dalam laporannya, stesen tv itu turut menyebut bahawa para pemimpin kanan Barisan Nasional Bahagian Kemaman turut kelihatan berada di pekarangan rumah Ahmad.

Antara yang disebut ialah Ketua MCA Bahagian, Ketua Wanita dan Puteri Umno Bahagian, selain para pemimpin kanan Umno Bahagian.

Stesen tv sama pada malam sebelumnya ada menyiarkan satu demonstrasi di pekarangan kediaman rasmi Menteri Besar Terengganu, di Kuala Terengganu. Demonstrasi itu dikatakan dibuat pihak tertentu yang membantah tindakan MPPR melantik Ahmad sebagai Menteri Besar.

Mereka memegang sepanduk dan melaungkan kata sokongan kepada Dato' Seri Idris Jusoh, bekas Menteri Besar. Mereka menuntut agar Idris dikekalkan menerajui kerajaan negeri.

Menurut laporan tv itu, jumlah mereka yang hadir itu kira-kira 100 orang. Maklumat yang penulis terima dari seorang rakan yang turut meninjau perhimpunan haram itu memberikan anggaran serupa.

"Paling ramai pun, ada la 120 orang je kot," kata rakan dari Kuala Terengganu itu. Malah menurutnya, sebahagian besar yang hadir itu adalah konco-konco peribadi Idris dari Besut.

Mereka bukannya kalangan pemimpin kanan BN atau Umno peringkat negeri. Bukan juga dari kalangan ahli dan penyokong Umno serata negeri.

Apa sudah jadi kepada sokongan yang didakwa diperolehi Idris sebelum ini? Mahu tidak mahu, kita terpaksa percaya bahawa jumlah yang hadir menyatakan sokongan kepada Ahmad jauh lebih besar berbanding yang berhimpun untuk menyokong Idris.

Betul, Idris menerima sokongan majoriti Adun BN. Disebutkan kesemua mereka selain Ahmad dan Idris sendiri berdiri teguh di belakang Idris.

Soalnya, adakah ahli Umno di seluruh negeri dan para pengikut Adun-Adun itu semuanya berkongsi pendirian sebagaimana wakil-wakil rakyat mereka? Jika begitu keadaannya, masakan hanya 120 penyokong Umno dari Besut saja yang sanggup hadir menyatakan sokongan terbuka kepada Idris di saat genting sebegitu?

Apa yang nyata, Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu itu gagal mendapat sokongan para pemimpin kanan Umno negeri, termasuk timbalannya sendiri, Dato' Tengku Putera Tengku Awang.

Dalam satu kenyataannya disiarkan akhbar semalam, Tengku Putera bahkan mendakwa kesemua Ketua Umno Bahagian-Bahagian di Terengganu, kecuali Besut memberikan sokongan kepada Ahmad dalam kemelut yang sedang berlaku kini.

Katanya, selain beliau sendiri selaku Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu, turut menyokong pelantikan Ahmad, yang juga Ketua Umno Bahagian Kemaman, ialah Dato' Dr Rosli Mat Hassan (Dungun) dan Dato' Abdul Rahman Bakar (Marang).

Tengku Putera, Rosli dan Abdul Rahman ada sebab sangat munasabah untuk memushi Idris setelah ketiga-tiga mereka dicantas daripada senarai calon BN dalam pilihan raya umum baru-baru ini.

Turut didakwa memberikan sokongan kepada Adun Kijal itu ialah Dato' Mohd Nasir Ibrahim Fikri (Kuala Nerus) dan Dato' Mohd Jidin Shafee (Setiu). Ada pun Ketua Umno Bahagian Besut yang tidak menyokong pelantikan Ahmad adalah Idris sendiri.

Menilai dari perkembangan ini, sokongan yang didakwa diperolehi Idris dijangka tidak akan bertahan lama. Apabila penyokong akar umbi tidak bersedia berdiri teguh bersama seseorang pemimpin, alamatnya sudah sampai masa untuknya mengundurkan diri. - mr


*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: