Tuesday, February 19, 2008

SPR MASIH MENJADI ALAT PENIPUAN / Mesti tegur menegur

(SABTU HARI KUNING! / YELLOW SATURDAYS!)
(Cetak dan Sebarkan Berita Kepada Rakyat!)


PEDAS-PEDAS CILI API EDISI KHAS PRU-12 (2)
Oleh Cili Api - Laman M@RHAEN
SPR MASIH MENJADI ALAT PENIPUAN UMNO-BN
Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) bukan sebuah badan yang bebas. Ia masih menjadi alat Umno-Bn. Perdana Menteri DS Abdullah Badawi, dalam percubaan tidak bijaknya untuk menunjukkan SPR bebas, menyatakan bukan dia tetapi SPR yang menetapkan pilihanraya.

Geli hati Cili Padi seperti digaru-garu mendengar permata kata “sangat bijak” PM itu. Bukankah tarikh pilihanraya haya ditentukan selepas pembubaran Parlimen yang diumumkan oleh PM? Jadi, PM yang menentukannya. SPR hanya melaksanakan apa yang perlu dilaksanakan selepas itu.

Banyak komplen tentang wujudnya pengundi hantu. Mengikut telatah biasa pemimpin Umno, Pengerusi SPR menafikannya konon sebab tidak ada bukti yang dikemukakan kepadanya. Jikalau komplen dikeluarkan melalui akhbar pun, SPR sebenarnya WAJIB mesyiasat. Tetapi pada hakikatnya parti-parti politik dan Bersih sudahpun menghantar pelbagai dokumen dan memo kepada SPR dan juga PM. Mengapakah itupun tidak disiasat betul-betul?

Sebaliknya Setiausaha SPR cuba memperlekeh perkara ini dengan membuat lucu yang agak bebal. Beliau berkata tidak pernah dilihatnya hantu atau toyol yang kakinya tidak menjejak bumi datang mengundi. Cili Padi ingin mengingatkan perkara ini serius dan tidak patut diperlekehkan dengan lucu bebal.

Pengerusi SPR berbangga kerana sudah memenuhi tuntutan Bersih supaya digunakan kotak undi lut sinar. Ini saja tidak cukup. Jikalau datang pengundi luar yang menggunakan kad pengenalan seorang yang sudah mati, tetapi namanya masih dalam senarai pengundi, undi dia boleh dilihat apabila dimasukkan dalam kotak, akan tetapi undi itu tetap undi tipu atau undi hantu.

Dan apa hendak dibanggakan sangat jikalau cara memalit dakwat dijari atau kuku akan diperkenalkan, sesuai dengan tuntutan Bersih juga, seandainya masih ada pengundi tipu (nama lainnya pengundi hantu) yang datang mengundi dengan menggunakan kad pengenalan orang mati? Walau sebotol dkawat yang dicurah, namun undi yang dibuangnya tetap juga undi hantu, undi haram.

Pernah SPR mengumumkan bahawa pengundi pos tidak payah dipalit kuku atau jarinya dengan dakwat. Jadi, bolehlah seorang ketua polis atau pegawai tentera membuang undi bagi pihak semua atau sebahagian besar “anak buah” mereka. Hal ini selalu berlaku. Bukankah ini penipuan? Mengapakah SPR sampai sekarang tidak membenarkan wakil-wakil parti yang bertanding menyaksi proses membuang dan mengira undi pos polis dan tentera terutamanya.

Sekarang ini Cili Padi dengar pula palitan dakwat itu tidak wajib. Khabarnya pengundi boleh memilih untuk menolaknya. Jikalau ini benar, sudah tentulah pengundi yang menipu boleh memilih tidak mahu jari atau kukunya dipalit dakwat. Lepas itu dia bebas pergi ke pusat mengundi lain untuk membuang undi dengan mengggunakan kad pengenalan orang sudah mati yang lain pula. Dua kali undi hantulah!

Masha Allah Dolah. Mengapa dibenarkan penipuan berterusan?

15/02/2008
Kiriman: PKR-News - 17.02.2008



Tafsir al-Maidah ayat 79: Mesti tegur menegur
Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Thu | Feb 14, 08 | 3:42:43 pm MYT
Mesti ada tegur menegur antara satu sama lain. Sebagai contoh jika isteri melakukan maksiat, suami mestilah menasihatinya, begitulah sebaliknya.
Para ulama menyatakan bahawa orang yang menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran itu bukan semestinya meninggalkan maksiat. Ertinya, tidak menjadi masalah menunaikan suruhan amar makruf nahi mungkar walaupun seseorang itu melakukan maksiat.

Tangungjawabnya dalam soal mencegah kemungkaran, sudah ditunaikan sementara maksiat yang dibuat pula sudah pasti merupakan suatu dosa yang dikenakan ke atas perbuatan itu.

Perbuatan cegah mencegah antara satu sama lain tidak berlaku di kalangan kaum Bani Izrail. Cegah mencegah antara satu sama lain boleh berlaku antara ahli maksiat.

Misalnya, ada di kalangan kaki judi atau pencuri merasakan perbuatan mereka itu perlu ditinggalkan kerana ia tidak mendatangkan faedah satu pun melainkan menyusahkan orang lain. Lalu mereka nasihat mensihati antara satu sama lain sekali gus meninggalkan perbuatan berkenaan.

Ini bermakna bukan ahli maksiat itu tidak mengerti bahawa perbuatan yang mereka lakukan itu tidak baik tetapi nafsu bermaharajalela dalam diri mereka menyebabkan perbuatan itu masih menjadi amalan mereka.

Akhirnya dengan hidayah Allah mereka meninggalkan perbuatan jahat itu.

Menurut hukumnya sah menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran itu berlaku di kalangan orang yang melakukan maksiat.

Ini kerana sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud, "sesungguhnya kadang kala Allah menolong agama ini dengan perbuatan baik yang dilakukan oleh orang jahat."

Ini kerana apabila orang baik tidak berani, Allah jadikan orang jahat mencegah kemungkaran supaya penduduk sesuatu kampung itu tidak diturunkan bala.

Menjadi sebab turunnya bala ke atas umat zaman dahulu kerana tidak ada di kalangan mereka orang yang mencegah kemungkaran.

Di kalangan umat Muhammad pula, pernah berlaku Islam ditolong oleh orang fasik. Menyuruh perkara baik dan mencegah kemungkaran berlaku di kalangan mereka dan perbuatan itu dikira sah di sisi ulama.

Tidak menjadi syarat orang yang menyuruh melakukan perkara baik dan mencegah kemungkaran itu orang yang bersih daripada sebarang kejahatan dan maksiat.

Tidak dinafikan pentingnya sesiapa yang menyuruh berbuat baik dan mencegah kemungkaran itu orang yang bersih daripada maksiat tetapi tidak menjadi halangan kepada sesiapa sahaja yang ingin mencegah kemungkaran walaupun mereka sendiri melakukan maksiat.

Disebut di dalam hadis sahih di dalam kitab Riyadhus Solihin bahawa terdapat seorang lelaki pada hari kiamat, perutnya panjang berjela-jela dan diikat pula pada penunggul.

Kemudian perutnya diheret menggelilingi penuggul tersebut seperti beruk mengheret tali di sekelilingnya.

Manusia mengerumuni mereka seraya bertanya, "kenapa kamu dijadikan sedemikian rupa sedangkan di dunia dahulu kamulah orang yang sedap bercakap dan kamu ini seorang ustaz yang kerja kamu mencegah orang daripada melakukan maksiat dan menyuruh mereka melakukan kebaikan?"

Lalu dia menjawab,"aku menyuruh orang buat baik tetapi aku sendiri tidak melakukannya. Inilah balasan yang Allah berikan kepada aku."

Yang melakukan maksiat, Allah akan menghukum dan memberi balasan setimpal dengan perbuatannya. Bagaimanapun kewajipan amar makruf nahi mungkar suatu tanggungajawab yang mesti ditunaikan oleh sesiapa sahaja di kalangan umat Islam.

Berlaku pada zaman dahulu, seorang raja yang tabiatnya suka minum arak. Walaupun demikian dia tetap mengharamkan arak dan menghukum rakyatnya yang meminum minuman memabukan itu. Tetapi dia sendiri adalah peminum arak, masih tidak meninggalkan perbuatan haram tersebut.

Ertinya perbuatan menyuruh kepada perkara yang baik dan mencegah kemungkaran hendaklah dilakukan oleh umat Islam.

Dalam hadis yang lain diriwiyatkan oleh Imam Ahmad bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah, tidak mengazab orang ramai dengan perbuatan yang dilakukan oleh orang yang khusus (Allah tidak mengazabkan orang ramai apabila ada golongan tertentu mengerjakan maksiat di kalangan mereka) sehinggalah mereka melihat maksiat berlaku di kalangan mereka sedangkan mereka mampu mencegahnya tetapi tiba-tiba mereka tidak mencegahnya. "

Apabila berlaku demikian Allah Ta’ala mengazabkan orang yang khusus (tertentu) mengerjakan maksiat dan orang ramai yang tidak melakukan maksiat turut sama ditimpakan azab."

Ini adalah amaran yang keras daripada Nabi s.a.w. - lanh

(BERSIH! Kuala Terengganu, 22 February!)


HARI SABTU PAKAI KUNING! / WEAR YELLOW ON SATURDAYS!
Lawati laman 10November di http://10nov. himpunan. info/
Lawati laman Bersih di http://bersih. org/


*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: