Monday, February 18, 2008

Politik Bangkangan Dalam Islam - Eksklusif dari AL-AHKAM.net

"izz5623" izz5623@yahoo.com

Bangkangan politik wajib kepada individu dan juga perkumpulan. Di
antara dalil yang menunjukkan setiap individu berkewajipan
berkecimpung dalam politik bangkangan ialah sabda baginda " Sesiapa
yang melihat kemungkaran, hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya.
Sekiranya ia tidak mampu hendaklah dengan lidahnya. Sekiranya tidak
mampu hendaklah dengan hatinya. Itulah selemah-lemah iman".Hadis
riwayat Muslim, Turmuzi, Ibnu Majah dan Ahmad.

Oleh Mohd Khairuddin Aman Razali

B.A Univ. of Jordan, M.A al Al Bayt University, Jordan.

www.darulfuqaha. com / www.syeikh-takiri. blogspot. com

Politik merupakan satu perkataan yang merujuk kepada polisi
pentadbiran dan pengurusan. Dalam konteks sebuah negara ia merupakan
teknik dan kaedah pentadbiran dan pengurusan urusan kenegaraan.
Politik pentadbiran negara merupakan sesuatu yang tidak dapat
dipisahkan dari Islam kerana seorang Muslim terikat dengan hukum hakam
dan peraturan Ilahi dalam mengurus dan mentadbir sesuatu apatah lagi
sebuah negara yang akan melibatkan pengurusan kehidupan manusia di
dalam pelbagai aspek kehidupan seperti sosial dan ekonomi.

Konsep ini sesuai dengan keadaan manusia sebagai "khalifah" di muka
bumi Allah. Persoalan "khilafah" ini merupakan matlamat penciptaan
manusia di bumi yang telah ditegaskan oleh Allah kepada para Malaikat
sebelum manusia pertama dicipta. Firman Allah bermaksud : " Dan
ingatlah peristiwa tatkala mana Tuhan kamu berfirman kepada para
Malaikat : Aku pasti meletakkan di muka bumi ini "khalifah". Para
Malaikat lantas bertanya(hikmahnya) : Adakah kamu akan jadikan di muka
bumi ini orang yang akan melakukan kerosakan di muka bumi dan
menumpahkan darah? Sedangkan kami sentiasa bertasbih dengan memuji
kamu dan mensucikan kamu? Allah berfirman: Aku tahu sesuatu yang kamu
tidak tahu". Al Baqarah : 30.

Imam Tobari menghuraikan maksud "khalifah" berasaskan riwayat yang
disebut oleh Ibnu Mas`ud dan Ibnu `Abbas dengan makna "wakil' dariKu
untuk mewakiliKu dalam memerintah antara makhlukKu. ( tafsir Tobari
juz 1, ms 237 ). Persoalan yang timbul adakah manusia bebas untuk
memerintah bumi menurut perkiraan nafsu dan akalnya yang cetek?
Jawapannya : Tidak! Malah manusia terikat dengan peraturan yang telah
ditetapkan oleh Allah kerana dia sendiri adalah "wakil" kepada Allah.
Bolehkah seorang wakil menyalahi peraturan orang yang diwakilinya?
Justeru konsep politik islam menuntut keterikatan manusia dengan hukum
hakam Allah dalam mengurus dan mentadbir muka bumi ini.

Ayat di atas menjadi dalil utama para ulama untuk menegaskan kewajipan
melantik seorang pemerintah yang akan ditaati untuk menjadi tempat
kesepaduan suara dan melaksanakan hukum hakam pemerintahan( Tafsir
Qurtubi juz 1, ms 251). Hukum kewajipan melantik pemerintah atau
kerajaan ini tidak menjadi khilaf di kalangan ulama. Pemerintah ini
diperlukan untuk menyelesaikan sebarang pertikaian di kalangan makhluk
dan melaksanakan peraturan Allah ke atas makhluknya. Justeru itulah
Allah menegaskan kewajipan taat kepada para pemerintah di dalam
firmanNYa bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman!Dan taatlah
kepada Allah, taatlah kepada Rasul dan Uli al Amr (yang mempunyai hak
membuat arahan) di kalangan kamu. Seterusnya jika kamu bertelingkah
dalam sesuatu perkara, hendaklah kamu kembali merujuk kepada Allah dan
Rasulnya sekiranya kamu beriman kepada Allah dan hari Akhirat. Itulah
yang terbaik dan seelok-elok tafisran". An Nisa': 59.

Imam Qurtubi menjelaskan ayat ini merupakan arahan kepada rakyat
kebanyakan agar taat kepada Allah iaitu dengan melakukan segala
perintahNya dan menjauhi segala laranganNya, kemudian di tahap yang
kedua taat pula kepada Rasul dalam segala arahan dan larangannya,
kemudian di tahap yang ketiga taat pula kepada para pemerintah menurut
pandangan jumhur ulama" ( Tafsir Qurtubi, juz 5, ms 224-225). Ada di
kalangan para ulama di antaranya Ibnu `Abbas, Hasan bin Ali,Jabir bin
Abdullah, Mujahid, ad Dohak, Abi `Aliyah dan Imam Malik yang
mentafsirkan makna Uli Amri dengan makna ahli al Quran dan ahli Ilmu
atau para Fuqaha dan ulama agama (Tafsir Tobari, juz 4, ms 150-152 ).

Ketaatan kepada pemerintah tidak mutlaq kerana ia terikat kepada
sejauh mana para pemerintah taat kepada Allah. Justeru itu ayat di
atas menyebut perkataan taat sebanyak dua kali ketika menyebut arahan
ketaatan kepada Allah dan Rasul manakala perkataan "taat" tidak
disebut ketika menyebut arahan taat kepada pemerintah. Ibnu Khuwaiz
menyebut : " Adapun ketaatan kepada pemerintah adalah wajib dalam
perkara yang mentaati Allah dan tidak wajib dalam perkara ma`siat ".
Kata al Qurtubi : "kerana itulah kami mengeluarkan fatwa bahawa para
pemerintah zaman kami tidak boleh ditaati , dibantu dan
diagung-agungkan ( kerana mereka melakukan ma`siat), tetapi wajib
berjihad bersama mereka.." ( Tafsir Qurtubi juz 5, ms 224).

Kewajipan taat kepada pemerintah ditegaskan oleh baginda di dalam
banyak hadis di antaranya: "Sesiapa mentaatiku maka dia mentaati
Allah. Sesiapa mentaati pemerintahku maka dia mentaatiku. Sesiapa yang
menderhaka kepada ku dia telah menderhakai Allah. Sesiapa yang
menderhakai pemerintahku dia telah menderhakaiku" . Malah baginda
bersabda : " Dengar dan taatlah kamu meskipun yang memerintah kamu itu
seorang hamba berkulit hitam yang kepalanya bagaikan buah anggur
kering". Ali bin Abi Tolib menyebut: "Wajib ke atas pemerintah
memerintah dengan adil dan menunaikan amanah. Apabila itu dilakukan
wajib ke atas orang Islam mentaatinya kerana Allah memerintahkan kami
mentaatinya dengan menunaikan amanah dan keadilan kemudian mengarah
kami mentaati pemerintah". ( Tafsir Qurtubi , juz 4, ms 224).

Apa yang dapat disimpulkan dari paparan di atas ialah :

1. Pemerintah wajib memerintah berdasarkan arahan dan hukum hakam Allah.

2. Apabila itu dilakukan menjadi kewajipan kepada rakyat mentaatinya.

Inilah konsep politik Islam. Bagaimanakah konsep ini boleh difahami?
Seorang pemerintah diberi Bai`ah oleh rakyat untuk memerintah dunia
berdasarkan kehendak Allah dan Rasul. Apabila Ba`iah ini tidak
ditepati maka rakyat mempunyai hak untuk menurunkan pemerintah
tersebut. Di sinilah datangnya konsep bangkangan dalam politik Islam.
Kerana itulah Allah mengarahkan di akhir ayat di atas agar kembali
kepada Allah dan Rasul dalam sebarang pertelingkahan.

Pemerintahan dalam Islam tegak di atas lima asas iaitu

Penggubal Undang-undang hanyalah Allah. Ia diungkapkan sebagai "
kedaulatan adalah milik Syara`" kerana sumber perundangan untuk segala
urusan manusia yang mukallaf adalah Allah. ( Abdul Wahab Khallaf, Usul
Feqah, ms 96). Ia berasaskan ayat bermaksud "tidak ada perundangan
melainkan milik Allah". Al An`aam:57, Yusuf 40, 67. Oleh kerana Allah
adalah sumber maka pemerintah terikat dengan peraturan Syara`agar
manusia aman dari sebarang kezaliman dan sikap bermaharajalela dengan
kuasa tanpa ada yang mampu membangkang.

Melantik seorang pemerintah adalah wajib. Melantik lebih dari seorang
adalah haram kerana ia membawa kepada perpecahan ummah dan kelemahan
negara.

Syura di antara Imam dan rakyat adalah wajib. Ia bertujuan mengawasi
para pemerintah agar tidak tersilap langkah dengan melakukan kemungkaran.

Pemerintah sahaja berhak untuk melaksanakan peraturan dan
tindak-tanduknya berasaskan kepada kepentingan rakyat.

Pengawasan dan penilaian terhadap pemerintah adalah satu kewajipan ke
atas rakyat.

Dari paparan di atas dapat difahami konsep bangkangan di dalam Islam.
Bangkangan politik merupakan satu kewajipan yang mesti ditunaikan oleh
rakyat untuk memastikan para pemerintah sentiasa taat kepada Allah dan
Rasul. Bangkangan ini berasaskan kepada konsep Amr ma`ruf dan Nahi
mungkar iaitu "mengarah melakukan kebaikan dan mencegah sebarang
kemungkaran" . Para Fuqaha silam yang membicarakan politik Islam
mengungkapkannya dengan istilah " Hisbah".

Sifat bangkangan atas asas ini merupakan sifat asas bagi umat Islam.
Inilah ciri keistimewaan yang ada pada mereka hingga mereka digelar
oleh Allah sebagai " sebaik-baik ummah". Firman Allah bermaksud : "
Kamu adalah sebaik-baik ummah kerana kamu memerintahkan agar melakukan
kebaikan dan melarang melakukan kemungkaran dan kamu pula beriman
dengan Allah. Sekiranya ahli kitab beriman nescaya itulah yang terbaik
untuk mereka. Sebahagian mereka beriman dan kebanyakan mereka itu
fasiq".al Imran: 110

Bangkangan politik wajib kepada individu dan juga perkumpulan. Di
antara dalil yang menunjukkan setiap individu berkewajipan
berkecimpung dalam politik bangkangan ialah sabda baginda " Sesiapa
yang melihat kemungkaran, hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya.
Sekiranya ia tidak mampu hendaklah dengan lidahnya. Sekiranya tidak
mampu hendaklah dengan hatinya. Itulah selemah-lemah iman".Hadis
riwayat Muslim, Turmuzi, Ibnu Majah dan Ahmad.

Bangkangan politik juga dilakukan dalam bentuk perkumpulan agar
memberi kekuatan suara dan pengaruh yang kuat kepada pemerintah untuk
meninggalkan kemungkaran dan melakukan kebaikan. Arahan bangkangan
berkumpulan disebut oleh Allah dalam firmanNya : " Dan hendaklah ada
di kalangan kamu satu kumpulan yang menyeru kepada kebaikan Islam,
menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah sebarang kemungkaran. Dan
merekalah orang yang benar-benar berjaya". Al Imran : 104.

Allah telah memuji bentuk kerjasama yang ada di kalangan orang beriman
dalam melakukan tugas besar ini. FirmanNya : " Dan orang beriman
lelaki dan perempuan sebahagian mereka merupakan pembantu kepada yang
lain. Mereka menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran" .at
Taubah: 71.

Allah melaknat golongan Yahudi kerana sikap mereka yang tidak
menentang kemungkaran. Firman Allah : " Dilaknat orang yang kafir dari
kalangan Bani Israel menerusi lidah Nabi Dawud dan Isa bin Maryam
kerana mereka telah derhaka dan mereka telah melampaui batas. Mereka
tidak mencegah kemungkaran yang mereka lakukan. Amatlah buruk apa yang
mereka telah lakukan". Al Maidah " 78-79

Oleh kerana bangkangan politik dalam Islam merupakan satu tugas yang
besar dan berasaskan kepada konsep amr ma`ruf dan Nahi mungkar, para
ulama telah menggariskan beberapa adab yang mesti menjadi hiasan para
pembangkang politik di antaranya :

mengikhlaskan niat untuk mencari keredhaan Allah dan menyedari bahawa
bangkangan ini dilakukan demi menunaikan kewajipan ilahi.

mempunyai ilmu yang boleh membezakan manakah perkara yang di larang
dan diperintah agar tidak berlaku bangkangan dalam perkara ma`ruf dan
mendiamkan diri dalam perkara kemungkaran.

Bangkangan atas asas nasihat beragama. Sabda baginda : " Agama itu
nasihat". Para sahabat bertanya : untuk siapa?". Jawab baginda : "
Untuk Allah, untuk RasulNya, untuk pemerintah Islam dan Rakyat".

Bangkangan yang dibuat atas dasar kasih dan sayang kepada pemerintah
Islam demi kebaikan Islam dan umatnya.

Sentiasa berdoa agar Allah memberi taufiq kepada para pemerintah untuk
kembali bertaubat kepada Allah.

Memulakan dengan ungkapan yang lembut sebagaimana firman Allah kepada
Musa dan Harun ketika diarahkan untuk berdakwah kepada Firaun: "
Pergilah kamu berdua kepada Firaun kerana dia amat melampaui batas.
Seterusnya ucapkanlah oleh kamu berdua kata-kata yang lembut
mudah-mudahan dia mengambil peringatan atau merasa takut". Toha : 43-44,

Berhikmah dalam mengatur strategi. Hikmah ertinya kebijaksanaan
melakukan tindakan berasakan suasana dan situasi. Sekiranya situasi
menuntut keras perlu bersikap tegas manakala jika situasi menuntut
berlembut menggunakan kelembutan. Firman Allah : " Serulah kamu ke
jalan Tuhan kamu dengan penuh hikmah dan nasihat yang baik".an Nahl :125

Jangan takut kepada ancaman sepertimana sabda baginda " dan janganlah
takut kepada celaan orang yang mencela". Dan sabda baginda "Berkatalah
benar meskipun ianya pahit".

Bagi para pemerintah pula perlu berlapang dada dan beramal dengan
konsep bangkangan yang telah digariskan oleh Umar al Khattab selaku
khlaifah Islam yang kedua: " Tidak ada kebaikan kepada kamu jika kamu
engan nyatakan bangkangan kamu. Dan tidak ada kebaikan pada kami jika
kami enggan mendengarnya" .

Kesimpulannya, POLITIK BANGKANGAN DALAM ISLAM MERUPAKAN SATU KEWAJIPAN
UMMAH SEKIRANYA BERLAKU PENYELEWENGAN DI KALANGAN PEMERINTAH DENGAN
MENINGGALKAN PERATURAN ALLAH DAN MELAKUKAN KEMUNGKARAN.

BANGKANGAN TIDAK BERERTI HANYA MENYERTAI PARTI PEMBANGKANG. BAHKAN IA
PERLU DILAKUKAN OLEH SEMUA PIHAK SAMADA AHLI PARTI PEMERINTAH, AHLI
PARTI PEMBANGKANG DAN MEREKA YANG TIDAK BERPARTI MENURUT KONSEP
DEMOKRASI YANG DIAMALKAN PADA HARI INI, SEKIRANYA BERLAKU KESILAPAN
DAN KESALAHAN DI PIHAK PEMERINTAH.

BANGKANGAN PULA HANYALAH DALAM BENTUK MEMBERI NASIHAT ATAU
MENGGANTIKAN PEMERINTAH LAIN SEKIRANYA MAMPU TANPA MENGANGKAT SENJATA
MENENTANG MEREKA KERANA IA MEMBAWA PERTUMPAHAN DARAH DAN PERPECAHAN
YANG DIHARAMKAN.

DALAM PERKARA KEBAIKAN DAN KETAATAN PULA WAJIB KEPADA RAKYAT MENTAATI
PARA PEMERINTAH UNTUK MENJAGA PERPADUAN UMMAH.

Justeru bangkangan tidak hanya terhad kepada politik kepartian malah
ia perlu mendapat perhatian setiap lapisan masyarakat dan setiap
individu.

*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: