Thursday, February 28, 2008

Pas dicabar masuk konsep negara Islam dalam manifesto pilihan raya

"Caring Mommy" caring.mommy@gmail.com

JITRA 22 Feb. - Timbalan Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin hari ini mencabar Pas supaya meletakkan konsep negara Islam dan kebajikan di dalam manifestonya serta tidak berbohong kepada rakyat keupayaannya membentuk kerajaan.

Beliau berkata konsep negara Islam yang dicanangkan parti itu kerap berubah dan lari daripada tujuan asal kerana terpaksa tunduk kepada tuntutan pakatan pembangkang.

Beliau menyifatkan gabungan parti pembangkang suka kahwin-cerai iaitu mereka 'berkahwin' menjelang pilihan raya dan bercerai selepas pilihan raya.

"Bagaimana mereka hendak menetapkan pendirian kerana antara parti pembangkang tidak ada persamaan dalam banyak hal," katanya kepada pemberita selepas melancarkan pasukan "Sedia Gempur Pemuda BN Kubang Pasu" di sini hari ini.

Khairy yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO berkata, jika parti pembangkang menang sekalipun, gabungan ketiga-tiga parti itu tidak mungkin dapat menentukan siapa yang berhak dilantik menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Sewaktu berucap merasmikan gerak gempur itu, Khairy berkata idea seperti memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada biasiswa, pendidikan percuma dan kos perubatan percuma dalam konsep kerajaan kebajikan Pas adalah mustahil dijalankan dan boleh menyebabkan kerajaan muflis.

Kerajaan yang muflis tidak dapat melaksanakan projek pembangunan dan negara ini akan dirundung masalah sehingga ramai akan jatuh miskin, tidak mempunyai pekerjaan dan peluang ekonomi terbantut, katanya.

Khairy berkata, Pas berani mengemukakan idea seumpama itu kerana tidak berpengalaman memerintah sebuah negara dan tidak boleh membezakan komplikasi idea kerajaan kebajikan dan ekonomi negara secara keseluruhan.

"Tak payah cakap pasal kerajaan kebajikan, tahun lepas sahaja BN sudah bagi subsidi RM43 bilion. Jumlah tu boleh buat 500,000 rumah kos rendah atau 15 jambatan kedua Pulau Pinang tapi BN gunakannya bagi mengurangkan beban rakyat supaya kenaikan harga barang dapat dikawal," jelasnya.

Mengenai pemilihan anak Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Mukhriz bertanding di Jerlun, Khairy berharap UMNO bahagian itu menerima baik anggota Exco Pemuda UMNO itu sebagai seorang pemimpin pusat dan berharap tiada masalah timbul bagi memastikan kemenangan BN.

- Bernama

Sumber: Utusan Malaysia 23/02/08

Ulasan

Penegakan Negara Islam bukanlah satu polemik untuk manifesto semata-mata, namun ianya kewajipan ke atas setiap Muslim, selama mana ianya belum tertegak semula selepas digulingkan oleh bapa sekular Kamal At-Tartuk (semoga Allah melaknatnya) . Kewajipan ini jelas berdasarkan Al-Quran, Hadis, Ijmak Sahabat dan seluruh imam mazhab sepakat mengenai (kewajipan)nya. Jadi, daripada sibuk mencabar orang lain untuk memasukkan dalam manifesto mereka tentang Negara Islam, adalah lebih baik orang yang 'hebat' itu mencerminkan diri sendiri terlebih dahulu. Sudahkah partinya yang selama ini berkuasa mendirikan Negara Islam dan berhukum dengan Kitabullah? Mana lebih baik - mencabar orang lain atau berusaha untuk mendirikannya? Inilah padahnya apabila kepala otak sudah dipenuhi racun sekular, legasi sekular yang digariskan oleh si kafir Lord Reid dalam Perlembagaan jugalah yang lebih diminati dari berhukum dengan hukum Islam di bawah Daulah Islam.

Al-Quran dengan jelas memerintahkan mereka yang berkuasa untuk berhukum dengan hukum Islam, dan azab Allah menanti mereka yang sukakan hukum kufur-sekular,

"Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik" [TMQ Al-Maidah (5):49]

Jika berfikir secara sekular yang matlamat hidupnya hanyalah ingin mendapatkan sebanyak-banyak kekayaan dengan menindas orang lain, memanglah mustahil untuk beri pendidikan dan kesihatan percuma. Namun, perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan keselamatan percuma tidak mustahil untuk di adakan jika hati itu dipenuhi hidayah Allah dan ilmu Islam. Kalau yang dirujuk itu adalah kitab Ekonomi Adam Smith, Alfred Marshall, Manyard Keynes, Milton Friedman atau Samuelson yang menjadi 'kitab suci Kapitalis' di Oxford, memanglah mustahil untuk menerapkan sistem ekonomi Islam. Namun jika yang dirujuk adalah kitab Al-Quran dan Al-Hadis, serta kitab Al-Ahkam Asultaniah, Al-Amwal Abu Ubaid, Al-Kharaj, Nizamul Iqtisadi Fil Islam, Iqtisaduna, Al-Amwal fi Daulatil Khilafah, nescaya pendidikan percuma, kesihatan percuma dan keselamatan percuma dapat diterapkan kerana kesemua ini adalah basic rights bagi rakyat yang wajib dan menjadi tanggungjawab negara untuk menyediakannya secara percuma. Daulah Khilafah yang telah melaksanakan semua ini dahulu (secara percuma) merupakan daulah yang kaya raya yang telah berjaya menguasai hampir dua pertiga dunia. Butakah cendekiawan Oxford dengan semua ini?

Source: www.mykhilafah. com


*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: