Monday, February 25, 2008

Negara Berkebajikan vs Negara Bankrap

"Vijaya Kumar A/L Patmanathan" vijayakumar.p@my.panasonic.com

Negara Berkebajikan vs Negara Bankrap

‘SOKONG BARISAN RAKYAT – NEGARA BERKEBAJIKAN – RAKYAT TERJAMIN...
SOKONG BARISAN NASIONAL – NEGARA Bankrap – RAKYAT SENGSARA...’
SEMINIT MENGUNDI BARISAN RAKYAT – 5 TAHUN KEBAJIKAN ANDA DAN KELUARGA SERTA NEGARA TERJAMIN...

Episod pilihanraya umum ke -12 sudah memasuki zon panas. Perdebatan soal manifesto dan janji-janji kepada rakyat Malaysia menjadi topik utama kempen pilihanraya. Barisan Rakyat menawarkan sebuah konsep Negara Berkebajikan untuk rakyat Malaysia manakala Barisan Nasional pula banyak menakut-nakutkan rakyat dengan konsep Negara Bankrap.
Pihak Barisan Rakyat menawarkan kepada rakyat Malaysia konsep negara kebajikan yang merangkumi kepada penurunan harga minyak, pendidikan dan kesihatan yang lebih terbela, perumahan rakyat dan pembelaan kepada rakyat.
Manakala di pihak Barisan Nasional pula lebih banyak membicarakan soal konsep Negara Bankrap dalam media-media massa dan ucapan-ucapan oleh pemimpin utama negara dan parti.


Terbaru ucapan menantu Perdana Menteri yang menyatakan konsep Negara Kebajikan yang akan dilaksanakan oleh Barisan Rakyat akan membawa Malaysia pada kedudukan setaraf dengan negara-negara Afrika membuka pelbagai persoalan. Umumnya diketahui beliau bukan seorang pakar ekonomi negara dan tidak pernah mempunyai pengalaman dan tidak pernah teruji dalam mengurus dan mentadbir ekonomi negara pada peringkat tertinggi. Kenyataannya juga tidak disokong oleh data-data ekonomi yang mencukupi serta tidak menyatakan negara Afrika mana yang beliau maksudkan. Justeru kenyataannya tidak mempunyai sebarang asas yang konkrit.
Pada umumnya rakyat Malaysia cukup teruja dan tertarik dengan konsep politik yang ditawarkan oleh Barisan Rakyat. ‘Politik Harapan‘ atau ‘Politics of Hope’ yang ditawarkan kepada rakyat Malaysia membuka satu dimensi baru dalam pilihanraya umum pada kali ini. Ianya berbeza dengan Barisan Nasional yang lebih kepada menumpukan kepada ‘Politik Menakut-nakutkan’ atau ‘Politics of Fear’.


Pengumuman Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk menurunkan harga minyak sejurus kemenangan Barisan Rakyat memerintah Malaysia pada 09 MAC 2008 merupakan tawaran terhebat yang bakal dinikmati oleh semua lapisan masyarakat Malaysia secara spontan samada di kota atau di desa. Tawaran ini adalah setara seperti kempen Pilihanraya Presiden Amerika Syarikat Barrack Obama untuk menarik balik tentera Amerika Syarikat di Iraq dan Afghanistan sejurus kemenangannya apabila terpilih sebagai Presiden Amerika Syarikat.
Umum mengetahui bahawa kemenangan BN pada PRU-12 bermakna adalah kenaikan minyak sebanyak 50 sen ataupun setinggi 70 sen. Walaupun khabar angin, ianya adalah realiti sebenarnya sebagaimana sehari sebelum pengumuman pembubaran parlimen , Perdana Menteri menafikan sekeras-kerasnya untuk membubarkannya tetapi esoknya khabar angin itu adalah berita yang sebenarnya. Ini adalah realiti berita khabar angin di Malaysia yang mempunyai ketepatan berita yang tinggi berbanding dengan media massa arus kerajaan.

Kepada jentera dan pengundi tegar BN, anda ditawarkan dengan kesengsaraan yang bakal dinikmati selepas 08 Mac 2008 ini dengan pelbagai kenaikkan harga barangan dan perkhidmatan jika BN masih kekal memerintah. Untuk itu kurangkan kemenangan BN kurang daripada 2/3 majoriti tetapi pilihan yang terbaik adalah bertukar kepada politik harapan yang di bawa oleh Barisan Rakyat dengan konsep negara berkebajikan di mana sehingga 2013 kebajikan anda dan negara akan terjamin.


Tiada jaminan yang ditawarkan oleh BN melainkan jaminan untuk menaikkan harga petrol, diesel, tol , yuran sekolah dan universiti, kos sara hidup dan pelbagai lagi. Kos pembangunan 5 koridor yang dilancarkan mencecah RM 720 Billion merupakan pelaburan besar yang tidak mempunyai impak yang tinggi kepada kemajuan ekonomi masyarakat Malaysia keseluruhannya. Ianya hanya menguntungkan segelintir elit-elit yang mempunyai kepentingan dengan kepimpinan negara. Nasib dan kepentingan rakyat akan dilupakan sekali lagi selepas pilihanraya umum ini.


Kini rakyat Malaysia hanya mempunyai satu pilihan sahaja dengan menggunakan kuasa undi keramat ini untuk memilih politik harapan yang akan membawa lembaran sejarah baru serta pembaharuan dalam iklim ekonomi dan siasah negara. Negara berkebajikan yang diperlukan oleh rakyat Malaysia ianya tidak akan membawa kepada Negara Bankrap.
Yang membawa kepada negara menjadi Bankrap adalah perlaksanaan projek – projek Mega yang mencecah RM: 720 Billion, penyalahgunaan kuasa, pemberian tender yang tidak telus , rasuah yang semakin menjadi-jadi, hilang keyakinan para pelabur terhadap iklim ekonomi negara, badan kehakiman yang hilang integriti dan kewibawaan, pemberian komisen yang tidak munasabah. Yang amat ditakuti adalah pemimpin-pemimpin yang sudah Bankrap idea untuk membela nasib rakyat dan negara serta membawa pembaharuan dalam badan kehakiman, ekonomi dan siasah negara.

Kita mesti bekerja keras untuk membawa pembaharuan di Malaysia. Kita sudah ketinggalan dalam daya saing ekonomi di Asean.
Malahan pertumbuhan ekonomi negara semakin perlahan dan semakin ketinggalan berbanding negara Singapura, Thailand , Indonesia dan Vietnam. Malahan jika tiada sebarang perubahan kita akan jauh ketinggalan pula dengan Burma. Oleh itu hanya dasar dan polisi kerajaan yang mempunyai idea-idea baru sahaja mampu membawa negara bersaing di peringkat global dan bukan hanya di peringkat Asean.


Kita perlu menyediakan anak-anak kita suasana negara yang aman dan selamat. Berikan mereka pendidikan bermutu dan berkualiti untuk keperluan masa hadapan mereka bukan pendidikan yang hanya untuk keperluan masa kini sahaja. Kita perlu memberi inspirasi kepada anak-anak kita untuk mempunyai impian besar dan mencapainya. Pendidikan percuma daripada peringkat bawah sehingga universiti mampu menyediakan anak-anak kita permulaan yang bagus untuk memulakan hidup bagi persaingan global. Kita tidak mahu anak-anak kita lepasan universiti memulakan hidup dengan hutang PTPTN. Tetapi kita sediakan mereka daya saing dan intelek serta akhlak yang tinggi untuk berhadapan cabaran dunia global.


Sudah lama kita perhatikan anak-anak kita hanya mampu bermain permainan komputer ciptaan luar negara tetapi tidak mampu membinanya. Hatta sehingga kita mempunyai Multimedia Super Coridor (MSC) belum lagi kita dapat bermain hasil imaginasi anak tempatan kita. Mereka mampu dan berkeupayaan tinggi sebenarnya tetapi suasana di Malaysia bagaikan tidak mengizinkannya. Mereka lebih rela mencurahkan idea dan kepakaran mereka di luar negara daripada menyumbang sesuatu untuk negara. Di mana silapnya kita...?
Dengan pendidikan percuma ini mereka akan terhutang budi untuk menyumbang kepada negara kelak. Tidak timbul soal kehilangan daya saing . Tambahan pula satu hari nanti anak-anak kita membawa dan mencetuskan inovasi baru untuk negara seperti penemuan sumber tenaga baru untuk mengelakkan kebergantungan negara kepada sumber petroleum dan gas. Dan membawa negara ke era revolusi teknologi di semua bidang.


Kita mulakan langkah baru untuk membawa Malaysia ke era baru. Kita perbaiki sistem kehakiman negara daripada menjadi pentas ‘teater bangsawan’. Kita perbaiki sistem ekonomi negara kepada yang lebih adil kepada semua kaum. Kita perbaiki indeks rasuah negara dengan menjadikan peperangan menentang rasuah sebagai agenda besar.
Ayuh rakyat Malaysia yang boleh mengundi berjumlah 10,922,139 orang. Anda adalah penentu nasib rakyat Malaysia dan negara sehingga 2013 kelak. Pilihan terbaik terletak di tangan anda . Pastikan 09 Mac 2008 ini harga minyak turun untuk menjadi satu berita terbaik untuk kita raikan nanti. Kita tiada pilihan lain lagi ini adalah masa yang terbaik untuk membawa pembaharuan.
Australia , Thailand dan Pakistan yang baru sahaja melaksanakan pilihanrayanya juga sudah membawa pembaharuan baru . Amerika Syarikat juga bakal membawa pembaharuan dalam pemilihan Presidennya kelak. Malaysia juga wajar menjejak langkah negara-negara lain untuk merubah kepimpinan negara yang ada kini.

Yakinlah Barisan Rakyat boleh menang untuk memperjuangkan nasib rakyat. Pecahkan tembok imaginasi yang sudah tertanam dalam minda sedar dan separa sedar bahawa BN tidak boleh ditumbangkan. Kita yakin pembaharuan boleh dijalankan di Malaysia. YAKINLAH KITA MAMPU MEMBAWA PERUBAHAN. Kita mampu melakukan yang terbaik untuk pembaharuan di Malaysia.
Semoga keberanian dan semangat perjuangan anda dalam membawa perubahan ini akan membawa negara ke era yang lebih maju , adil dan saksama. Semangat pembaharuan di Ijok pada pilihanraya kecil lepas ini akan terus menjalar ke seluruh Malaysia. Salam perubahan untuk 10,922,139 pengundi rakyat Malaysia. ‘Undi Keramat’ anda adalah pencetus perubahan dan harapan cerah masa hadapan negara. ANDA ADALAH HARAPAN MALAYSIA DI ABAD 21 INI .



MESEJ UNTUK 10,922,139 PENGUNDI :
SEMINIT MENGUNDI BARISAN RAKYAT : 5 TAHUN KEBAJIKAN ANDA, KELUARGA SERTA NEGARA TERJAMIN...

Sumber: ezli007.blogspot.com



*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: