Friday, February 1, 2008

Model Negeri Kebajikan PAS Terengganu (1999-2004)

(SABTU HARI KUNING! / YELLOW SATURDAYS!)


Detikdaily
Model Negeri Kebajikan PAS Terengganu (1999-2004)
Posted on Thursday, January 31 @ 22:21:59 EST by reformis
Artikel Oleh AWANG HARUN

Pilihan Raya Umum Ke-12 diramalkan tidak jauh lagi setelah gendangnya mula dipalu serta dicanangkan sejak setahun lalu.
PAS serta parti-parti pembangkang lain kini berada dalam situasi �bersiap-sedia� pada bila-bila masa kerana memikul suara-suara rakyat yang mahukan pilihan raya itu segera diadakan sekarang.
Sehubungan itu, kesepakatan hati PAS serta kesatuan dengan rakan-rakan dalam Barisan Alternatif (BA) terutama KeADILan dilihat mampu membawa perubahan besar dengan �kuasa� rakyat.PAS kini menawarkan kepada rakyat sebuah pemerintahan serta corak negara berkebajikan jika diberi mandat dalam pilihan raya umum akan datang.

Sebuah �Negara Berkebajikan� sebenarnya bukan perkara baru yang kini amat menggusarkan para pemimpin Umno serta kerajaan Barisan Nasional (BN) hari ini sejak tawaran itu dibuat oleh Presiden PAS, Dato� Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.Mengimbas kembali, bagaimana corak pemerintahan yang pernah dilaksanakan oleh PAS ketika mentadbir negeri Terengganu meski pun menghadapi kekangan kewangan akibat �dirampas� hak mendapat royalti Petroleum oleh kerajaan pusat waktu itu.

Agenda pembangunan negeri Terengganu Darul Iman di bawah pemerintahan PAS itu telah dirangka berdasarkan elemen-elemen �hasanah� di dunia dan �hasanah� di akhirat.Justeru itu, kerangka perancangan dan pelaksanaan semua program dan projek pembangunan di Terengganu berpaksikan sumber al-Quran dan as-Sunnah.

Reformasi Pentadbiran Tanah

Sepertimana yang dijanjikan di dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-10 pada tahun 1999, kerajaan PAS Terengganu telah melakukan reformasi tanah melalui langkah-langkah berikut;

Menyusun semula sistem pentadbiran tanah dengan mengurangkan karenah birokrasi dalam proses permohonan dan kelulusan serta menurunkan lebih banyak kuasa membuat keputusan di peringkat pentadbiran tanah daerah.

Membuka semula permohonan tanah rakyat yang ditutup secara rasmi oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu sejak tahun 1975.

Menurunkan kadar premium tanah daripada 20 peratus kepada 10 peratus harga pasaran tanah. Bahkan, kelonggaran cara bayaran juga diperkenalkan terutama bagi yang benar-benar tidak mampu.

Mengenal pasti kaedah pelupusan yang cepat dan singkat dengan menggunakan khidmat jurukur swasta dan memanfaatkan institusi masyarakat seperti Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bagi mengenal pasti kelayakan peserta atau pemohon.Hasilnya, kerajaan PAS Terengganu dapat menyelesaikan pemberian geran dan hak milik tanah kepada peserta-peserta rancangan tanah Felda dan Felcra.

Kerajaan PAS Terengganu juga berjaya melepasi sasaran menyelesaikan 50,000 permohonan tanah rakyat setahun dan contohnya bagi tempoh April 2002 hingga April 2003 sebanyak 50,731 permohonan tanah dapat diselesaikan.

Selain itu, menambahkan hasil pendapatan negeri melalui peningkatan hasil tanah dan bagi tahun 2001, kerajaan negeri berjaya memungut RM51,831,00 juta dan meningkat kepada RM78,733,000 pada tahun berikutnya.

Pengurusan Kewangan Negeri:
a. Akaun Bebas Riba;

Sebaik sahaja mengambil alih pentadbiran negeri Terengganu. Kerajaan pimpinan PAS segera memindahkan simpanan aset tetap (fixed deposits) dari bank-bank konvensional kepada bank yang mengamalkan sistem perbankan Islam. Kewangan utama negeri dibebaskan daripada sebarang urusniaga melibatkan riba.

b. Audit Bersih;
Sepanjang pemerintahan kerajaan PAS di Terengganu pihak Jabatan Audit Negara telah memperakui ketelusan kerajaan negeri terhadap setiap sen wang kerajaan yang dibelanjakan itu. Laporan tahunan kewangan negeri memetik kenyataan Ketua Audit Negara yang memuji pengurusan kewangan negeri Terengganu serta disifatkan sebagai pengurusan kemas dan tiada wujud sebarang penyelewengan kewangan.

c. Tidak Perlu Berhutang;
Kerajaan PAS Terengganu pada waktu itu tidak perlu berhutang dengan kerajaan pusat sama ada bagi membayar gaji bulanan kakitangan atau membayar bonus tahunan seperti mana yang diistiharkan kerajaan pusat. Sedangkan beberapa negeri yang diperintah oleh kerajaan BN seperti Perlis, Kedah, Pahang dan Johor dilaporkan terpaksa meminjam daripada kerajaan pusat bagi urusan bulanan masing-masing.

d. Tidak Menambah Hutang;
Beberapa negeri yang masih mempunyai hutang tertinggi dengan kerajaan pusat adalah negeri-negeri yang diperintah BN berbanding Kelantan dan Terengganu. Sedangkan hutang bagi kedua-dua negeri yang diperintah PAS adalah pesaka tinggalan bekas kerajaan BN sebelum itu. Antaranya, Sarawak berhutang sebanyak RM5,000 juta. Johor (RM3,000) juta, Kedah (RM2,000) juta, Terengganu (RM800) juta dan Kelantan RM5,000 juta.

e. Berjimat-cermat di Pejabat Kerajaan;
Kerajaan PAS Terengganu berjaya mengurangkan perbelanjaan mengurus kira-kira RM82,939.00 sebulan tanpa menjejaskan produktiviti perkhidmatan di pejabat-pejabat kerajaan seluruh negeri. Ini termasuk, menjimatkan penggunaan elektrik, air dan alat ganti.

Pungutan Zakat

Jumlah pungutan zakat sepanjang pemerintahan ulama� menyaksikan peningkatan tahun ke tahun. Justeru itu, menyebabkan jumlah kutipan selama tiga tahun di bawah kerajaan PAS Terengganu ketika itu hampir menyamai jumlah pungutan zakat selama 10 tahun di bawah kerajaan BN dahulu. Tahun 2000 zakat berjaya dikumpul sebanyak RM20.8 juta, tahun 2001 (RM28.7) juta, 2002 (RM32.9) juta dan tahun 2003 (RM40.05) juta.

Hasil Hutan

Di antara peningkatan ketara kepada hasil negeri adalah melalui cukai hasil hutan dan sebagai perbandingan iaitu pada tahun 1995 sebanyak RM25.8 juta, 1996 (RM28,5) juta, 1997 (RM32.2) juta, 1998 (RM14.9) juta, 1999 (RM13.4) juta. Manakala, tahun 2000 pula sebanyak RM29.1 juta, tahun 2001 (RM34.3) juta. Tahun 2002, naik kepada RM53.1 juta dan tahun 2003 sebanyak RM63.5 juta.

Penyusunan Semula Anak-anak Syarikat

Zaman kerajaan BN juga terkenal dengan kewujudan terlalu banyak Syarikat-syarikat Anak milik kerajaan negeri. Kerajaan juga banyak memegang saham di dalam beberapa syarikat perniagaan. Malangnya, kebanyakan mereka menanggung kerugian demi kerugian yang berjumlah ribuan juta ringgit.

Berbagai penyelewengan dan salah pengurusan didapati berlaku. Antara yang parah seperti Perwaja Steel Terengganu, Gunawan Steel, Pelangi Air, A&W, Medi Air, Babena dan lain-lain. Antara, syarikat yang mencatatkan keuntungan operasi ialah Syarikat-syarikat di bawah kumpulan TDM Berhad, EPIC dan Ladang Rakyat.


Buka Institusi Pendidikan Baru

Kesungguhan kerajaan negeri Terengganu pimpinan PAS memartabatkan pendidikan anak bangsa jelas terbukti dengan penubuhan beberapa institusi pendidikan baru. Antaranya, Kolej Islam Sains Terengganu (KIST), Kolej Sains dan Teknologi Al-Quran (KOSTAQ) dan Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB).

Penurunan Kadar Kemiskinan

Pada tahun 1999, negeri Terengganu menduduki tempat kedua tertinggi di antara negeri-negeri di seluruh negara dalam kadar kemiskinan rakyatnya. Sejumlah 17.3 peratus atau 173 bagi setiap seribu orang rakyat Terengganu adalah miskin. Ertinya, pendapatan royalti Petroleum hampir RM7 bilion yang pernah diterima oleh kerajaan BN dahulu telah gagal diurus dengan baik bagi membasmi serta mengurangkan kadar kemiskinan.

Selepas pemerintahan beralih tangan kepada kerajaan PAS tahun 1999, taraf hidup rakyat jelas meningkat. Ianya dicapai hasil beberapa faktor iaitu kenaikan kadar bantuan am kebajikan, kadar elaun imam bila dan sebagainya.Pengagihan bantuan sama ada zakat atau lain-lain bantuan yang kena pada sasaran. Apabila bantuan diberikan kepada yang benar-benar susah atau miskin. Maka, ia secara jelas mampu memperbaiki taraf hidup rakyat.

Selain itu, pengecualian beberapa bentuk �bebanan sampingan� seperti cukai pintu rumah kediaman, lessen beca, cukai bakul dan seumpamanya yang sekaligus mengurangkan bebanan yang kena dibayar oleh rakyat.Pada akhir tahun 2001 sahaja hanya setelah lebih dua tahun kerajaan PAS memerintah negeri Terengganu telah berjaya mengurang kadar kemiskinan rakyatnya kepada 14 peratus sahaja.

Kerajaan kepimpinan ulama� berjaya memperbaiki kedudukan dalam senarai negeri-negeri di seluruh Malaysia dalam kadar kemiskinan tertinggi iaitu dari tempat kedua kepada tempat ketiga dan seterusnya keempat.


Pengurusan Bekalan Air:

a. Kutipan Hasil Air;

Daripada 17 buah negeri dan agensi pengurusan air hanya 11 buah sahaja yang mengalami kelebihan kutipan hasil berbanding dengan kos operasi pada tahun 2001. Terengganu telah mencatatkan lebihan kutipan sebanyak RM35,240,763. 00 juta pada tahun 2001 serta menduduki tempat kedua selepas negeri Kedah dengan kos RM35.43 juta.

b. Kadar Tarif Air 2002;

Terengganu merupakan negeri ketiga terendah dalam tarif air bagi kegunaan domestik iaitu 52 sen/m padu. Oleh yang demikian, jika pengambil-alihan pengurusan oleh kerajaan pusat berlaku, kajian semula kadar ini besar kemungkinan akan menyebabkan tarif air akan naik dan ini akan membebankan pengguna/ rakyat.

Masjid Semakin Makmur

Islam dan politik adalah dua perkara yang tidak boleh dipisahkan. Masjid sebagai pusat pendidikan Islam dan bertindak sebagai pusat politik. Ekoran perubahan pentadbiran masjid. Beberapa perubahan mendadak berlaku dalam aktiviti memakmurkan masjid. Jumlah ahli jemaah semakin ramai, majlis agama atau kuliah semakin banyak dan kebanyakkan masjid di negeri ini tidak lagi kering atau lengang seperti dahulu. (zaman BN).

Isu Tapak Sekolah Umno �Putarbelit� Fakta

Media arus perdana sejak tahun 2001 lagi sering kali memutar-belitkan fakta mengenai kelulusan tanah tapak sekolah di Terengganu. Laporan yang memetik sumber Umno itu secara tidak bertanggungjawab menuduh kerajaan PAS Terengganu waktu itu enggan meluluskan permohonan Kementerian Pendidikan sehingga menyebabkan pembinaan sekolah baru di Terengganu tertangguh.

Walhal, menurut maklumat kerajaan PAS waktu itu menjelaskan menerima 58 permohonan tanah dan yang ditolak dua sahaja kerana berlaku pertindihan permohonan.

Berikut adalah pecahan mengikut daerah masing-masing iaitu Setiu 13 permohonan dan lulus, Kemaman (12), Hulu Terengganu (10), Marang (8), Dungun (6) Kuala Terengganu (4) dan Besut lima permohonan dengan dua daripadanya ditolak.

Pinjaman Tanpa Faedah

Kesungguhan kerajaan pimpinan Ulama� membebaskan negeri ini dari cengkaman riba telah pun dibuktikan dengan menghapuskan faedah pinjaman bagi kakitangan kerajaan negeri. Rasional tindakan tersebut kerana kakitangan kerajaan selaku jentera yang mendokong sesebuah kerajaan mestilah terlebih dahulu �dibersihkan� dari sebarang unsur yang mencemarkan imej Islam termasuk amalan riba. Semua bentuk pinjaman kerajaan negeri terutama pinjaman kenderaan dan komputer tidak dikenakan sebarang faedah.

Cukai Pintu Rumah Kediaman dan Tunggakan

Sebaik sahaja mengambil-alih pemerintahan daripada Barisan Nasional (BN) pada tahun 1999, kerajaan Barisan Alternatif pimpinan PAS telah memutuskan untuk membatalkan kutipan cukai pintu bagi rumah kediaman beserta tunggakannya. Langkah itu menyebabkan kerajaan negeri kehilangan sumber hasil berjumlah RM12 juta setahun.

Tabungan/ Dana Awam

Kerajaan PAS Terengganu mengamalkan konsep muafakat di dalam masyarakat dengan menggalakkan pemberian wakaf dan khairat di kalangan rakyat melalui pentadbiran yang tersusun.Kerajaan PAS telah menubuhkan beberapa tabung atau dana awam khususnya bagi mengumpul sumbangan dari �yang ada� untuk dibelanjakan kepada �yang tiada�. Di antaranya, Tabung Darul Iman (TDI), Dana Masjid dan Tabung Kebajikan Bukan Islam. Ketiga-tiga tabung tersebut mempunyai fungsi tersendiri iaitu masing-masing bagi membantu golongan kurang bernasib baik, bagi membina dan menyelenggara masjid serta membantu golongan bukan Islam.

Kerja Lima Hari Seminggu (Cuti Dua Hari)

Apabila PAS menang di Kelantan pada tahun 1990, sistem kerja lima hari seminggu (cuti Jumaat dan Sabtu) mula dilaksanakan. Kerajaan Pusat turut laksanakan cuti Sabtu minggu pertama tidak lama selepas itu.Selepas menang di Terengganu, PAS turut melaksanakan cuti dua hari seminggu iaitu pada hari Jumaat dan Sabtu. Kerajaan Pusat mula melaksanakan cuti tambahan Sabtu minggu ketiga berkuatkuasa 1 Februari 2000.

Cuti Bersalin 90 Hari, Suami Tujuh Hari

Setelah PAS berjaya menawan Kelantan pada tahun 1990, kemudahan cuti bersalin selama 60 hari kepada kakitangan wanitanya diperkenalkan. Tempoh asal cuti bersalin yang diterima pakai pada waktu itu ialah 40 hari. Apabila PAS memerintah Terengganu pada tahun 1999, tempoh cuti bersalin itu dilanjutkan kepada 90 hari, di samping cuti isteri bersalin untuk suami turut dilanjutkan kepada tujuh hari.

Pusat Perubatan dan Rawatan Islam

Kerajaan PAS Terengganu mengorak selangkah ke hadapan dengan menubuhkan Pusat Perubatan Islam Darul Iman (DIIMC) dan Kem Seliaan dan Latihan Pemadam Negeri Terengganu (KESIHAT).DIIMC merupakan pusat perubatan swasta yang pertama di Terengganu tetapi kini ditutup oleh kerajaan Umno/BN Terengganu. Matlamat penubuhannya ialah untuk memberi dan menyediakan perkhidmatan kesihatan dan perubatan yang berkualiti dan sama rata dengan harga berpatutan mengikut syiar Islam.

Bangunan DIIMC terletak di Jalan Batas Baru, Kuala Terengganu. Ia diuruskan oleh Kumpulan Mediiman Sdn. Bhd iaitu anak Syarikat TDM Berhad. Pembahagian saham DIIMC iaitu masing-masing 20 peratus oleh Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK), MAIDAM dan Kusza. Manakala, baki 40 peratus dipegang oleh TDM Berhad. KESIHAT pula adalah pusat rawatan dadah secara Islam yang pernah beroperasi di Kem Cadur, Marang semasa pemerintahan PAS.

Elaun Imam / Bilal

Selama 38 tahun di bawah pemerintahan kerajaan BN dengan pendapatan royalti yang banyak tetapi elaun imam hanya dibayar RM180.00 sebulan. Sebaik sahaja PAS mengambil-alih pemerintahan, PAS telah menaikkannya kepada RM350.00 sebulan meski pun sebahagian besar mereka dari kalangan ahli serta penyokong Umno/BN.

Pengecualian Cukai Bakul dan Lesen Beca:

Di antara langkah-langkah bagi mengurangkan beban sampingan rakyat khususnya mereka yang berpendapatan rendah ialah dengan menghapuskan amalan mengutip cukai bakul bagi peniaga harian. Bahkan, turut dikecualikan adalah bayaran lesen beca roda tiga. Penghapusan kedua-dua bentuk bayaran tersebut merupakan �bonus tidak langsung� oleh kerajaan PAS ketika itu kepada rakyatnya.

Penghapusan Tol di Jambatan Sultan Mahmud:

Sebaik sahaja mengambil-alih pemerintahan selepas Pilihan Raya Umum Ke-10 tahun 1999. kutipan tol yang berjumlah 50 sen sehala bagi setiap kenderaan yang menggunakan laluan di Jambatan Sultan Mahmud Kuala Terengganu telah dihentikan serta-merta. Langkah tersebut menyebabkan kerajaan negeri ketika itu (PAS) kehilangan sumber pendapatan antara RM4.2 juta hingga RM4.5 juta setahun.

Dalam masa yang sama, kerajaan PAS Terengganu ketika itu terpaksa menanggung kos penyelenggaraan jambatan berkenaan yang mencapai angka ratusan ribu ringgit setiap tahun. Tiga tahun pertama pemerintahan (2000-2002) sebagai contohnya, jumlah perbelanjaan penyelenggaraan keseluruhan ialah sebanyak RM690,870.81 yang melibatkan penyelengaraan kerja sivil sebanyak RM181,315.71 dan penyelenggaraan kerja-kerja elektrik sebanyak RM509,555.10.

Jumlah kos penyelenggaraan mengikut tahun adalah RM154,769.00 (2000), RM299,689.91 (2001) dan RM236,411.90 (2002).
Tindakan kerajaan negeri menghapuskan bayaran tol itu sebenarnya satu lagi bentuk pengurangan beban perbelanjaan yang kena dibayar oleh rakyat.

Imbuhan Guru al-Quran/ Huffaz:

Bermula akhir tahun 2003, setelah kedudukan kewangan kerajaan negeri agak stabil, bayaran imbuhan berkenaan telah disambung semula beserta dengan bayaran tunggakan beberapa bulan kebelakang. Seramai 2,048 guru al-Quran di kampong-kampung dan huffaz menerima bayaran imbuhan masing-masing. Kerajaan PAS Terengganu komited dalam membela nasib mereka itu.

Bantuan Kebajikan Fakir-Miskin Tidak Diabaikan:

Meski pun dilanda kekangan kewangan oleh kerajaan pusat tetapi kerajaan negeri di bawah pemerintahan PAS melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) telah menaikkan kadar bantuan kepada golongan fakir dan miskin. Bantuan dinaikkan dari RM150.00 kepada RM200.00 seorang.

Manakala, golongan miskin pila dinaikkan daripada RM120.00 kepada RM150.00 seorang.
Seramai 5,687 orang daripada golongan fakir menerima bantuan itu yang melibatkan peruntukan sebnayak RM1.37 juta dan bagi golongan miskin pula, seramai 35,726 orang menerimanya dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM5.358 juta.

Fakta ini sekaligus menafikan tuduhan jahat pihak Umno/BN kononnya wang zakat MAIDAM habis disalurkan kepada anak-anak Exco, sekolah-sekolah PAS, �kader-kader� PAS serta program PAS. Kini, rakyat serta pengundi mempunyai pilihan bagi menilai, mengkaji serta meneliti segala bentuk tindakan, pelaksanaan serta dasar-dasar yang pernah dijalankan oleh mantan kerajaan PAS di Terengganu selama empat tahun (1999-2004).

Rakyat yang berfikiran waras sewajarnya membuat perbandingan dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang pernah memerintah negeri ini selama 38 tahun serta hampir empat tahun sekarang (2004-2008).Rakyat adalah �Hakim� yang bebas membuat keputusan tanpa dipengaruhi oleh sebarang bentuk sogokan pihak tertentu demi menjaga maruah, bangsa dan agama.

JOM BERSIH!!! bersih.org/



HARI SABTU PAKAI KUNING! / WEAR YELLOW ON SATURDAYS!
Lawati laman 10November di http://10nov. himpunan. info/
Lawati laman Bersih di http://bersih. org/


*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

Ini adalah salah satu dari berbagai riwayat Imam Bukhari.
Subscribe to sabda_nabi-subscrib e@yahoogroups. com

No comments: