Thursday, February 14, 2008

Manifesto Negara Kebajikan PAS (3) & (4)

(SABTU HARI KUNING! / YELLOW SATURDAYS!)
(Cetak dan Sebarkan Berita Kepada Rakyat!)


"Mustaine Hadhari"

Manifesto Negara Kebajikan PAS (3)

Teras Kedua


Menginsafi kedudukan Malaysia sebagai negara yang kaya dengan hasil mahsul seperti minyak, kayu-kayan serta hasil galian, sementara sektor pembuatan dan perkhidmatan mampu diperkembangkan, negara kini kehilangan daya-saing bahkan semakin buruk dikacamata masyarakat bisnes antarabangsa. Ini mesti dibaikpulih segera dengan usaha membanteras segala kepincangan, rasuah dan kronisme yang telah menggagalkan pencapaian DEB dan matlamat dasar-dasar pembangunan yang lain. Maka Manifesto PAS ini menawarkan:

Pengurusan Berhemat (Pruden) Kekayaan Negara dengan polisi berikut:

Meletakkan PETRONAS di bawah seliaan Parlimen (dan bukan lagi di bawah Perdana Menteri) seperti trend terkini dibeberapa buah negara atas perkiraan ketelusan dan pertanggungjawaban.
Mempastikan harga petrol dan disel kekal ’menasabah’ dengan pendekatan ’subsidi’ bagi menangani ’inflasi’ harga barang keperluan dan kos perkhidmatan.

Menyusun kembali prioriti pembangunan supaya ’pertumbuhan’ bukan sahaja akibat dari kegiatan pembinaan dan infrastruktur mega-mewah, tetapi mestilah menepati dan selaras dengan strategi dan prioriti pembangunan mapan sementara menjana pekerjaan dan mengawal inflasi.

Menumpukan kekayaan hasil minyak akan diutamakan untuk pembangunan potensi insan serta penyelidikan dan pembangunan R&D termasuk sumber tenaga alternatif untuk menggantikan sumber petrol dan gas.

Merapatkan jurang agihan kekayaan antara kaya-miskin dalam kaum dan antara kaum dengan menekankan aspek pendidikan dan peningkatan sumber pendapatan bagi meningkatkan jumlah pendapatan dan keupayaan keluar dari garis kemiskinan serta meningkat mobiliti sosial mereka.

Menekankan program pembasmian kemiskinan mengikut ’Keperluan’ di kalangan golongan miskin dan berpendapatan rendah tanpa mengira ras atau kaum.

Melebarkan golongan kelas menengah dalam semua kaum bagi memperkukuhkan ekonomi dengan meningkatkan kuasa membeli serta perbelanjaan (juga pelaburan) domestik dan kestabilan perimbangan antara kaum.



Teras Ketiga


Menyedari hakikat bahawa negara telah terjerumus dalam bahaya-bencana jenayah dengan pelbagai kejadian jenayah kekerasan seperti culik, bunuh, rogol, rompak dan menyamun secara bersenjata atau tanpa senjata, maka Manifesto PAS menawarkan:

Jaminan Keselamatan Nyawa, Kehormatan dan Harta Benda dengan Membenteras Jenayah dengan polisi dan komitmen berikut:

Menubuhkan segera dan memperkasakan Suruhanjaya Bebas Salah-Laku Polis dan Komplain –IPCMC serta menolak Rang Undang-undang Suruhanjaya Aduan Khas (SCC) yang membelakangi 125 cadangan-cadangan Suruhanjaya di Raja Pembaikan Polis.

Menjadikan PDRM sebuah Pasukan Keselamatan yang profesional, mesra-rakyat, bebas dari pengaruh pihak Eksekutif dan tekanan orang politik serta membantu pihak Kehakiman bagi melaksanakan penyiasatan dengan profesional dan berkesan sehingga mampu membenteras jenayah dan menjamin keselamatan rakyat.

Mengangkat amalan Integriti dan Amalan Terbaik (Best Practise) dalam semua urus-tadbir kementerian, agensi kerajaan khususnya pihak keselamatan seperti PDRM dengan mempastikan, antara lainya, pengambilan pegawai dan promosi ke kedudukan yang tinggi mesti memilikki keupayaan dan integriti yang mantap.

Memerangi amalan Rasuah, Kronisme dan penyalahgunaan kuasa dengan pendekatan secara Menyeluruh (integrated) dengan ajaran Agama, bimbingan Moral bagi menangani punca rasuah: kerakusan dan ketamakan yang digalakkan dengan urus-tadbir yang pincang serta tidak telus. Pendekatan Undang-undang sebagai hukuman yang benar-benar menakutkan dan meninggalkan kesan ’gerun’ atau ’deteren’ serta takut kepada ancaman Allah dan hukuman pihak penguasa wajar diperkasakan.


Manifesto Negara Kebajikan PAS (4)

Teras Keempat

Merakamkan pelbagai keceleruan di bidang pendidikan akibat mengalami polisi yang kerap berubah (flip-flop) serta pengangguran graduan yang tinggi dan kejatuhan taraf ranking universiti awam akibat tekanan politik dan campurtangan Eksekutif yang mengekang pertumbuhan institusi-institusi ini, maka Manifesto PAS menawarkan:

Pendidikan Menyeluruh Pemacu Perubahan yang antara lainya menekankan:

Penegasan tonggak akhlak dan moral para pelajar sebagai teras pembinaan sahsiah pelajar.

Melindungi ‘Pendemokrasian Pendidikan’ dengan kewujudan pilihan sekolah-sekolah termasuk pendidikan Islam (SAR), serta bahasa ibunda (Cina dan Tamil). Mengembalikan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Ibunda masing-masing. Memberi sejumlah peruntukan kepada SAR dan sekolah swasta jenis Cina berdasarkan jumlah pelajar.

Peluang kepada pelajar-pelajar dari sekolah agama rakyat untuk memasuki sekolah-sekolah berasrama penuh.

Memberi peruntukan khas bagi PIBG kepada sekolah-sekolah luar bandar bagi membantu kegiatan meningkatan pencapaian akademik.

Memberikan autonomi kepada sekolah untuk mengawal dan mengurus disiplin para pelajar.

Meningkatkan bantuan perbelanjaan per kapita mengikut penilaian Indeks Harga Penggguna (CPI) kepada sektor pendidikan termasuk kos-kos buku kerja.

Menghapuskan semua yuran sampingan persekolahan seperti yuran PIBG dan kokurikulum.

Penekanan kepada sistem pendidikan berteraskan ‘Berfikir’ – ‘thinking-based education’ dan bukan ‘berteras-peperiksaan’ (exam-based education).

Memperkasakan pendemokrasian pendidikan dengan penetapan subjek ‘core’ atau ’teras’ seperti sejarah, budaya, agama dan moral, bagi menjayakan misi perpaduan nasional melalui pendidikan.

Menekankan tumpuan selain akademik bagi lepasan sekolah bagi meningkatkan aspek latihan berteraskan ketrampilan atau ’skilled-based apprenticeship’ bagi melebarkan peluang pekerjaan dan guna tenaga secara penuh dan menyeluruh.

Memperkasa IPT dan Memacu Penjelmaan Institusi Pendidikan Berprestasi Tinggi

Menjana iklim akademik di ‘menara gading’ bagi menghasilkan ciri-ciri graduan: ‘berdaya saing dan berdikari-competitively enterprising’, ‘bermoral-bersahsiah mulia’- ‘morally- spiritually vibrant’ dan berintelek tinggi-‘intellectually superior’.

Menghapus kira semua pinjaman tertunggak PTPTN

Mengembalikan pendidikan tinggi (ijazah pertama) secara percuma.

Mengembalikan semula pemberian biasiswa sebagaimana yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan berdasarkan kelayakan.

Menambah tempat belajar di IPTA.

Memansuhkan beberapa peruntukan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang mengongkong hak dan kebebasan mahasiswa dan tenaga akademik.

Menjana Institusi Pendidikan Berprestasi Tinggi dengan penambahan peruntukan R&D yang setara dengan dunia maju (yakni 2-3% dari Belanjawan).



Teras Kelima

Memandangkan kos rawatan di hospital swasta mahupun awam terus meningkat dan keupayaan rakyat untuk menampung kos menjaga kesihatan ini semakin berkurang, maka Manifesto PAS ini menawarkan:

Jaminan Perkhidmatan Kesihatan Rakyat dengan polisi-polisi berikut:

• Mewujudkan Skim Pembiayaan Kesihatan Nasional (SPKN) setiap rakyat yang tidak mempunyai Skim Perlindungan Kesihatan daripada majikan masing-masing agar dapat menikmati perkhidmatan kesihatan yang berkualiti di semua hospital kerajaan atau pun swasta.

• Membatalkan Penswastaan Perkhidmatan Kesihatan dan Hospital yang membebankan rakyat dan menguntungkan pihak swasta dan korporat tertentu yang punya kaitan dengan elit politik tertinggi.

• Penjagaan kesihatan percuma sepenuhnya untuk kanak-kanak dan ibu-ibu mengandung.


*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: