Tuesday, February 26, 2008

Hasil Kajian Islam Hadhari

"Mujahid 2020" attakiri2004@yahoo.com.sg

Kuala Lumpur: Golongan muda secara umumnya didapati tidak memahami
konsep Islam Hadhari yang cuba dibawa oleh kerajaan. Dapatan ini
diperolehi dalam satu kajian persepsi yang dijalankan oleh satu
kumpulan penyelidik daripada kalangan ahli akademik dari beberapa
institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Seramai 3013 responden muslim yang berumur antara 21 hingga 35 tahun
dihubungi melalui telefon. 38% daripada kalangan responden merupakan
rakyat Malaysia yang berada di luar negeri. Kajian ini dijalankan
secara intensif selama hampir sebulan dari 5 hingga 30 November 2007.

Responden diminta untuk memilih "Amat Setuju", "Setuju", "Berkecuali" ,
"Tidak Setuju" dan "Amat Tidak Bersetuju" bagi beberapa kenyataan
berkaitan dengan Islam Hadhari. Antara kenyataan berkenaan adalah
seperti berikut:

A. Kerajaan Malaysia berjaya menjelaskan konsep Islam Hadhari dengan baik
B. Perlaksanaan Islam Hadhari meningkatkan moral pimpinan negara.
C. Islam Hadhari berjaya menurunkan kadar jenayah
D. Kerajaan Malaysia ikhlas dalam memperkenal dan melaksanakan konsep
Islam Hadhari

E. Konsep Islam Hadari selaras dengan ajaran Islam sebenar
F. Perlaksanaan Islam Hadhari berjaya meningkatkan ekonomi Bumiputra

Hasil kajian mendapati 63% daripada responden Amat Tidak Bersetuju dan
22% Tidak Bersetuju dengan kenyataan bahawa kerajaan telah berjaya
menerangkan konsep Islam Hadhari dengan baik. Sebaliknya hanya 5%
responden Amat Bersetuju dengan soalan di atas (lihat carta). Ini
bermakna sebanyak 85% responden tidak dapat memahami konsep Islam
Hadhari
yang cuba dibawa oleh kerajaan.

Kajian ini juga cuba mengukur persepsi rakyat terhadap kesan
perlaksanaan konsep ini kepada peningkatan moral para pimpinan negara.
Hanya 3% sahaja kalangan responden Amat Bersetuju dengan kenyataan
Islam Hadhari telah meningkatkan moral pimpinan negara, manakala lebih
70% Amat Tidak Bersetuju bahawa Islam Hadhari telah meningkatkan moral
pimpinan negara.

Salah satu isu yang begitu menjadi perhatian rakyat adalah peningkatan
kadar jenayah di Malaysia, terutamanya sejak akhir-akhir ini. Oleh itu
kajian ini merasakan amat perlu sekali diukur persepsi rakyat sejauh
mana berjayanya polisi kerajaan dalam menangani isu ini. Hasil yang
diperolehi mendapati hampir 80% responden Amat Tidak Bersetuju dengan
kenyataan Islam Hadhari berjaya menurunkan kadar jenayah di Malaysia
sedangkan hanya 2% responden yang bersetuju dengan kenyataan ini.
Pihak kerajaan sepatutnya mengambil perhatian serius bagaimana Islam
Hadhari telah gagal menurunkan kadar jenayah.

Kajian juga cuba menilai persepsi rakyat tentang keikhlasan pihak
kerajaan dalam membawa konsep Islam Hadhari ini dan bukan hanya
retorik politik semata. 6% responden Amat Bersetuju dengan keikhlasan
pihak kerajaan, manakala 65% Amat Tidak Bersetuju dan menganggapnya
sebagai retorik semata-mata.

Apabila ditanya samada konsep Islam Hadhari selaras dengan ajaran
Islam, kajian mendapati para responden tidak dapat memberikan jawapan
yang konsisten. Didapati 13% responden tidak pasti terhadap soalan
yang dikemukakan, sedangkan 8% sahaja Amat Bersetuju. Jumlah responden
yang Amat Tidak Bersetuju masih lagi tinggi iaitu 52%. Hal ini berlaku
mungkin kerana kerajaan gagal meyakinkan pihak rakyat bahawa Islam
Hadhari adalah selaras dengan ajaran Islam.

Satu lagi isu yang sangat dekat dengan masyarakat adalah isu kenaikan
harga barang dan inflasi. Contoh terdekat adalah kenaikan harga
barangan keperluan harian seperti minyak masak dan ayam bersih yang
agak heboh mutakhir ini. Memang agak rumit untuk melihat hubungan
antara isu ini dengan perlaksanaan konsep Islam Hadhari ini.
Bagaimanapun, kajian cuba melihat pandangan responden samada konsep
ini secara umumnya berjaya meningkatkan tahap ekonomi masyarakat
Bumiputra sejak ia diperkenalkan oleh Perdana Menteri. Dapatan kajian
menunjukkan 88% responden merasakan konsep Islam Hadhari gagal
meningkatkan ekonomi Bumiputra.

Secara jelasnya kajian ini membuktikan kerajaan Malaysia telah gagal
menerangkan konsep Islam Hadhari; gagal meningkatkan moral pimpinan;
gagal menurunkan kadar jenayah; tidak ikhlas dalam perlaksanaannya;
gagal membuktikan ianya selari dengan ajaran Islam sebenar; dan tidak
berjaya meningkat ekonomi Bumiputra.

Institut Kajian Strategik
Kuala Lumpur
Februari 2008

*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: