Salam Kamunting,
Pilihan raya umum ke 12 kian menghampiri dengan seluruh kekuatan tertumpu kepada hari penamaan calon. Bahangnya semakin panas dengan berita - berita politik yang sentiasa hangat dan merimaskan.

Seluruh parti politik yang akan bertanding termasuk PAS sebenarnya tengah menempuh fasa pertama yang sentiasa sukar. Ia adalah menamakan bakal calon yang akan bertempur di medan pilihan raya. Walaupun calon bukanlah faktor utama secara umumnya, tetapi ia adalah wajah depan dan fenomena yang menjadi penentu kepada kekuatan parti seluruhnya.

Di Kelantan, menamakan calon amatlah sukar. Bukan hanya UMNO yang hidup matinya berjuang untuk bersyurga dengan kemewahan palsu duniawi, PAS juga turut menempuh saat yang sukar dan merimaskan. Ia sukar sekali sekalipun PAS adalah sebuah parti politik Islam dan juga sebuah gerakan Islam.

Politik sentiasa sukar dan memeritkan. Ia bertambah sukar apabila ia semakin memuncak. Sukarnya politik di luar, sukar lagilah politik di dalam. Menangani syaitan dan nafsu di dalam adalah lebih sukar daripada menangani musuh kuffar di luar walaupun ia pecah dan memuncak di luar.

Itulah yang Allah tunjukkan untuk umat ini dengan memulakan percakaran dalaman bermula di zaman Khalifah ‘Uthman ibn Affan, kemudian Ali dan seterusnya di zaman Muawiyah radhiaLlahu anhum. Daripada merekalah kita mengambil iktibar da petunjuk. Ucapan mereka, pendirian mereka dan tindak tanduk mereka. Merekalah yang dipilih Allah untuk menunjuki kita jalan - jalan pilihan di saat kita diuji dengan pertelingkahan dalaman sesama sendiri.

Ia tentunya sukar sekali untuk dilepasi kecuali dengan kekuatan perjuangan dan petunjuk yang hebat. Maksud firmanNya: “Dan barang siapa yang berjuang di jalan Kami, pasti Kami tunjukinya jalan - jalan Kami.”

( Semasa saya belajar di India, Maulana Andzar Syah Kasymiri, pakar al Hadith di sana pernah dalam selorohnya menyebut bahawa di akhir zaman ini, usahkan dunia politik terus berpecah - belah dan bertelagah, jamaaah Tabligh yang merupakan jamaah akhirat pun berpecahan dan berbalahan juga. Beliau merujuk kepada krisis dalaman jamaah tersebut masa itu.)

Menentukan calon dalam pilihan raya, terutamanya di Kelantan yang diperintah oleh PAS menjadi sukar atas beberapa faktor, setengahnya benar dan setengahnya sebaliknya.

Parti terpaksa memilih yang terbaik untuk menjadi calon. Calon yang berkaliber akan menarik undi yang lebih ramai dan memikat pengundi untuk meyakini dan mempercayai manifesto yang dilancarkan demi memudahkan rakyat memahami misi perjuangan parti.

Di sini adalah biasa berlaku pertembungan dan percanggahan yang perlu ditangani dengan sebaiknya. Ada orang yang merasakan dirinya layak lalu cuba menonjolkan dirinya. Ada yang merasakan dialah pilihan ramai lalu membesar - besarkan kelayakannya. Ada yang menghebohkan kekurangan orang lain dengan harapan namanya timbul. Ada yang melakukannya terang - terang dan ada yang berlapik - lapik. Ini adalah penyakit yang perlu diubati dan dinyahkan saja. Parti tidak mampu menghalangnya timbul di saat pilihan raya kerana di saat inilah kesucian dan kekotoran hati itu diuji.

Tetapi selalunya pertembungan berlaku kerana kerenah para penyokong yang akan melebihkan pilihan masing - masing. Mereka kadang - kadang beriya - iya meyakinkan sesama mereka bahawa mereka lebih mengenali calon berbanding pimpinan atas. Di sini unsur sentimen, keilmuan, kebolehan, kedudukan, kekeluargaan dan sebagainya bercampur aduk.

Pilihan adalah ijtihad. Parti tidak memiliki keupayaan memilih yang setepatnya. Jika betul, lumayanlah kesannya. Jika tidak, ia tak akan buruk semuanya. Pilihan jamaah Islam dipenuhi keberkatan.

Calon satu hal tetapi calon bukanlah segala - galanya. Ada sesuatu yang lebih penting.

Kita namakannya jentera pilihan raya. Kekalutan dan pergeseran menentukan calon akan mudah diubati kesakitannya apabila jentera parti utuh dan bersatu. Kekalutan biasanya di peringkat atas. Jenteralah yang akan memastikan penapisan yang berkesan. Jika jentera pilihan raya yang dibentuk lemah, kekalutan tadi akan merebak ke bawah dengan cepat dan tanpa kawalan. Saat itu kesusahan pasti berlaku.

Perpecahan dalaman adalah senjata berkesan yang akan digunakan musuh sepenuhnya.

Saya, samalah dengan kepimpinan lain mengimpikan perpaduan jentera. Ia adalah kekuatan bagai benteng dan kubu yang kukuh dan utuh. Kita menang dengan pertolonganNya dengan sebab kesatuan yang kita bina. Musuh sentiasa mudah berpecah belah, tetapi tanpa kekuatan sendiri yang diredhaiNya, kita pasti gagal menggamit kemenangan daripadaNya.

Politik adalah kerja utama khilafah. Politik Islam memudahkan pembinaan diri manusia sebagai hamba Tuhan. Bukankah ramai manusia dihumban ke neraka kerana pemimpin? Manusia ditipu kerana mereka menipu diri mereka sendiri. Manusia dizalimi kerana mereka menzalimi diri mereka sendiri.

Semoga Allah menyatukan kekuatan jentera Islam seluruhnya demi kemenangan dan ridha daripadaNya. Allahu Akbar wa LiLlahil Hamd.