Friday, February 15, 2008

Agong TAK BOLEH Bubar Parlimen SEKUKA HATI!

"Tarmizi Mohd Jam" editorxkutif@yahoo.com.my

Agong TAK BOLEH Bubar Parlimen SEKUKA HATI!

Yang di Pertuan Agong tidak boleh membubarkan Dewan Rakyat sesuka hati; baginda cuma diberi kuasa untuk menolak permintaan membubarkan dewan oleh Perdana Menteri jika itu perlu dan wajar.

By TARMIZI MOHD JAM

SAYA bergegas menghubungi Profesor Dr. Abdul Aziz Bari untuk mendapat penjelasan lanjut kenapa Perlembagaan memberi kata putus kepada Yang Di Pertuan Agong dalam soal pembubaran parlimen.

Pensyarah Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu menjelaskan, Perlembagaan Malaysia mengambil iktibar dari pengalaman di Komanwel sejak lebih 100 tahun yang lalu dan Suruhanjaya Reid menyatakan bahawa adalah tidak bijak untuk memberi hak mutlak kepada kerajaan yang memerintah untuk membubarkan dewan.

Dr. Abdul Aziz menambah bahawa sebab mengapa ia tidak bijak ialah kerana pilihan raya mengambil masa, memakan biaya dan mengganggu pentadbiran negara jika ia terlalu kerap diadakan.

Dengan kata lain, tegas beliau, Yang Di Pertuan Agong diberi amanah untuk menimbangkan sama ada pembubaran yang bermakna pilihan raya itu perlu untuk kebaikan negara.

Suruhanjaya Reid bagaimanapun katanya, mengakui adalah tidak mungkin untuk menyenaraikan keadaan-keadaan di mana permintaan untuk membubarkan dewan oleh Perdana Menteri boleh atau perlu ditolak.

Beliau yang saya minta perjelaskan lebih lanjut berkenaan isu ini menegaskan bahawa Suruhanjaya yang diketuai oleh Lord Reid itu sekadar menyerahkan soal pembubaran dewan kepada kebijaksanaan baginda.

Dr. Abdul Aziz menyatakan bahawa untuk mengetahui sebab-sebabnya, beliau telah membaca pelbagai buku undang-undang dan artikel jurnal yang memuatkan kajian dan analisis dari pelbagai negara Komanwel.

“Agak jelas bahawa kuasa budibicara itu adalah salah satu dari keadaan di mana baginda perlu memainkan peranan proaktif selaku agen semak dan imbang perlembagaan,” tambahnya lagi.

Bagaimanapun Pensyarah Undang-Undang UIAM ini, mengingatkan bahawa Yang di Pertuan Agong tidak boleh membubarkan Dewan Rakyat sesuka hati; baginda cuma diberi kuasa untuk menolak permintaan membubarkan dewan oleh Perdana Menteri jika itu perlu dan wajar.

Dr. Abdul Aziz yang pakar dalam isu-isu Perlembagaan itu juga mempertegaskan bahawa kuasa Yang di Pertuan Agong itu hanya relevan sebelum Dewan Rakyat mencecah usia lima tahun kerana di kala itu dewan akan terbubar dengan sendirinya secara automatik.

Berdasarkan pengalaman seluruh Komanwel antara sebab-sebab mengapa permintaan membubarkan dewan ditolak ialah apabila pembubaran diminta tidak lama selepas pilihan raya; contohnya dua tahun selepas pilihan raya.

“Atau di dalam keadaan daftar pemilih belum siap dan banyak masalah. Pernah berlaku di sebuah negara di mana Gabnor-Jeneral menolak pembubaran dewan ketika ramai pengundi tidak berada di dalam negara,” tegasnya lagi.

Dr. Abdul Aziz menyimpulkan bahawa pengalaman di Malaysia setakat ini ialah kerana kerajaan boleh dibentuk tanpa pilihan raya dan ia baru sahaja diadakan.

“Ini yang berlaku di Terengganu pada 1962. Ketika itu kerajaan negeri dibentuk oleh PAS yang memenangi pilihan raya negeri pertama pada 1959. Bagaimanapun Umno berjaya membeli Adun PAS menyebabkan kerajaan yang dibentuk oleh PAS goncang.

“Dalam keadaan itu Sultan menolak permintaan untuk membubarkan dewan kerana jelas pihak Umno boleh membentuk kerajaan dengan adanya Adun yang cukup setelah mereka berjaya mempengaruhi Adun PAS menyeberang ke pihak mereka”.

Keadaan di Kelantan pada 1977 sedikit berbeza. Ketika itu Dato Mohamed Nasir – Menteri Besar PAS yang ditunggangi oleh Umno – tumbang kerana diundi tidak percaya oleh Adun PAS.

Jadi jelas Dr. Abdul Aziz lagi, PAS mempunyai majoriti yang cukup untuk membentuk kerajaan. Pemangku Raja ketika itu – Tunku Ismail Petra – menolak permintaan Mohamed Nasir untuk membubarkan dewan kerana ia jelas tidak perlu.”

Kerajaan negeri dibentuk pada 1974 selepas pilihan raya kebangsaan. Dalam insiden di Kelantan itu, jelas beliau ada beberapa perkara yang penting yakni:
(1) Menteri Besar tumbang kerana undi tidak percaya ia tidak boleh memohon pembubaran dan
(2) Sebagaimana di Terengganu kerajaan masih boleh dibentuk tanpa melalui pilihan raya.

Oleh kerana Umno mati akal dan ia meminta Kerajaan Pusat mengisytiharkan darurat di Kelantan yang membawa kepada pilihan raya negeri 1978 dan berjaya membentuk kerajaan buat pertama kali sejak merdeka.

Mengenai penolakan di Sabah pada 1994 pula, Pensyarah UIAM itu menegaskan, ia sama dengan apa yang berlaku di Terengganu di mana Umno berjaya melumpuhkan Kerajaan PBS melalui taktik yang serupa.

Dalam keadaan tersebut tidak sukar bagi Yang di Pertua Negeri untuk menolak permintaan membubarkan dewan oleh PBS.

Selain keadaan-keadaan itu banyak lagi suasana yang memberi alasan untuk Yang di Pertuan Agong menolak permintaan membubarkan Dewan Rakyat.

Dr. Abdul Aziz berkata beliau setuju dengan cadangan BERSIH yang menyeru baginda menolak permintaan Perdana Menteri.

“Ini kerana kita boleh menunggu sehingga April atau Mei 2009 apabila Dewan Rakyat mencapai usia lima tahun dan terbubar sendiri,” ujarnya lagi.

Beliau berpendapat Yang di Pertuan Agong boleh menggunakan budibicara baginda di bawah Perkara 40(2)(b) itu bagi mempastikan pilihan raya yang bebas dan adil khususnya “dalam mempastikan wujudnya daftar pemilih yang bersih dan tidak diragui”.

Kesimpulannya, Dr. Abdul Aziz berkata, segala-galanya terpulang kepada Yang di Pertuan Agong untuk berbuat sesuatu.

Tetapi, beliau sendiri mengakui, ini semua bergantung kepada kekuatan peribadi dan komitmen baginda.

Sebab itu, katanya lagi, Perlembagaan mewajibkan baginda berikrar dengan lafaz wallahi, wabillahi dan watallahi sebagaimana yang diwajibkan oleh Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan.

“Yang DiPertuan Agong sebagai seorang Islam akan diminta bertanggung jawab di akhirat nanti,” tegasnya mengakhiri sembang-sembang berkenaan isu Perlembagaan dengan saya!


*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

No comments: