Thursday, February 7, 2008

7 Peratus Dividen Tabung Haji, Dividen Pilihanraya

"Pas Johor Bahru" pasjohorbahru@yahoo.com

7 Peratus Dividen Tabung Haji, Dividen Pilihanraya
PASJB menyambut baik langkah Tabung Haji yang mengumumkan pemberian dividen sebanyak 7 peratus yang akan dikreditkan ke dalam akaun pendeposit pada 10 Februari ini.
Dividen tersebut buat masa ini adalah dividen yang tertinggi sejak 1963 yang melibatkan pembayaran sebanyak RM 1.05 billion.
Nampaknya Tabung Haji juga tidak mahu ketinggalan untuk menabur wang sebagai kempen termahal Tabung Haji untuk mengekalkan kuasa UmnoBN pada pilihanraya umum yang akan datang.
Rata-ratanya pendeposit gembira dengan berita tersebut dan berharap kadar dividen yang bakal diperoleh pada tahun-tahun mendatang akan lebih baik lagi.
Tabung Haji yang ditubuhkan pada bulan November tahun 1962, dan beroperasi pada 30 September tahun 1963 bertujuan untuk membolehkan orang-orang Islam menyimpan wang secara beransur-ansur bagi memenuhi perbelanjaan menunaikan fardhu haji malah ia juga berfungsi sebagai suatu badan alternatif kepada umat Islam Malaysia untuk menyimpan wang sambil melabur secara halal dan mengikut lunas-lunas Islam.
Kemampuan Lembaga Tabung Haji memberi dividen sebanyak tujuh peratus berbanding 4.7 peratus tahun sebelumnya dikatakan didorong oleh prestasi pasaran saham yang menggalakkan dan ia memberikan sumbangan tertinggi kepada keuntungan Tabung Haji.
Syabas kepada Tabung Haji, kami masih setia sebagai pendeposit kamu dan berharap ini bukannya gimik pilihanraya.
Buktikan keikhlasan Pengurusan Tabung Haji selepas pilihanraya, jangan ini dijadikan sandiwara, kiranya pendapatan Tabung Haji terus meningkat pada tahun-tahun akan datang dividen juga mesti terus dikekalkan naik.
Bagi kami sebagai rakyat, Tabung Haji adalah tempat dimana wang untuk menunaikan ibadah fardu haji disimpan. Melaburlah sebaiknya tetapi pastikan terus tidak ada lagi pelaburan yang syubhah dan kerugian akibat pecah amanah seperti yang berlaku beberapa tahun yang lalu.
Semoga Tabung Haji terus cemerlang tanpa rasuah politik...
Dividen tujuh peratus - Tertinggi sejak 2001 * Bayaran terbesar Tabung
Haji
Oleh HAMDEN RAMLI dan HELMI MOHD. FOAD
PUTRAJAYA 5 Feb.-Tabung Haji hari ini mengumumkan pemberian dividen sebanyak tujuh peratus kepada kira-kira 4.2 juta pendeposit aktifnya bagi tahun 2007, iaitu dividen yang tertinggi sejak tujuh tahun lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Dr. Abdullah Md. Zin berkata, kadar dividen itu meliputi lima peratus dividen tahunan dan dua peratus lagi dividen khas yang pertama kali diberikan kepada pendeposit Tabung Haji.
Menurutnya, kadar dividen tujuh peratus itu membabitkan pembayaran keseluruhan sebanyak RM1.05 bilion kepada pendeposit Tabung Haji iaitu pembayaran terbesar sejak penubuhan Tabung Haji pada 1963.
Katanya, pembayaran dividen itu akan dikreditkan ke dalam akaun pendeposit pada 10 Februari ini.
"Sejak lima tahun lalu, Tabung Haji telah dapat memberikan dividen kepada para pendepositnya dengan kadar yang amat kompetitif dan munasabah berbanding pelaburan dalam sektor perbankan Islam," kata Abdullah pada sidang akhbar mengumumkan kadar dividen tersebut di sini.
Turut hadir ialah Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Abi Musa Asa'ari Mohamed Nor serta Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ismee Ismail.
Menurut Abdullah, dividen khas dua peratus diberikan kepada pendeposit Tabung Haji pada 2007 berasaskan tiga faktor iaitu sebagai penghargaan kepada semua pendeposit yang masih menaruh kepercayaan kepada pengurusan telus Tabung Haji, mengambil kira prestasi cemerlang 2007 dan sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-50.
Abdullah berkata, kadar dividen tahunan Tabung Haji sebanyak lima peratus merupakan peningkatan sebanyak 0.25 peratus berbanding dividen tahun lalu yang berjumlah 4.75 peratus.
Jumlah keseluruhan pembayaran dividen tahun lalu mencecah RM751 juta berbanding tahun sebelumnya sebanyak RM634 juta.
Sejak lapan tahun lalu, setiap tahun Tabung Haji mampu meningkatkan kadar dividennya iaitu dari kadar 3.25 peratus pada 2001 kepada 3.5 peratus pada 2002, 4 peratus (2003), 4.3 peratus (2004) dan 4.5 peratus (2005).
Dari segi kewangan, kata Abdullah, pada tahun 2007 Tabung Haji telah merekodkan pendapatan kasar berjumlah RM1.9 bilion sebelum ditolak zakat perniagaan.
"Ini merupakan jumlah pendapatan tertinggi pernah dicapai sejak penubuhan Tabung Haji pada 1963.
"Pendapatan kasar telah menunjukkan pertumbuhan tahunan yang baik iaitu pertumbuhan berganda sejak 2002 hingga 2007 atau sebanyak 25 peratus," katanya.
Beliau berkata, pendapatan kasar Tabung Haji pada 2007 meningkat sebanyak RM688 juta atau 59 peratus berbanding 2006 yang terhasil daripada strategi pengurusan memperkukuh kedudukan kewangan Tabung Haji di samping suasana pasaran saham yang memberangsangkan.
Abdullah menjelaskan, peningkatan itu berjaya dicapai berikutan prestasi pasaran saham yang menggalakkan dan ia memberikan sumbangan tertinggi kepada keuntungan Tabung Haji sebanyak 67 peratus, diikuti pendapatan dividen (15 peratus), pasaran wang (sembilan peratus), sewa (empat peratus) dan lain-lain (lima peratus).
Katanya, Tabung Haji juga telah dapat mengawal kos pengurusan pada RM323 juta pada tahun lalu berbanding RM322 juta pada 2006.
Beliau berkata, kos pengurusan tersebut turut membabitkan kos tanggungan langsung bagi ibadah haji sebanyak RM35 juta ekoran kenaikan kos tambang kapal terbang serta peningkatan kos perumahan di Mekah.
Bagaimanapun, Abdullah memberitahu, Tabung Haji tidak melupakan tanggungjawabnya memperuntuk sebanyak RM37 juta sebagai zakat perniagaan berbanding RM27 juta pada 2006.
Dari segi statistik deposit, jumlah simpanan terkumpul Tabung Haji pada 31 Disember 2007 terus meningkat kepada RM16 bilion berbanding RM14.7 bilion pada 31 Disember 2006.
"Kejayaan Tabung Haji meningkatkan prestasinya dari tahun ke tahun adalah hasil perancangan rapi dan komitmen tinggi daripada Jemaah Lembaga Pengarah, ahli-ahli panel pelaburan, pihak pengurusan dan keseluruhan anggota Tabung Haji dalam memantau dan meningkatkan prestasi kewangan," katanya.
Justeru, Abdullah berkata, Tabung Haji bertekad memastikan pulangan yang kompetitif dan munasabah kepada pendeposit selain sentiasa peka terhadap penambahbaikan dalam pengurusan serta keselesaan jemaah haji.
"Pengurusan Tabung Haji beriltizam untuk terus memantapkan struktur pengurusan, operasi haji, pelaburan, aktiviti simpanan dan pengeluaran wang bagi mencapai tahap amalan terbaik.
"Ia kelak dapat memberi keuntungan jangka panjang yang kompetitif kepada para pendeposit dan ia selari dengan matlamat Tabung Haji," katanya.

Sumber : Jundullah - Utusan Meloya


*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

Ini adalah salah satu dari berbagai riwayat Imam Bukhari.
Subscribe to sabda_nabi-subscrib e@yahoogroups. com

No comments: