Wednesday, January 23, 2008

Negara membangun rakyat miskin / Umno mulai rimas Negara Kebajikan

(SABTU HARI KUNING! / YELLOW SATURDAYS!)


Roslan SMS Corner
Negara membangun rakyat miskin

Baru-baru ini semasa berucap di hadapan ribuan penyokong BN di Stadium Cheras PM Dollah Badawi mengumumkan yang kerajaan telah menubuhkan sebuah jawatankuasa peringkat tertinggi untuk membasmi kemiskinan dikalangan semua kaum di Malaysia. Jawatankuasa Kabinet ini dikatakan bermatlamat kemiskinan tegar sifar menjelang 2010.

Sesungguhnya menangani kemiskinan ini sesuatu yang sangat wajar terutama dalam kita mahu kejar status maju dan mahu berdiri sama tinggi dengan negara dunia pertama yang lain. Keutmaan sebuah negara Merdeka sepatutnya adalah membela nasib dan kebajikan rakyatnya. Tetapi beretorik dengan kononnya mahu menyifarkan kemiskinan dalam tempoh 5 tahun terlalu bongkak bunyinya, sedangkan di negara maju pun tidak sifar juga.

Berbalik isu kemiskinan di Malaysia, kalau kita mendengar dan asyik dipupuk dengan lagu-lagu enak dan merdu dendangan pimpinan negara saban hari, kita seakan dikhayalkan seolah negara ini serba maju dan makmur, semuanya senang dan mewah. Kita sedang merangsang giur rakyat dengan pelbagai projek pembangunan koridor seluruh pelusuk negara.

Dalam pada itu rupa-rupanya kemiskinan tegar masih menghantui sekelompok kecil rakyat.
Ketika ada CEO di Malaysia yang berelaun lebih dari RM100,000 sebulan dan memandu kenderaan bernilai lebih RM1 juta. Ketika ada ADUN yang membina mahligai bernilai RM8juta ringgit, bekas MB yang ditangkap dengan berkilo-kilo wang tunia. Rupa-rupanya masih ada rakyat Malaysia, anak-anak bangsa yang jatuh di bawah paras kemiskinan kerana berpendapatan kurang dari RM661 sebulan untuk yang di Semenanjung Malaysia.

Bolehkah dengan RM661 sebulan seorang yang berkeluarga katakanlah dengan dua orang anak hidup? Jangankan di Kuala Lumpur mungkin di Kuala Selangor pun si individu berkenaan pasti berhadapan dengan kesusahan. Dan malah jangankan RM661, sebarang angka di bawah RM1,000 pada pandangan saya bagi mereka yang berkeluarga, pasti akan berhadapan dengan kesusahan juga. Sewa rumah, bil air dan api, tambang dan belanja sekolah anak-anak, semuanya menghimpit dan menekan belaka.

Mungkin garis kemiskinan ini perlu dirombak semula, tak perlulah berretorik mahu sifar miskin tegar, sebaliknya ikhlas dan bersungguh-sungguh bekerja bagi menangani masalah besar ini lebih bermkna dan utama. Kerana itulah Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia atau MTUC menuntut agar gaji minima sebanyak RM900 diperkenalkan bagi pekerja-pekerja kita disektor swasta disamping COLA sebanyak RM300. Kerana realitinya ramai dikalangan pekerja disektor ini pada hari ini hidup susah, mungkin tidak dibawah RM661 sebagaimana ditetapkan tetapi susah juga walaupun berpendapatan lebih dari itu.

Selain itu harga barangan makanan dan perkhidmatan disamping bahanapi juga perlu dikawal dan dipastikan agar tidak terus membebankan rakyat yang sedia susah. Tidak ada makna contohnya bagi kakitangan awam yang dinaikkan gajinya baru-baru ini (setelah tidak naik 14 tahun) jika pada waktu yang sama kos hidup terus meningkat angkara kenaikkan harga barang dan perkhidmatan ini.

Bagi saya inilah kelemahan dan kegagalan kita, kita sibuk dan berbangga dengan bangunan pencakar langit, kemudahan awam yang canggih dan monumen serta hiasan lanskap yang mahal-mahal, tetapi rupanya rakyat kebanyakkan merungut saban hari kerana bergelut untuk hidup. Keutmaan kerajaan dan negara pada hari ini sepatutnya adalah memberi tumpuan kepada nasib dan kebajikan rakyat. Biarlah negara membangun tetapi dalam waktu yang sama rakyat turut mengecap erti pembanguna itu.

Kalau menurut angka yang dikeluarkan oleh RMK9 angka miskin tegar ini adalah di bawah 6%, tetapi jika kita mengambil kira hal yang saya bangkitkan di atas, dimana gairs yang ditetapkan itu perlukan semakan semula, mungkin lebih ramai lagi yang jatuh di bawah kategori miskin ini dan perlu dibela.


Negara Kebajikan: Umno mulai rimas manifesto BA memikat rakyat
Wartawan Kita
Tue | Jan 22, 08 | 3:32:11 pm MYT
KOTA BHARU, 22 Jan (Hrkh) – ‘PAS dicabar jadikan Kelantan negeri kebajikan’ luah Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa.

Manakala Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh pula menyatakan, ‘tubuh negara kebajikan omong-omongan PAS’.

Sejauh mana kebenaran kenyataan mereka yang jelas berbaur politik. Ia dihabur selepas melihat kejayaan demi kejayaan PAS Kelantan melaksanakan agenda kebajikan untuk rakyat.

Presiden Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan (BBC), Haji Zakaria Yaakub berkata, apa yang dilakukan kerajaan negeri sekarang sudah cukup jelas untuk memberi makna terhadap program kebajikan yang dimanfaat rakyat.

“Misalnya skim Takaful Warga Emas (Kifaalah) dilaksanakan sejak awal tahun lalu tanpa dikenakan sebarang bayaran, sebaliknya kerajaan negeri mencarum sebanyak RM25 setahun bagi lebih 100,000 warga emas.

“Dan apabila mereka meninggal dunia manfaat yang diberi sebanyak RM2,500 iaitu RM500 dibahagi pada hari kematian. Sedangkan ketika mengisi borang pencarum hanya menandatangani sahaja,” katanya.

Sebaliknya, Takaful Merdeka yang diuar-uarkan oleh pemimpin Umno untuk memberi manfaat sehingga RM3,500 hanya melibatkan kalangan ahli-ahli Umno sahaja selepas yuran tahunan dibayar.

Namun sejak skim itu dilancarkan Ogos tahun lepas, ramai ahli Umno di Pengkalan Chepa yang sudah meninggal tidak pun mendapat manfaat yang dijanjikan seperti diluah keluarga mereka.

Itukah kebajikan alaUmno sekadar bercakap, namun pelaksanaannya sering dipertikaikan banyak pihak.

Sekiranya Umno yang menguasai kerajaan Persekutuan mahu mendabik dada mengatakan kebajikan kepada rakyat telah dilaksanakan, mengapa insurans sebanyak RM1.50 dikenakan kepada setiap pelajar tiap-tiap tahun.

Sedangkan kerajaan Kelantan mampu mencarum RM25 kepada lebih 100,000 warga emas setiap tahun tanpa dikenakan sebarang bayaran.

Zakaria yang juga Adun Kemuning berkata, peruntukan khas kepada armalah juga disediakan sebanyak RM80,000 bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) setahun.

Pada Bajet Kelantan 2008 sebanyak RM2 juta disediakan kepada armalah. Jumlah itu tidak termasuk sumbangan untuk kebajikan dan pembangunan wanita sebanyak RM2 juta.

Selain itu sumbangan kebajikan orang bukan Islam dan Orang Asli sebanyak RM1 juta. Bantuan untuk anak yatim juga sebanyak RM2 juta.

Bantuan bekalan air dan elektrik kepada penduduk miskin sebanyak RM1 juta. Baja subsidi kepada petani yang disisih daripada mendapat baja cap dacing disediakan sebanyak RM3 juta.

Bagi rakyat yang ditimpa sakit kronik disediakan tabung khas sebanyak RM300,000. Bantuan kepada golongan orang kurang upaya bagi meningkatkan taraf hidup sebanyak RM800,000.

Manakala setiap Dun pula dibina rumah dhuafaat sebanyak dua unit setahun yang bernilai RM28,000 sebuah tanpa dikenakan sebarang bayaran.

Penduduk miskin yang mahu membaiki rumah diberi bantuan sehingga RM5,000.

“Tidakkah usaha-usaha yang dilakukan kerajaan negeri sejak lebih 17 tahun lalu melalui pelbagai program dilaksanakan sebelum ini sudah cukup mahu menggambarkan Kelantan sebagai sebuah negeri kebajikan.

“Itu belum lagi diambil kira setiap wakil-wakil rakyat PAS memotong elaun bulanan dan dimasuk juga ke dalam Tabung Serambi Mekah bagi membantu penduduk miskin.

“Menteri Besar juga tidak pernah mengambil elaun keraian ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri dan wang tersebut boleh dimanfaatkan bagi faedah rakyat,” kata Zakaria.

Menurutnya juga pemimpin-pemimpin Umno cuba memperlekehkan agenda kebajikan yang dilaksanakan di Kelantan sekarang selepas melihat rakyat cukup tertarik dengan manifesto dibentangkan PAS dan Barisan Alternatif baru-baru ini.

Annuar hari ini dilaporkan mencabar kerajaan PAS mengubah Kelantan menjadi negeri kebajikan dahulu sebelum berangan-angan mewujudkan konsep negara kebajikan di Malaysia.

Manakala Idris yang juga Menteri Besar Kelantan menyebut janji yang dibuat PAS sebagai karut.

Sedangkan Kifaalah yang dilaksanakan PAS di Kelantan mulai ditiru kerajaan Selangor dan Umno. Begitu juga cuti mingguan dua hari seminggu dan cuti bersalin dua bulan kini dilaksana di seluruh negara. - mj

HARI SABTU PAKAI KUNING! / WEAR YELLOW ON SATURDAYS!
Lawati laman 10November di http://10nov. himpunan. info/
Lawati laman Bersih di http://bersih. org/


*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

Ini adalah salah satu dari berbagai riwayat Imam Bukhari.
Subscribe to sabda_nabi-subscrib e@yahoogroups. com

No comments: