Wednesday, January 30, 2008

KERAJAAN BATIK PAK LAH

Assalamualaikum wbh.

Gian Memakai Batik
Walaupun mewajibkan pemakaian batik kepada pegawai kerajaan bukanlah satu isu besar, namun ia tetap memberi impak kepada mereka yang terlibat terutama yang berjawatan rendah.
Bermula dengan kewajipan pemakaian batik pada tarikh 1 dan 15 setiap bulan, memandangkan pihak atasan kerajaan begitu �gian� dengan batik maka dijadikan kewajipan (tidak buat berdosa) itu pada setiap hari khamis supaya lebih kerap dapat dibatikkan kakitangan kerajaan. Jika kegianan itu memuncak, maka kakitangan kerajaan bersedialah untuk dipaksa memakai batik pada setiap hari suatu masa nanti. Itu belum kira songket dan kebaya lagi yang tidak mustahil akan menyusul.

Beberapa fakta di bawah adalah hasil maklumbalas yang boleh direnungkan bersama mengenai isu batik ini :

Batik Lebih Sesuai Untuk Majlis Rasmi
Batik adalah pakaian yang sesuai untuk majlis rasmi yang bersifat santai seperti jamuan, perasmian dan sebagainya. Perdana Menteri yang dulu adalah betul apabila menghentikan pemakaian batik pada hari sabtu kerana batik tidak mencerminkan imej korporat yang lebih agresif.

Rekabentuk Batik Tidak Lasak Untuk Bekerja
Rekabentuk batik Malaysia tidak sesuai untuk bergerak lebih lasak kerana kainnya lembut dan nipis(sutera dan lain-lain), kaedah memakainya adalah baju lepas diluar yang lebih sesuai untuk pergerakan lebih perlahan dan sopan santun semasa majjlis-majlis rasmi. Fesyen ini amat sesuai untuk menyembunyikan perut yang buncit bagi kalangan lelaki yang �mengandung�.

Corak Batik Menjemukan Jika Kerap Dipakai
Corak batik adalah biasanya terang dan dominan dengan motif bunga atau kerawang yang cerah. Corak sebegini memang cantik tetapi jika digunakan selalu ia cepat menjemukan. Ianya tidak sesuai untuk digunakan semasa bekerja kecuali pemakaian satu jenis corak yang seragam dan dari bahan yang tahan lasak.

Oleh kerana cepat jemu dipandang, maka terpaksalah berbelanja lebih banyak lagi untuk memiliki beberapa helai baju batik berlainan corak.

Batik Tidak Menyumbang Peningkatan Prestasi
Penguatkuasaan batik tidak memberi apa-apa penambahbaikan kepada prestasi jabatan kerajaan malah memberi masalah terutama kepada pegawai bawahan kerana harga batik yang elok agak mahal. Ia juga menjadi beban kerana terpaksa memikirkan batik dan menjaga fesyen pada setiap hari khamis sedangkan garispanduan pakaian sediada yang kemas lebih sesuai dan tidak membebankan.

Mana Lebih Afdal, Batik atau Yuran Persekolahan
Ketika isu yuran tambahan sekolah dibangkitkan, ramai ibubapa(swasta dan kakitangan kerajaan) tidak bersetuju mengenainya sedangkan ianya hanya dalam jumlah kurang dari RM200 berbanding dengan harga sehelai baju batik yang sederhana kualitinya yang dalam lingkungan RM150 hingga RM250. Berbelanja untuk kepentingan persekolahan lebih afdal daripada dipaksa berbelanja membeli batik.

Membeli Batik DiMusim Kenaikan Harga Barang Keperluan
Dalam keadaan kenaikan satu demi satu harga barang keperluan hidup ketika ini, pembelian batik adalah satu pembaziran bagi kakitangan yang berpendapatan rendah dan sederhana. Kenaikan gaji yang tertunda sekian lama tahun lepas akan tidak memberi makna jika digunakan untuk membeli batik disebalik membantu meringankan beban sara hidup mereka itu.

Bantu Industri Batik : Satu Penyalahgunaan Kuasa
Perkara terbesar dalam isu ini ialah tujuan memaksa pemakaian batik kepada kakitangan kerajaan adalah demi untuk membantu industri batik Negara kononnya. Apakah benar ianya untuk Negara atau untuk kepentingan peniaga tertentu yang tidak tahu berniaga tetapi dibantu oleh orang yang berkuasa yang berkepentingan sama ?

Dengan memberi alasan untuk membantu industri batik Negara, maka dengan ini pemerintah telah menyalahgunakan pegawai kerajaan kerana melibatkan mereka dengan perniagaan pihak tertentu. Adalah menjadi kesalahan dan boleh dikenakan tindakan tata tertib jika pegawai kerajaan didapati menjalankan perniagaan tetapi kini mereka pula dipaksa �terlibat� dengan perniagaan. Malah terlibat dipihak yang rugi pula kerana terpaksa keluar duit untuk sesuatu yang tidak mustahak langsung.

Berbatik Untuk Negara menggantikan Berkhidmat Untuk Negara
Jika batik dipaksakan atas alasan membantu industri batik Negara, maka selepas ini cara yang sama boleh saja digunakan untuk membantu industri songket, kebaya nyonya dan baba, kasut, seluar dan apa saja yang digunakan oleh pegawai kerajaan ke pejabat. Maka akan berwarna warnilah pejabat kerajaan dengan konsep memperagakan fesyen. Maka eloklah digelarkan Kerajaan Batik sahaja. Motto Berkhidmat Untuk Negara wajar ditukar kepada Berbatik Untuk Negara.

Cadangan Tindakan Baikpulih
Jangan Libatkan Kakitangan Kerajaan Dengan Perniagaan Pihak Tertentu
Pihak kakitangan kerajaan tidak harus dipaksa untuk membantu perniagaan pihak tertentu. Etika berpakaian sebelum ini yang kemas dan lebih berimej korporat lebih sesuai digunakan. Yang hairannya tidak ada pula etika berpakaian menutup aurat mengikut syariat (bukan Hadari). Maka eloklah arahan mewajibkan pemakaian batik ini digugurkan dan hanya �digalakkan� sahaja.

Beri Merit Kepada Pemakaian Batik
Memandangkan jika arahan hanya bersifat �digalakkan� sahaja maka dipercayai ianya tidak mendapat sambutan hangat dari kakitangan kerajaan ( hakikatnya memang batik tidak digemari untuk dipakai semasa bekerja), maka ia masih boleh digalakkan dengan memberi merit atau markah tambahan dalam penilaian prestasi seseorang kakitangan kerajaan itu seperti mana markah yang diperuntukkan kepada aktiviti kemasyarakatan dan sukan yang diceburi mereka.

Wajibkan Batik Kepada Pegawai dan Bukan Kakitangan Bawahan
Pemakaian talileher telah dikuatkuasakan kepada anggota perkhidmatan awam bertaraf pegawai sahaja dan tidak kepada kakitangan bawahan. Perkara yang sama boleh digunakan terhadap pemakaian batik ini. Hanya wajibkan kepada pegawai sahaja kerana pemakaian batik lebih sesuai kepada mereka dengan sebab-sebab berikut :

a) Pegawai tidak banyak bekerja menggunakan tenaga dan bergerak agresif secara fizikal sebagaimana kakitangan bawahan.
b) Pegawai perlu menghadiri mesyuarat, seminar dan majlis-majlis rasmi jabatan dan berjumpa pihak luar yang berurusan dengan kerajaan.
c) Pegawai lebih berkemampuan membeli batik yang berkualiti kerana gaji dan elaun yang tinggi berbanding kakitangan bawahan.

Bantu Industri Batik Dengan Cara Yang Lebih Professional
Jika industri batik perlu dibantu, memaksa pegawai kerajaan memakai batik bukan cara yang berhemah. Pengeluar batik perlu belajar berniaga secara professional, membuat post mortem dan meningkatkan promosi keseluruh dunia untuk memperkenalkan batik Malaysia.
Bukan tidak biasa bagi pihak pemerintah sekarang menggunakan kaedah �bail -out� untuk membantu ahli korporat yang bermasalah. Industri batik tentu boleh dibantu cara ini kerana belanjanya tidaklah sebesar membantu Perwaja atau MAS.

Kesimpulan
Pengeluar Batik Patut Malu dan Belajar Dari Irfan Khairi
Jika budak muda Irfan Khairi seorang diri boleh menjadi jutawan dengan hanya menjual peta pelancungan Malaysia ke serata dunia dari rumah, mengapa pengeluar batik tidak mampu menjual satu produk yang unik yang tidak ada dikeluarkan ditempat-tempat lain di dunia ini ? Mengapa menumpang kepada kuasa pihak atasan dengan memaksa pembelian batik dikalangan kakitangan kerajaan ? Belajarlah dari Irfan yang berniaga/promosi keseluruh dunia dengan hanya duduk di rumah dan bukan bergayut di bawah ketiak pemerintah.

Menumpang Promosi Global Berkesan Irfan Khairi
Jika susah sangat bayar aje iklan batik kepada Irfan supaya dapat menumpang beliau mempromosikan produk tersebut disamping perniagaan beliau sendiri ke serata dunia.

Berniaga Tidak Boleh Jumud
Jika pengusaha batik masih gagal juga dalam industri batik, maka beralihlah kepada perniagaan lain. Dalam perniagaan tidak boleh bersikap jumud dan bergantung kepada satu sumber sahaja untuk membuat keuntungan.

Jika Tidak Tahu Berniaga, Berhentilah !
Jika gagal juga, berhentilah menjadi ahli perniagaan. Janganlah berniaga cara mudah dengan menumpang kuasa orang yang berkuasa. Mohonlah kerja di jabatan-jabatan kerajaan dan rasalah sendiri berbelanja membeli batik yang bukan keperluan itu.
Wasalam.

*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

Ini adalah salah satu dari berbagai riwayat Imam Bukhari.
Subscribe to sabda_nabi-subscrib e@yahoogroups. com

No comments: