Monday, January 14, 2008

KANAK-KANAK HILANG : UNIT AMAL AKAN KERAH USAHA MENCARI

Jabatan Amal uamalpusat@yahoo.com.my


KUALA LUMPUR - Ekoran dari laporan akhbar Harian Metro hari ini, Jabatan Amal Malaysia akan mengerahkan anggota Unit Amal bagi membantu mengesan adik Sharlinie Mohd Nashar dengan menjejaki di kawasan yang berdekatan dengan lokasi tempat dilapor hilang sambil mengedar poster kepada orang.

Seperti kes yang berlaku keatas Allahyarham Adik Nurin Jazlin, Jabatan Amal Malaysia tidak mahu ianya berulang terhadap adik Sharlinie dan berharap orang ramai peka dan memberikan bantuan sekadar yang termampu dalam usaha mencari adik Sharlinie ini.

M.S ABU SAHID
Setiausaha
Jabatan Amal Malaysia DPPP
http://jabamal.wordpress.com


================================================================


Adik ghaib depan mata
Oleh Sarah Zulkifli

PETALING JAYA: “Ia berlaku terlalu cepat, tak sampai setengah minit selepas saya berpaling ke belakang sebelum menoleh semula ke depan, dia (Sharlinie Mohd Nashar) sudah tiada.

“Ketika itu, saya ada di belakangnya dengan menunggang basikal, manakala dia pula berjalan kaki di lorong perumahan untuk pulang ke rumah,” kata Sharliena, 8, mengenai adiknya yang hilang dipercayai diculik ‘lelaki kucing’, pagi semalam.

Kehilangan Sharlinie, 5, turut dikaitkan dengan perbuatan lelaki kucing berikutan tempat kejadian tidak sampai dua kilometer daripada tempat kehilangan Nur Fatiha Zaidi, 6, yang diculik sebelum ‘dipulangkan’ semula dipercayai dilakukan suspek sama, Isnin lalu.

Lelaki kucing turut dikaitkan dengan pembunuhan kejam Nurin Jazlin Jazimin, tahun lalu.

Ketika kejadian jam 11.30 pagi semalam, Sharlinie dikatakan dalam perjalanan pulang bersama Sharliena, melalui satu lorong untuk pulang ke rumahnya di Taman Medan di sini, selepas bermain di taman permainan kira-kira 200 meter dari rumah mereka.

Menurut Sharliena, dia dan adiknya yang lebih mesra dengan panggilan Linie sepatutnya ke kelas mengaji al-Quran selepas pulang dari sekolah jam 11 pagi, tetapi kedua-dua mereka ponteng untuk bermain di taman permainan.

“Saya pulang ke rumah melalui lorong perumahan teres dua tingkat selepas hampir setengah jam bermain di taman permainan bersama Linie. Adik yang berjalan kaki di hadapan saya ‘lesap’ secara tiba-tiba.

“Pelik rasanya kerana sebaik menoleh semula ke depan selepas melihat sesuatu di belakang, Linie dah tiada,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Petaling Jaya di sini, semalam.

Liena mendakwa, sebelum kejadian, dia ada ternampak seorang wanita sedang berjalan di lorong berkenaan.

Ibu mangsa, Suraya Ahmad, 28, berkata dia menyangka kedua-dua anaknya ke kelas mengaji al-Quran seperti hari lain dan terkejut apabila Liena pulang ke rumah beberapa minit selepas kejadian untuk memberitahu kehilangan Linie.
“Sebaik mengetahui kejadian itu, saya membuat laporan di Balai Polis Taman Medan, kira-kira jam 2 petang sebelum ke IPD Petaling Jaya,” katanya.

Suri rumah itu berkata, dia berdoa tiada perkara buruk berlaku pada anaknya seperti kes yang pernah menimpa kanak-kanak malang lain sebelum ini.
“Saya meminta orang ramai yang mengetahui di mana Linie berada supaya segera menghubungi saya atau suami, Mohd Nashar Mat Hussain di talian 016-2709096 atau 016-2583450,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamad, berkata pihaknya masih menyiasat sama ada kehilangan Sharlinie mempunyai kaitan dengan ‘lelaki kucing’.

“Bagaimanapun, berdasarkan taktik yang digunakan lelaki itu sama dengan kes sebelum ini, polis tidak menolak kemungkinan dia turut terbabit dalam kes terbaru ini,” katanya ketika ditemui, semalam.

Harian Metro semalam melaporkan, Nur Fatiha dipercayai diculik seorang lelaki disyaki lelaki kucing yang menggunakan umpan kononnya meminta bantuan mangsa mencari kucing dan burungnya yang hilang ketika mangsa sedang bermain di Pangsapuri Desa Sepakat Sri Manja, Taman Medan, Petaling Jaya, Isnin lalu.

Mangsa yang terpedaya dengan helah lelaki terbabit kemudian dibawa menaiki motosikal sebelum ditinggalkan di tepi jalan di Setapak Jaya, Kuala Lumpur, pada jam 7.45 malam. Orang ramai yang menemui kanak-kanak itu kemudian membawanya ke Balai Polis Wangsa Maju.

*****.*****

KUALA LUMPUR - Bagi menyahut seruan Jabatan Amal Malaysia Dewan Pemuda PAS Pusat diikuti seruan Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasarudin Tantawi, Unit Amal Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan hari ini telah turun ke Masjid Kg Baru, Kuala Lumpur bagi mengedarkan poster kehilangan adik Syarlinie Mohd Nashar yang hilang dan disyaki diculik.




More...Operasi yang bermula selepas menunaikan Solat Jumaat tengahari tadi dilihat mendapat reaksi positif daripada orang ramai yang mana kebanyakannya melahirkan rasa simpati terhadap keluarga mangsa.

Selain daripada edaran poster di Masjid Kg Baru, Unit Amal Wilayah Persekutuan akan menyambung operasi lagi pada keesokan hari dikawasan-kawasan yang menjadi tumpuan ramai seperti di Jalan Masjid India, Chow Kit dan beberapa tempat lagi mengikut kemampuan yang ada.

Walaupun menyedari adik Syarlinie dilaporkan hilang di Petaling Jaya, tetapi tidak mustahil ianya akan dibawa keluar dari lokasi tempat mangsa dilaporkan hilang. Ini berdasarkan laporan akhbar tempatan yang mengatakan terdapat seorang individu yang terserempak dengan seorang lelaki yang hampir menyerupai suspek yang diburu pihak polis bersama seorang budak perempuan yang sedang menangis di Hentian Puduraya.


*****.******

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

Ini adalah salah satu dari berbagai riwayat Imam Bukhari.
Subscribe to sabda_nabi-subscrib e@yahoogroups. com

No comments: