Wednesday, January 23, 2008

Jabatan Agama Johor Tidak Mampu Cegah Maksiat

"Pas Johor Bahru" pasjohorbahru@yahoo.com


Seorang pesara tentera yang merakamkan lebih 50 aksi 'maksiat dan panas' pasangan-pasangan kekasih di satu tempat riadah di Jalan Skudai atau lebih tepat lagi sepanjang kawasan Danga Bay dan Pantai Lido menunjukkan masalah gejala sosial dan maksiat di daerah Johor Bahru sangat kritikal.

Paparazzi ini adalah sekian banyak contoh orang awam yang melihat sendiri perlakuan maksiat dan sumbang pasangan-pasangan yang mencurigakan biarpun pemantauan beliau sekitar hanya satu bulan.

Jabatan Agama Johor (JAJ) mesti berbuat sesuatu supaya bandaraya Johor Bahru ini akan datang tidak digelar 'Bandaraya Maksiat' memandangkan kes-kes rogol dan kelahiran anak luar nikah negeri ini yang semakin meningkat.

Kebanyakan dari kita kenal dengan penguatkuasa- penguatkuasa JAJ yang rata-ratanya terdiri dari para Ustaz dan alim ulama yang sekian banyak mengadu kepada masyarakat betapa mereka tidak mampu untuk membuat pemantauan dan operasi cegah maksiat dalam kawasan lingkungan yang besar memandangkan gejala maksiat yang semakin menjadi-jadi di negeri Johor ini.

Tidak dapat tidak JAJ mesti bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat,Pasukan Rela dan Polis dalam melaksanakan Ops Maksiat memandangkan tenaga penguatkuasa JAJ yang tidak ramai dan cukup dibandingkan dengan jumlah kepadatan penduduk yang semakin ramai di bandaraya Johor Bahru.

Lokasi-lokasi maksiat 'awam' sebenarnya begitu banyak sekali di bandaraya ini sebut saja Danga Bay, Pantai Lido, Stulang Laut, Senibong, Dataran Bandaraya,Tmn Bunga Raya,Jalan Trus,Jalan Dhobi, dan Susur 1 Jalan Tun Abd Razak ini semuanya sudah maklum kepada rakyat tempat maksiat seks dan arak.

PASJB dan Dewan Pemuda kawasan-kawasan bersama DPPNJ sering melakukan pemantauan dari masa-kesemasa dan kami dapati maksiat memang cukup banyak disini, apa yang kami mampu buat sebagai rakyat hanyalah mampu menegur pasangan-pasangan ini,mengedarkan risalah kesedaran tentang maksiat dan pernah ada tangkapan yang kami jalankan bersama JAJ suatu ketika dahulu.

Pendedahan ini sebenarnya menggambarkan sikap sebenar kerajaan negeri Johor terhadap keseriusan untuk membenteras maksiat dan gejala sosial. Mana mungkin dengan jumlah pegawai penguatkuasa JAJ yang sedikit mampu untuk mengawasi lebih 2.5 juta orang Islam di Johor.

Penguatkuasaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 sendiri tidak akan bermakna sekiranya kerajaan negeri Johor tidak berbuat sesuatu biarpun sudah banyak kali aduan dibuat dan dibangkitkan dalam dewan negeri melalui wakil rakyat mewakili PAS dari Senggarang oleh Dr Mohd Ramli yang mempersoalkan apakah kerajaan Johor tidak berbuat sesuatu dengan membiarkan terus masalah ini.

Benarlah bagai dikata UmnoBN tidak pernah serius memerangi maksiat kerana pemimpin mereka sendiri terpalit dengan najis maksiat dan mungkar....

'Saya mahu cegah maksiat'

Oleh Mary Victoria Dass(Harian Metro)

JOHOR BAHRU: Dengan lagak seperti paparazzi, seorang pesara tentera secara sukarela merakam lebih 50 aksi 'panas' pasangan kekasih di sebuah kawasan riadah di Jalan Skudai, di sini.

Gambar dirakamkan lelaki itu menunjukkan pelbagai gelagat pasangan bercinta seolah-olah hilang malu apabila bercumbu dan berpelukan di kawasan riadah itu tanpa mempedulikan pengunjung lain.

Pesara tentera berkenaan, Bachok Daeng Shahdan, 51, yang menunjukkan gambar itu kepada wakil Harian Metro, berkata dia berbuat demikian dalam tempoh sebulan mulai Disember hingga awal bulan ini.

Menurutnya, dia bukan mahu mengaib mahupun menjatuhkan maruah pasangan kekasih berkenaan, sebaliknya memberi kesedaran supaya tidak melakukan maksiat, apatah lagi di tempat tumpuan ramai.

Selain pasangan tempatan, katanya, warga asing turut memilih tempat tersembunyi di kawasan riadah itu memadu asmara.

"Saya mula merakam merakam gambar pasangan melakukan perbuatan tidak sopan itu selepas memerhatikan ada pasangan bercumbu berhampiran tempat permainan kanak-kanak ketika mengunjungi kawasan riadah itu
bersama ahli keluarga.

"Kebanyakan gambar berkenaan dirakamkan pada waktu petang hingga malam dan ada yang memilih kawasan berhampiran pantai serta di bawah pokok buluh sebagai tempat melakukan perbuatan sumbang.

"Ada antara mereka asyik melakukan perbuatan itu hingga tidak menyedari saya merakamkan gambar mereka. Sebahagian pula memaki dengan perkataan kesat dan cuba mengejar saya merampas kamera kerana khuatir perbuatan mereka didedah atau disebarkan," katanya.

Bachok berkata, gambar berkenaan akan diserahkan kepada pihak berkuasa bagi memastikan kawasan riadah itu bebas gejala maksiat pada masa depan.

Dia berkata, gejala maksiat yang berleluasa di kawasan riadah itu tidak seharusnya dipandang remeh kerana ia mampu menyumbang masalah tidak diingini pada masa depan.

"Tambahan pula, perbuatan tidak bermoral itu boleh menjejaskan imej Bandaraya Johor Bahru di kalangan pelancong asing yang akan melabelkan kawasan riadah di sini sebagai tempat maksiat sekiranya memerhatikan perbuatan tidak bermoral.

"Sehubungan itu, pengurusan kawasan riadah itu seharusnya mengetatkan rondaan bagi mengelakkan pasangan kekasih mengambil kesempatan," katanya.

Sumber : Jundullah - Harian Metro

Layari : http://www.pasjohor bahru.com

*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

Ini adalah salah satu dari berbagai riwayat Imam Bukhari.
Subscribe to sabda_nabi-subscrib e@yahoogroups. com

No comments: