Saturday, January 26, 2008

Derita keluarga ISA / 30 mogok lapar di Klang

(SABTU HARI KUNING! / YELLOW SATURDAYS!)


Derita keluarga ISA, enam tahun dipenjara tanpa bukti
Anis Nazri | Foto Wan Zahari Wan Salleh
Fri | Jan 25, 08 | 2:15:43 pm MYT
Terpisah di sebalik tembok Kem Kamunting (Kemta) dengan suami tercinta merupakan titik hitam dalam hidup Siti Norma Ismail.

ImageSejak enam tahun lalu, kebahagiaan hidupnya sekeluarga diragut sekelip mata apabila suami, Abdullah Minyak Silam diheret ke Kemta untuk satu penahanan tanpa bicara - ISA.

Bersama wartawan Anis Nazri, menyingkap lembaran hidupnya yang tercalar ekoran akta drakonian itu, di kediamannya di Semenyih, 20 Januari lalu.

Tanpa bukti kukuh, suaminya dipaksa merengkuk di balik tembok kem dengan dakwaan awal kononnya terlibat dengan Kumpulan Militan Malaysia(KMM) , suatu badan yang dinamakan oleh kerajaan sendiri, sebelum dikatakan pula sebagai Jemaah Islamiyah (JI).

Bermula saat suaminya, Abdullah - seorang rakyat Indonesia ditahan pada 14 Januari 2002, segala urusan keluarga menjadi tanggungjawabnya. Jika dulunya urusan keluarga diuruskan suami, kini Norma perlu melakukannya sendiri. Apatah lagi dengan kehilangan sumber pendapatan daripada suaminya yang berniaga di pasar-pasar malam.

Begitu juga apabila melibatkan urusan anak tunggal mereka, Muhammad Safwatullah Amjad, yang sebelum ini diuruskan sepenuhnya oleh suami. Paling menyayat hati ketika beliau menghantar anaknya Amjad, yang ketika itu berusia lapan tahun, ke sekolah untuk kali pertama dalam hidupnya.

Hubungan rapat suaminya dengan Amjad menyebabkan beliau tidak pernah menguruskan dan menghantar Amjad ke sekolah.

"Amjad rapat dengan abinya. Dari penyediaan pakaian hingga ke pintu kelas serta mengambil pulang, dilakukan oleh abinya. Saya cuma menyediakan sarapan untuk Amjad setiap pagi. Sejurus suami ditahan, air mata saya menitis apabila menghantar Amjad ke sekolah. Betapa banyak benda mengenai Amjad yang saya tidak tahu," cerita beliau.

Tidak cukup dengan itu, kesengsaraan yang dirasai makin menyakitkan apabila setiap kali pertemuan dengan suaminya di Kemta hanya dapat berlangsung sekitar 45 minit setelah penat dan lelah memandu selama empat jam.

Bukan sekadar masa perjalanan yang panjang, wang dan tenaga turut dikorbankan demi sebuah pertemuan antara isteri dan suami, ayah dan anak - Muhammad Safwatullah Amjad, 14 tahun bagi merungkai rasa rindu yang bersarang di hati.

Image"Kalau difikirkan, memang ia satu perjalanan yang memenatkan. Bayangkan, setelah berpenat lelah memandu selama empat jam, kami hanya dibenarkan berjumpa selama 45 minit. Belum lagi dikira kos sepanjang perjalanan, yang melibatkan minyak, tol, makan dan penginapan. Di mana sifat-sifat kemanusiaan pihak yang bertanggungjawab? " soal beliau, sambil mengatakan beliau membuat lawatan ke Kamunting setiap dua minggu semasa dua tahun pertama penahanan suaminya.

Katanya, beliau terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM300 setiap kali memulakan perjalanan ke Kamunting untuk bertemu dengan suami. Adakalanya, beliau turut menumpangkan isteri dan anak-anak tahanan yang lain, yang tidak mempunyai kenderaan sendiri untuk melawat suami dan bapa mereka di Kemta.

Bukan setakat hanya 45 minit tempoh pertemuan, jaring yang memisahkan mereka juga menambahkan luka di hati mereka. Hanya lubang sebesar duit syiling 50 sen sebagai perantara pertemuan mereka. Namun, selepas beberapa kali memohon, akhirnya mereka dibenarkan berjumpa dan berbual dengan menggunakan interkom.

Dalam pada itu, Norma sering diganggu SB-SB di awal penahanan suaminya. Adakalanya, SB akan mengekori beliau hingga ke depan rumah dan menunggu selama beberapa jam sebelum bergerak meninggalkan rumahnya.

Menyorot penglibatannya dengan GMI, Norma menyatakan bahawa beliau mula mengenali dan mengikuti program NGO itu pada tahun kedua suaminya ditahan. Semuanya bermula apabila beliau seringkali berjumpa dengan isteri bekas tahanan ISA, Aliza Jaffar, yang ketika itu suaminya- Saari Sungib masih ditahan di Kemta.

"Setiap kali lawatan ke sana, saya dipertemukan dengan Kak Aliza. Daripada beliau, saya tahu mengenai GMI dan akhirnya saya mengambil keputusan untuk bersama-sama bersuara dalam menyatakan hak suami, saya dan juga rakyat Malaysia, yang dizalimi akta rimba itu," luah beliau sambil mengatakan taraf pemastautin tetap (PR) suaminya telah dibatalkan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Tahun ini, genaplah enam tahun suaminya dipisahkan dengan keluarga. Bukan sedikit ketabahan dan kecekalan yang terpaksa dipupuk Norma dalam menghadapi keperitan itu. Namun, dorongan dan sokongan daripada keluarga menjadikan beliau semakin gigih dalam usaha menyatakan hak dan keadilan.

Harapannya, tahun ini suaminya dibebaskan PM, lebih-lebih lagi tiada bukti yang mensabitkan kesalahan Abdullah. Baginya, cukuplah enam tahun suaminya ditahan tanpa sebarang bukti yang sah.

"Mudah-mudahan PM membebaskan segera suami saya serta tahanan lain. Cukuplah tempoh enam tahun mengumpul bukti untuk disabitkan kesalahannya. Sepatutnya sebagai PM, Abdullah perlu menjaga rakyat bukan menzalimi mereka," tegas beliau.

30 mogok lapar di Klang bantah ISA.

hindraf-mogok-lapar Photo By Bayu Abdullah
KLANG, 24 JAN- Seramai 30 orang termasuk 5 wanita mengadakan mogok lapar di Kuil Sri Bala Subramaniar Swamy, Pelabuhan Klang selama lima hari bagi membantah pengunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)

Menurut salah seorang yang menyertai mogok berkenaan, V Raidhu mereka hanya minum air yang mengandungi glukosa sepanjang tempoh mogok.

�Mogok ini bukan hanya untuk memperjuangkan pemimpin Hindraf, malah kepada semua tahanan ISA yang terbukti dizalimi,� kata V Raidhu.

Mogok berkenaan dimulakan pada 20 Januari lepas dan akan berakhir pada 25 Januari jam 7 malam.

Dalam pada itu, satu Majlis Doa untuk tahanan ISA akan diadakan di Kuil Aum Sri Thavamunieeswarar di Sentul Pasal 27 Januari (ahad ini) pada jam 6 petang.

Pada 16 Februari ini pula, aktivis Hindraf akan berkumpul di perkarangan parlimen untuk menghantar bunga kepada Perdana Menteri, Abdullah Badawi.

Lagi berita disiarkan dalam Suara KeADILan isu 126 yang akan diterbitkan pada 30 Januari ini.

JOM BERSIH!!! bersih.org/


HARI SABTU PAKAI KUNING! / WEAR YELLOW ON SATURDAYS!
Lawati laman 10November di http://10nov. himpunan. info/
Lawati laman Bersih di http://bersih. org/



*****.*****

Daripada Abu Umarah iaitu al-Bara' bin 'Azib radhiallahu anhuma, katanya: "Kita semua diperintah oleh Rasulullah s.a.w. untuk melakukan tujuh perkara, iaitu meninjau orang sakit, mengikuti janazah, menentasymitkan orang yang bersin, menolong orang yang lemah, membantu orang yang teraniaya, meratakan salam dan melaksanakan sumpah."

(Muttafaq 'alaih)

Ini adalah salah satu dari berbagai riwayat Imam Bukhari.
Subscribe to sabda_nabi-subscrib e@yahoogroups. com

No comments: