Thursday, December 13, 2007

Umno dan Israel sama / Tahanan dibebaskan, kereta terbakar

(SABTU HARI KUNING! / YELLOW SATURDAYS!)

aHmadHazieq wrote:
Umno dan Israel sama-sama menindas golongan marhaien
Oleh HermanSamsudeen


Sungguh melucukan bila mana membaca lawak jenaka Pensyarah Kanan Pusat Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) Dr. Siva Murugan yang cuba membela Umno dan mendakwa bahawa Demonstrasi Pemuda UMNO dan Hindraf adalah tidak sama.

Dalam komentar beliau yang dipetik oleh akhbar Utusan Malaysia pada 11 Disember, yang bertajuk “Demonstrasi Pemuda UMNO, Hindraf tidak sama“, beliau akhirnya secara spontan mengakui juga bahawa kedua-dua kelompok ini berbeza memang ideologi tetapi mempunyai persamaan dalam memperjuangkan isu penindasan kaum. Dalam erti kata lain, tajuk berita Utusan itu perlu ditukar kepada “Umno dan Hindraf punyai persamaan dalam perjuangan mereka”.

“Isu yang diperjuangkan oleh Pergerakan Pemuda UMNO dan Hindraf adalah jauh berbeza. Nyata sekali kepada orang ramai bahawa kedua-duanya membawa ideologi berbeza walaupun pada dasarnya melaungkan mengenai penindasan terhadap sesuatu kaum,” kata Dr. siva.

Hakikatnya, kedua-dua kelompok ini berjuang atas dasar perkauman dan itulah yang sebenarnya cuba diungkapkan oleh Dr. Siva.

Dari sisi pandangan yang ketiga kenyataan itu juga boleh dianggap sebagai satu pengiktirafan terhadap dakwaan Hindraf bahawa wujudnya penindasan Kaum India dinegara ini oleh Kerajaan Umno-BN.


Jika dikenangkan kembali, pada 28 Julai 2006 yang lalu Pemuda Umno telah berhimpun di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur untuk menyerahkan memorandum kepada Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Condoleezza Rice yang menghadiri Forum Serantau ASEAN (ARF) atas isu keganasan Israel di Palestine dan Jordan.

Dua hari Sebelum itu, iaitu pada 26 Julai Pergerakan Pemuda UMNO Perak telah bertindak ekstrim dengan membakar bendera Israel dan Amerika Syarikat (AS) di perkarangan Dataran Bangunan UMNO Perak sebagai tanda bantahan terhadap penindasan ke atas rakyat Palestin dan Lebanon.
Dalam kedua-dua demontrasi ini tiada sebarang gas pemedih mata dan tiada seorang pun pemimpin pemuda Umno yang ditahan.

Jika dilihat pada perhimpunan Hindraf pada 25 November 2007, mereka juga berhimpun untuk menyampaikan memorandum kepada Kerajaan Britain melalui pejabat kedutaannya di Jalan Ampang. Memorandum itu sebenarnya, khusus untuk melaporkan ketidakadilan Kerajaan Umno-BN dalam melayani kaum India dinegara ini. Mereka juga mendakwa kaum India di Malaysia tertindas dengan beberapa dasar Kerajaan yang tidak memihak kepada mereka termasuklah dalam soal pemberian kontrak-kontrak kerajaan dan soal pembelian hartanah.

Walaubagaimana pun sambutan yang diberikan oleh pihak Polis cukup berbeza. Mereka tidak diberi permit walaupun telah memohon lebih awal. Mereka juga ditembak dengan gas pemedih mata, cecair kimia dari water canon, dan ada juga yang dipukul. Ekoran dari itu, penyokong-penyokong Hindraf terpaksa bertindak balas dengan membaling batu ke arah polis. Jika dilihat pada rakaman video dan gambar yang tersiar di media mereka membaling batu ke arah Polis yang diperkuda oleh BN sama seperti kanak-kanak palestine membaling batu kepada tentera Israel.

Walaupun perjuangan mereka tidak sesuai dipadankan dengan perjuangan umat Palestine, namun dari segi soal layanan hak asasi dan kemanusian, di situ ada persamaannya.

Pemuda Umno yang bangga mendakwa perhimpunan mereka tahun lepas sebagai lambang kebersamaan dengan Palestine sebenar sedang memanipulasikan minda rakyat. Rakyat Malaysia tetap tidak akan lupa dengan peristiwa naiknya bendera haram Israel dihadapan Bangunan Umno di PWTC pada Disember 2005 sempena Forum keamanan sejagat yang mana wakil Israel dan Palestine turut dijemput sekali.


Tidak cukup dengan itu, rakyat Malaysia juga tidak lupa dengan tindakan Menteri Luar Palestin, Mahmoud Zahar (Hamas) yang memboikot suatu program yang diatur kerajaan Malaysia sempena persidangan khas Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) pada Mei 2006, iaitu setelah Kerajaan Umno-BN mengiktiraf kehadiran wakil Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Farrouk Khadoumi. Farrouk bukanlah wakil Palestine yang sah, tetapi beliau diberikan ruang yang luas bagi mewakili Palestine dan berucap dalam persidangan itu. Walaupun pihak Kerajaan mengetahui bahawa Mahmoud adalah wakil sah Palestine, namun kehadiran beliau langsung tidak diberikan pengiktirafan yang sewajarnya.



Kedua-dua insiden in sudah cukup membuktikan bahawa Kerajaan Umno-BN sebenarnya tidak ikhlas dalam memperjuangkan Palestine. Tindakan mereka membakar bendera Israel dan Amerika adalah satu lakonan semata kerana selepas itu, Pak Lah boleh pula bersalaman dan mendengar alunan muzik piano yang dimainkan oleh Condoleezza Rice sempena makan malam Forum Serantau ASEAN (ARF). Pak Lah juga menjalinkan hubungan yang akrab dengan penjenayah dunia iaitu, Presiden Bush.


Sehingga kini, Kerajaan juga masih cuba menafikan bahawa Malaysia langsung tidak menjalankan hubungan dagang dengan Israel. Hakikatnya, pelabur-pelabur dalam industri elektrik dan elektronik di Malaysia mengimport berjuta-juta komponen elektrik dari Israel. Hubungan dagang Israel Malaysia juga turut dibincangkan dalam FTA Amerika - Malaysia.

Sesungguhnya lawak Pemuda Umno tidaklah begitu kelakar. Mereka tidak layak untuk mengiktiraf mereka sebagai pendokong perjuangan Palestine. Malah mereka lebih buruk lagi dari apa yang Hindraf lakukan. Jika Hindraf didakwa cuba mencetuskan permusuhan dan masalah perkauman antara India dan Melayu, Umno pula sebenarnya telah lama membakar api permusuhan dengan Kaum India, Cina dan paling penting adalah Kaum Melayu sendiri.

Umno gagal memberikan kesamarataan dan keadilan kepada semua rakyat. Mereka turut menyapu bersih peruntukan Hak Istimewa Orang Melayu ke dalam Poket pemimpin mereka. Duit PPRT yang sepatutnya diberikan kepada orang-orang miskin juga ‘dicuri’ mereka. Maka terpaksalah rakyat-rakyat marhaien ini terus menerus tinggal dipondok-pondok buruk mereka walaupun telah 50 tahun memangkah BN.


Walaupun ramai lagi orang India yang miskin namun, pemimpin-pemimpin MIC hanya berdiam diri kerana mereka telah diberikan banyak habuan melalui projek-projek JKR termasuklah dalam pembinaan jalan-jalan raya diseluruh negara. Sothinathan, K. Devamany dan Kayveas pernah bersuara untuk menuntut keadilan bagi kaum India, namun akhirnya mereka dipanggil oleh Najib dan didesak untuk menarik semua kenyataan-kenyataan mereka yang kononnya kontradik dengan semangat BN.

Pemimpin Cina melalui MIC dan Gerakan pula enggan menentang Umno kerana mereka juga telah banyak terhutang budi dengan Umno yang memberikan banyak sokongan kepada pengusaha-pengusaha sektor perindustrian yang dikuasai oleh kaum cina yang menaja mereka di musim pilihanraya.

Yang tinggal kini hanyalah rakyat marhaien yang tertindas angkara ketamakan mereka semua. Kebangkitan Hindraf adalah suatu malapetaka bagi Umno. Dan sinonimnya perjuangan mereka tetap tidak akan membawa apa-apa makna selagi mana Umno-BN masih memerintah negara ini.

Jadi terpulanglah pada rakyat untuk menentukan cara mana undi mereka akan dibawa pada Pilihanraya akan datang. Sesungguhnya pelanduk yang berotak kecil itu pun tidak akan masuk perangkap untuk kali kedua. Maka, orang-orang Melayu dan rakyat Malaysia tidak selayaknya disamakan dengan binatang walaupun ianya sekadar sang kancil kerana kita lebih baik dari itu dalam menilai mana yang benar dan salah.

*****.*.**** *
Tahanan dibebaskan, kereta terbakar, barangan mereka masih ‘ditahan’
Oleh HermanSamsudeen


Kuala Lumpur : Kesemua 15 orang pimpinan dan aktivis BERSIH yang ditahan semalam telah dibebaskan pada pukul 10 malam tadi dengan jaminan mulut. Mereka yang dibebaskan adalah;

1.
Dr. Hatta Ramli (Bendahari PAS)
2.
Ustazah Nuridah Mohd Salleh (Ketua Dewan Muslimat PAS)
3.
Dr. Lo’ Lo’ Ghazali (Ahli Jawatankuasa PAS Pusat)
4.
Ustaz Nasruddin Tantawi (Timbalan Ketua Pemuda PAS)
5.
Tian Chua (Ketua Penerangan PKR)
6.
Ang Hiok Gai (Ahli MPT KeADILan)
7.
Dr Nasir Hashim (Pengerusi Protem Parti Sosialis Malaysia)
8.
S. Arutchelvan (Setiausaha Agung PSM)
9.
A. Sivarajan (Ahli Jawatankuasa Pusat Protem Parti Sosialis Malaysia)
10.
Abdul Razak Ismail (Koordinator Informasi, Labour Resource Centre)
11.
Azira Ariffin (Aktivis)
12.
Hashim Awang (Aktivis)
13.
Mohd Sabri Shafie (Aktivis)
14.
Mohd Badilah Muda (Aktivis)
15.
Norazimah Mohd Nor (Aktivis)

Kesemua mereka diminta untuk menghadirkan diri pada pukul 9 pagi, 18 Disember ini di Mahkamah Majistret Jalan Duta, Kuala Lumpur atas tuduhan menyertai perhimpunan aman.

Sebelum itu, seramai 9 orang telah dibebaskan terlebih dahulu tanpa sebarang pendakwaan iaitu;

1.
Dato’ Mustafa Ali (Ahli Jawatankuasa PAS Pusat)
2.
Dr Dzulkifli Ahmad (Ketua Pusat Penyelidikan PAS)
3.
Tan Sri Khalid Ibrahim (Setiausaha Agung PKR)
4.
Yap Swee Seng (Pengarah Eksekutif Suaram )
5.
Wong Chin Huat (WAMI)
6.
Mokhtar Rozaidi (Pengurus Iklan Harakah)
7.
Mien Lor (KOMAS)
8.
V. Gayathry (CIJ)
9.
Abdul Muhaimin Roslan (Remaja 13 Tahun)

Semasa penahanan, mereka turut diminta menandatangani surat penafian hak peguam untuk membela mereka tanpa kebenaran Polis. Ust Nasarudin berkata;

“Pihak polis telah menerangkan hak-hak mereka termasuklah untuk berdiam diri atau mendapatkan khidmat peguam. Walaubagaimana pun pihak polis mendakwa bahawa mereka mempunyai ‘kuasa tersendiri’ untuk mengabaikan hak tersebut termasuklah tidak membenarkan khidmat peguam digunakan semasa keterangan mereka diambil”.

Ust. Nuridah pula menyatakan bahawa pada pukul 6 petang semalam, tahanan wanita telah dibawa ke Lokap Jalan Travers manakala tahanan lelaki dibawa ke Lokap Jalan Pudu. Walaubagaimana pun, tiba-tiba sahaja pegawai pengiring mereka menerima arahan untuk membawa mereka kembali ke Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur di Jalan Hang Tuah. Nampaknya pihak Polis pun keliru dan tidak tahu apa yang sepatutnya mereka lakukan.

Sebelum itu, pada kira-kira pukul 2 petang Tian Chua telah di bawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur untuk mendapatkan perintah lanjutan penahanan. Walaubagaimana pun, disebabkan kegagalan pihak Polis mengemukakan dokumen pertuduhan yang lengkap, Tian Chua dibawa pulang ke IPK Jalan Hang Tuah. Pihak polis mengakui bahawa mereka memang tergesa-gesa pada ketika itu kerana menerima desakan yang hebat dari ‘atas’.

Selepas dibebaskan, Tian Chua telah membuat satu aduan berhubung kenderaan milik Saudara Abdul Razak Ismail (Koordinator Informasi, Labour Resource Centre) yang terbakar ketika ditunda oleh Polis dari tempat penangkapan di hadapan Parlimen. Pihak polis mendakwa bahawa kereta tersebut telah terbakar dengan sendirinya dan tidak ada kena mengena dengan mereka.

Walaubagaimana pun, Tian Chua mendakwa bahawa kereta tersebut sengaja dibakar oleh pihak Polis. Tiada sebab kereta itu boleh terbakar dengan sendirinya, sedangkan tiada siapa yang menghidupkan enjin kenderaan itu selepas beliau dan razak ditahan.

Selain itu, Norazimah Mohd Nor pula mendakwa bahawa pihak polis telah ‘menahan’ handphone beliau untuk siasatan lanjut. Walaupun telah diminta untuk dipulangkan, namun pihak polis enggan bekerjasama. Mereka meminta Nora menyediakan penjamin jika mahu ’membebaskan’ handphone tersebut.

Tidak cukup dengan itu, sebuah kamera digital dan notebook turut diambil dan enggan dipulangkan oleh pihak polis. Pihak polis hanya berjanji akan memulangkan ke semua barang yang ‘diambil’ itu selepas siasatan selesai.

Dalam perkembangan terakhir, pimpinan dan aktivis BERSIH yang ditahan ini mengutuk sikap bacul Perdana Menteri yang mempergunakan ratusan anggota Polis bagi menghadapi menghadapi mereka pada hari semalam. Kehadiran mereka di Parlimen adalah secara aman dan jumlah yang hadir tidak sampai 30 orang. Mereka disambut oleh ratusan anggota Polis yang berkubu dihadapan Parlimen.

Pada waktu ini, mereka juga meminta agar ahli dan penyokong gabungan BERSIH tidak gentar dengan segala apa yang telah terjadi dan meneruskan agenda perjuangan yang telah didokong secara bersama sebelum ini.


Lawati Laman Rasmi Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan di http://dppwp. wordpress. com
Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

HARI SABTU PAKAI KUNING! / WEAR YELLOW ON SATURDAYS!
Lawati laman 10November di http://10nov. himpunan. info/
Lawati laman Bersih di http://bersih. org/


To leave comments, please refer to latest posting at talkonly or http://talkonly.blogspot.com, thank you.

No comments: