Thursday, December 13, 2007

UMNO ‘berlutut’ lagi, minta PAS keluarkan pendirian tentang Hindraf

Oleh HermanSamsudeen

Kuala Lumpur : Dalam menangani isu Hindraf, Umno kini kelihatan semakin tersepit dan terdesak hingga sanggup ‘berlutut’ dan ‘merayu’ agar PAS memberikan sokongan terbuka kepada mereka. Peguam Hindraf, P. Uthayakumar sebelum ini telah memaklumkan kepada media bahawa;

“Kami (Hindraf) tidak bermusuh dengan orang Melayu kerana mereka banyak membantu. Hindraf hanya memusuhi Umno!”.

Ekoran dari kenyataan itu Setiausaha Pemuda Umno, Rahman Dahalan sanggup ‘berlutut’ dan merayu agar PAS menyatakan pendiriannya dan menyokong Umno atas dasar Melayu dan Islam;

“jika memusuhi Umno bermakna memusuhi orang Melayu dan PAS juga dianggotai orang Melayu beragama Islam, jadi PAS tentu ada pendirian terhadap Hindraf,” kata Rahman dalam kenyataannya bersama BERNAMA.

Sebelum ini, Ketua Pemuda Umno, Hishammuddin Hussein turut ‘merayu’ agar PAS menyatakan pendirian dalam isu ‘ethnic cleansing’ yang dibangkitkan oleh Hindraf. Dalam kenyataan rasminya, Hishammuddin berkata;

“Saya nak tanya kepada pihak pembangkang khususnya Pas sama ada mereka bersetuju dengan HINDRAF yang menggambarkan kita semua (Kerajaan UMNO-BN) sebagai terrorist, sebagai pengganas dan menggambarkan Islam sebagai sebegitu rupa.

“Mereka menuduh kita mengamalkan dasar ‘ethnic cleansing’. Saya nak tanya kepada pihak pembangkang bahawa samada mereka bersetuju ‘ethnic cleansing’ menjadi dasar kita (Kerajaan UMNO-BN)”, katanya.

Begitulah keadaanya bila Umno sendiri hilang keupayaan untuk berhadapan dengan kebangkitan kaum bukan Melayu.

PAS, pada dasarnya tidak berminat mencampuri urusan Hindraf dengan UMNO.

Presiden PAS sebelum ini telah menegaskan bahawa PAS sememangnya menolak dakwaan-dakwaan Hindraf terhadap orang Melayu khususnya dalam isu ‘ethnic cleansing’ dan juga tindakan Hindraf mempersoalkan isu Hak Orang Melayu dan Islam. PAS juga menolak sekiranya Kerajaan Umno-BN yang ada sekarang ini ingin mengamalkan dasar ‘ethnic cleansing’ dalam mengukuhkan kuasa mereka.

Dalam isu kali ini, Hindraf sebenarnya mengistiharkan ‘perang’ secara terbuka dengan Umno dan tindakkan itu sama sekali tidak berkaitan dengan orang Melayu dan Islam.

Walaupun nama Umno itu adalah singkatan bagi Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu tetapi realiti yang berlaku kini adalah tidak seperti yang tersurat pada nama Umno itu sendiri. Ramai orang Melayu yang tidak setuju dengan perjuangan Umno yang kini semakin jauh tersasar dari matlamat asal penubuhannya.

Orang-orang Melayu yang cerdik akal pada hari ini telah membuka atmosfera pemikiran mereka untuk meletakkan Islam sebagai jalan hidup dan perjuangan. Perkara ini adalah sesuatu yang belum dilakukan oleh pemimpin dan kebanyakkan ahli Umno. Mereka masih lagi taksub kepada doktrin kebangsaan sedangkan ramai anak-anak Melayu yang hilang identiti dan jati diri malah ada yang Murtad dan keluar terus dari Islam, iaitu agama nenek moyang mereka.

Disini, PAS tampil sebagai alternatif bagi membimbing umat Melayu untuk memahami betapa besarnya Islam berbanding soal bangsa. PAS tidak menguburkan pertautan kebangsaan dalam perjuangannya kerana bagi PAS, orang Melayu itu adalah mereka yang tegar memeluk Islam dan memperjuangkannya. Islam itu adalah agama yang lebih sempurna dari ideologi Kebangsaan yang diperjuangkan Umno.

Dalam aspek sejarah perjuangan, pemimpin-pemimpin PAS diakui oleh kebanyakkan rakyat dalam soal kejujuran dan keikhlasan mereka untuk berkhidmat kepada rakyat. Hak orang-orang Melayu dibawah pentadbiran PAS tetap terjaga sesuai dengan cara Rasulullah mewujudkan kelebihan kepada umat Islam ketika menjadi Perdana Menteri bagi Kerajaan Islam Madinah.

Disana ada bezanya dengan Umno yang gagal mempertahankan tanah-tanah Rizab orang Melayu dan juga telah menjual banyak sumber-sumber alam negara kepada bukan Melayu. Pemimpin-pemimpin Umno juga didapati mengunakan kuasa mereka bagi membahagi-bahagikan tanah kepada semua lapisan pimpinan mereka.

Kuota kemasukkan ke universiti di kawal ketat. Rayuan-rayuan untuk kemasukan ke Universiti hanya dilayan jika mendapat sokongan dari Ketua Umno Bahagian. Rayuan tersebut akan ditolak terus jika sokongan diberikan oleh pemimpin PAS walaupun mereka itu adalah ahli parlimen berbangsa MELAYU!.

Tidak cukup dengan itu, kontraktor-kontrakt or yang diketahui menyokong PAS langsung tidak diberikan peluang menyertai mana-mana projek Kerajaan.

Sehingga kini, walaupun dengan usaha melalui dasar-dasar di dalam siri Rancangan Malaysia dan Dasar Ekonomi Baru, Umno masih gagal membawa baki 8% orang Melayu keluar dari belenggu kemiskinan. Projek-projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) turut menjadi mangsa penyelewengan pemimpin Umno.

Dosa-dosa Umno kepada orang Melayu terlalu banyak sebenarnya. Dan inilah yang membataskan PAS dari menerima ‘rayuan’ pemimpin Umno dalam isu Hindraf ini.

Jika Hindraf ingin bermusuh dengan orang Islam dan Melayu, maka disaat itulah mereka terpaksa menghadapi kebangkitan Orang Melayu yang sebenar. Dan pemimpin PAS akan menjadi Panglima utama kepada kebangkitan ini.

Tetapi jika Hindraf ingin bermusuh dengan Umno, biarlah Umno menghadapinya sendiri. Orang Melayu sesekali tidak akan tunduk dan pasrah pada sentimen ‘Melayu’ yang hakikatnya tersembunyi agenda peribadi pemimpin Umno yang ingin mempertahankan Jawatan dan Kuasa diktaktor mereka.

Secara keseluruhannya, PAS adalah alternatif terbaik untuk mengembalikan kedaulatan bangsa Melayu dan memberikan keadilan kepada semua kaum. Maka, kebangkitan rakyat dalam membuat perubahan dalam pilihanraya akan datang adalah cara terbaik untuk melihat pemulihan masalah perkauman dan juga dasar-dasar negara yang lain.


Lawati Laman Rasmi Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan di http://dppwp. wordpress. com
Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket


To leave comments, please refer to latest posting at talkonly or http://talkonly.blogspot.com, thank you.

No comments: