Saturday, December 15, 2007

Negeri Selangor Juara Denggi

abi@

Assalamualaikum. ..
Tolong sebarkan perkara penting ini :-

Negeri Selangor merupakan negeri yang mempunyai kejadian denggi TERTINGGI di Malaysia. Sebanyak 14,814 kes denggi telah dilaporkan pada 1 Januari 2007 sehingga 1 Disember 2007 (48 minggu) berbanding sebanyak 12,284 kes sepanjang tahun 2006 dan 11,965 kes sepanjang tahun 2005. Ini adalah peningkatan 32% daripada tahun 2006.


Mengikut perangkaan statistik selama 10-18 tahun yang lepas, kadar insiden denggi di Negeri Selangor ialah sebanyak 100 kes setiap 100,000 populasi . Selepas tahun 2005 kadar ini telah meningkat kepada 300 kes setiap 100,000 populasi. Ini adalah peningkatan 3 kali ganda! Sebanyak 33 kematian telah dicatatkan pada tahun ini.
Jemput ke blog saya untuk mengetahui kenapa Selangor merupakan negeri yang paling tinggi kes Dengginya.. Apa itu denggi dan bagaimana untuk mengelakkan wabak denggi daripada menular...

Minta sampaikan perkara penting tentang denggi ini kepada orang lain...

Salam,
Dr Azwan
www.drazwan. blogspot. com


Monday, December 10, 2007
Negeri Selangor Juara Denggi!

Assalamualaikum Warahmatullah...

Pada 8hb Disember 2007, satu Majlis Pelancaran Kad Denggi Untuk Klinik Swasta Peringkat Negeri Selangor telah diadakan di Auditorium Hospital Serdang yang dirasmikan oleh Y.B Dato' Dr Lim Thuang Seng, Exco Pelancongan, Kesihatan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Selangor.

Saya telah mewakili Dr. Mohd Idzham dari Klinik Idzham untuk menghadiri majlis pelancaran tersebut. Majlis tersebut dianjurkan untuk memberi lebih kefahaman tentang peranan klinik swasta yang merupakan peringkat primer yang dikunjungi pesakit yang menghidapi denggi.



Statistik Terbaru


Negeri Selangor merupakan negeri yang mempunyai kejadian denggi TERTINGGI di Malaysia. Sebanyak 14,814 kes denggi telah dilaporkan pada 1 Januari 2007 sehingga 1 Disember 2007 (48 minggu) berbanding sebanyak 12,284 kes sepanjang tahun 2006 dan 11,965 kes sepanjang tahun 2005. Ini adalah peningkatan 32% daripada tahun 2006.


Mengikut perangkaan statistik selama 10-18 tahun yang lepas, kadar insiden denggi di Negeri Selangor ialah sebanyak 100 kes setiap 100,000 populasi . Selepas tahun 2005 kadar ini telah meningkat kepada 300 kes setiap 100,000 populasi. Ini adalah peningkatan 3 kali ganda! Sebanyak 33 kematian telah dicatatkan pada tahun ini.


Wabak denggi atau "outbreak" di Malaysia (jika saya tidak silap) bermaksud apa sahaja kejadian denggi melebihi daripada ?dua kes dalam selang masa 7 hari. Mengikut statistik, Seksyen u19, Kampung Baru Sungai Buloh (KBSB) di bawah Majlis Bandaran Shah Alam (MBSA) mencatat 192 kes dan telah diisytiharkan wabak selama 365 hari dalam masa setahun! Bermakna KBSB mengalami wabak sepanjang tahun....

Jika wabak Denggi dijadikan ukuran - MBSA juga patut menerima "Anugerah Penyapu" daripada MB Selangor....


Kenapa Kes Denggi Banyak Di Selangor?

Denggi merupakan penyakit virus bawaan vektor (pembawa) dan dikenali sebagai penyakit urban (bandar). Pembangunan yang pesat menjadikan virus ini susah hendak dikawal kerana di kawasan bangunan tidak siap menjadi tempat utama tempat pembiakan nyamuk. Ini dibuktikan dengan statistik. Melalui bilangan premis tapak binaan yang disiasat di Selangor, 57% didapati positif untuk indeks aedes. Sedangkan kawasan perumahan cuma menyumbang 1.3% kes positif.


Selangor juga mempunyai populasi tertinggi di Malaysia iaitu hampir 5 juta orang. Ini ialah 26% daripada total populasi Malaysia. Jadi tidak hairanlah Selangor mengepalai kes denggi dengan 32.5% daripada keseluruhan kes denggi iaitu 14,814 daripada 45,557 kes.

Pekerja warga asing yang banyak tertumpu di Selangor yang kebanyakannya tiada penempatan yang tetap dan berpindah randah mengikut pembangunan projek juga menyulitkan kawalan denggi secara optimum. Kebanyakan warga asing tinggal di struktur penempatan yang bersepah, tidak bersih dan kurang kemudahan kesihatan juga menyumbang kepada kes peningkatan denggi.


Apa itu Denggi?

Denggi ialah sejenis virus dari jenis Arbovirus di dalam genus Flavivirus. Ia adalah penyakit bawaan nyamuk jenis aedes. 2 jenis aedes yang popular di Malaysia ialah Aedes aegypti dan Aedes albopictus.

Nyamuk aedes boleh dikenali dengan belang-belang hitam putih pada badan dan kaki dan menyerang pada waktu subuh dan lewat petang. Nyamuk betina menghisap darah untuk proses bertelur.



Nyamuk aedes secara sendirinya TIDAK boleh menyebabkan denggi. Denggi tersebar apabila nyamuk aedes menghisap darah pesakit denggi dan mengalihkan virus denggi tersebut kepada mangsa-mangsa yang lain. Pesakit yang digigit nyamuk aedes tersebut pula akan menjadi sakit selepas 7-10 hari. Kemudian proses ini akan tersebar melalui nyamuk aedes kepada pesakit yang lain.




Tanda-tanda dan Diagnosis Penyakit Denggi


Antara tanda-tanda penyakit denggi ialah :-

* Demam yang tinggi - tidak kurang walaupun memakan paracetamol (panadol) selama 5-7 hari
* Sakit-sakit badan dan tulang (seperti patah tulang sakitnya)
* Sakit pada sendi
* Sakit belakang mata
* Kepenatan dan lemah badan
* Hilang selera makan
* Muka menjadi merah
* Keluar ruam-ruam merah halus seluruh badan
* Sakit perut (kerana salur darah perut mengecut)
* Muntah-muntah
* Cirit Birit
* Tangan dan hujung kaki terasa sejuk (tanda salur darah tangan dan kaki mengecut)
* Lebam secara tiba-tiba atau dengan sedikit hentakan (tanda pendarahan bawah kulit)
* Gusi berdarah
* Pendarahan lain
* Pengsan selepas demam tinggi
* Sawan selepas demam tinggi
* Sesak Nafas (tanda air di dalam paru-paru)
* Kencing berkurang (tanda salur darah di buah pinggang mengecut)

*** Pengecutan salur darah di sekitar badan untuk mengalirkan darah ke tempat penting seperti di otak dan jantung menandakan denggi semakin serius dan mungkin boleh mengalami Dengue Shock Syndrome ***

Pemeriksaan Darah :-

* Positif untuk Hess Test (50-60%% sensitif)
* Hematocrit > 40% (pemeriksaan kepekatan darah)
* Kiraan sel darah (Full Blood Count) - Platelet turun di bawah 100,000
* Sel darah putih turun di bawah 6,000 (leukopenia)
* Kiraan darah Neutrofil turun di bawah 4,000.
* Enzim AST meningkat di dalam hati
* Ig M meningkat selepas 6-7 hari
* Viral isolation dan PCR (dapat mengesan sejak awal tapi tidak kos efektif)


Kemasukan ke Hospital

Beberapa tahun yang lalu, kriteria seperti platelet di bawah paras 100,000 (di GHKL) atau 80,000 (di Hospital Selayang) diguna pakai untuk kemasukan ke wad. Namun begitu, ia tidak menjadi satu kriteria lagi sekarang.

Pesakit harus dinilai secara individu mengikut simptom masing-masing. Seseorang yang mempunyai platelet 70,000 adakalanya lebih sihat daripada mereka yang mempunyai platelet 100,000. Penilaian adalah bergantung kepada doktor yang bertugas di Jabatan Kecemasan di Hospital yang merawat.

Saya pernah merujuk satu kes Warga Indonesia ke UMMC yang menghidap demam panas selama 5 hari, lemah badan dan mempunyai ruam. Ujian darah menunjukkan platelet 49,000. Setelah dirujuk ke UMMC, dia disuruh pulang dan datang untuk mengambil darah pada keesokan harinya.

Kes yang akan dimasukkan ke wad hospital kerajaan ialah, tanda-tanda pesakit menghadapi demam denggi berdarah seperti pendarahan, perubahan status mental spt meracau, sesak nafas, sakit perut yang teruk dan tidak boleh minum dan makan kerana muntah berlarutan. (Jangan ingat kalau pesakit meracau - dalam kepala kita - dia disampuk hantu. Pesakit boleh maut tuan-puan!) Ataupun disyaki mengalami Dengue shock Syndrome iaitu hujung tangan dan kaki menjadi sejuk, tekanan darah rendah, kurang kencing dan sakit perut yang teruk.

Kita perlu faham oleh kerana sumber yang terhad di hospital kerajaan, katil yang tidak mencukupi dan pekerja kesihatan yang secara relatifnya kurang, maka kriteria untuk kemasukan ke hospital kerajaan menjadi lebih ketat. Untuk yang berkemampuan, anda boleh memilih untuk memasuki Hospital swasta. Anda akan diwadkan walaupun platelet anda 120,000 dan anda berasa sihat (poket pun kena sihat juga!).


Menyekat Wabak Denggi

Menyekat merebaknya penyakit denggi sedari awal adalah sangat-sangat perlu. Ini adalah kerana sekiranya ada pesakit yang dimasukkan ke dalam hospital kerana denggi, tindakan penguatkuasa untuk melaksanakan "fogging" atau "menyembur asap ubat" ke kawasan yang terlibat hanya akan dilakukan 10 hari daripada tarikh pesakit mula dijangkiti. Ini adalah kerana notifikasi ke pejabat kesihatan hanya dilakukan selepas pesakit di diagnosis di hospital. Adakalanya pesakit lambat ke hospital kerana masalah-masalah domestik menjadikan proses "fogging" lebih lambat.

Peranan klinik swasta untuk menyekat wabak denggi daripada merebak adalah penting kerana merekalah doktor pertama yang merawat. Adalah penting doktor merujuk pesakit ke hospital dengan awal dan menasihatkan pesakit untuk mengambil langkah berjaga-jaga.

1. Pesakit dinasihatkan untuk menjalani pemeriksaan darah sekiranya demam makin tinggi dan keadaan semakin teruk. Rujukan awal adalah perlu.
2. Keluarga pesakit harus memastikan tempat pembiakan nyamuk dibersihkan
3. Sesiapa yang mengetahui bahawa ada jiran mereka yang menghidap penyakit denggi harus berhati-hati, membersihkan kawasan sekeliling dan tidur menggunakan kelambu
4. Pesakit denggi tidak boleh keluar waktu lewat pentang dan subuh untuk mengelakkan digigit nyamuk. Jika boleh rehat di rumah sahaja.
5. Pesakit denggi harus memakai pakaian yang tertutup bagi mengelak gigitan nyamuk. Denggi hanya boleh merebak sekiranya nyamuk menggigit anda. Wabak denggi akan berhenti sekiranya nyamuk tidak dapat menggigit mana-mana mangsa selama 7 hari.
6. Sekiranya nyamuk masih ada, sementara menunggu fogging, gunakan ubat nyamuk semburan, untuk menyembur seluruh rumah. Gunakan ubat nyamuk di waktu malam.
7. Sekiranya proses fogging dilakukan, tolonglah.... jangan tutup pintu rumah sebab takut lantai atau dinding berminyak dek ubat tu... ada juga orang berfikiran begini... Nyawa lebih bernilai daripada segala barang berharga di rumah tersebut.
8. Nasihatkan teman rapat atau jiran untuk melaksanakan perkara-perkara di atas sekiranya terdapat sesiapa yang disyaki menghidap denggi.


Wallahu A'lam.

No comments: