Friday, December 7, 2007

Tuntutan pilihan raya adil belum selesai / PAS nyata komitmen sertai himpunan 11 Disember

(SABTU HARI KUNING! / YELLOW SATURDAYS!)
Tuntutan pilihan raya adil belum selesai / PAS nyata komitmen sertai himpunan 11 Disember

Detikdaily
Tuntutan pilihan raya adil belum selesai dengan 10 Nov
Posted on Thursday, December 06 @ 19:37:53 EST by reformis
Wawancara
Islam Hadhari patut meneladaninya. Sebagai seorang bukan Islam saya boleh lihat keindahan peribadi dan teladan seorang tokoh hebat pemimpin Islam. Kalau BN lupa teladan Khalifah Umar Abdul Aziz itu, maka PAS boleh ambil contoh tersebut dan tunjukkan kepada BN.

Oleh Intan Abdullah

Kesan perhimpunan 100,000 rakyat, anjuran Bersih, pada 10 Nov di hadapan Istana Negara terus diperkatakan banyak pihak. Pemimpin kerajaan turut melatah, terutama sebagai reaksi kepada laporan media antarabangsa. Sekurang-kurangnya perbincangan tentang pilihan raya adil dan bersih kian meluas, memaksa pemerintah mencari pelbagai daleh.
Dari segi lain, rakyat mula terdedah dengan pendidikan politik dan mula melihat kepada sistem alternatif yang diamalkan di negara-negara lain. Ia bukan lagi sekadar penipuan tradisi seperti pengundi hantu dan isu daftar pemilih. Wong Ching Huat, pakar rujuk bagi Bersih, mempunyai pandangan tersendiri, yang dikongsikan bersama INTAN ABDULLAH dalam satu temuramah khas pada 26 Nov lalu.

HARAKAH: Kesan perhimpunan Bersih, 10 November lalu kepada rakyat.
WONG: Impaknya sangat besar, kehadirannya luar biasa. Ada media menggambarkan ia adalah satu-satunya perhimpunan terbesar dalam tempoh hampir sedekad.
Ia juga menjelaskan fenomena political bubble apabila Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi telah menyebarkan kepada rakyat dan dunia luar bahawa keadaan ekonomi negara berkembang tetapi hakikatnya tidak begitu. Kini rakyat secara terbuka mempertikai kewibawaan Abdullah.

Sewaktu kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, perhimpunan 100,000 ribu umat di Lebuhraya Kesas merupakan simbolik kepada penolakan terhadapnya. Rasa tidak puas hati kepada Dr Mahathir berjaya dineutralkan apabila Abdullah menggantikannya. Beliau menunjukkan dirinya sebagai alternatif yang lebih baik berbanding pemerintahan Mahathir.

Walaupun banyak penyelewengan semasa pilihan raya umum 2004, Abdullah jelas mendapat sokongan yang lebih berbanding Mahathir. Kita tidak boleh menidakkan perkara ini. Namun, kemenangan besarnya itu diragui.

Dan Bersih sedang cuba menggambarkan bahawa segala harapan yang diberikan kepada Abdullah telahpun lupus. Beliau bukan seorang reformis yang boleh diharapkan.

Abdullah juga tidak prihatin dengan perjalanan sistem pilihan raya. Bagi saya, kalau beliau berjaya merubah sistem pilihan raya, rakyat tidak kisah dan akan memaafkannya. Ini kerana rakyat Malaysia sangat pragmatik. Secara analoginya, asalkan ubat itu boleh merawat penyakit, mereka tidak kisah ia datang dari mana.

Jika Abdullah mengotakan kata-katanya untuk melaksanakan perubahan, nescaya rakyat tidak perlu turun ke jalan raya bagi menuntut pilihan raya bersih dan adil. Apa pun, Bersih berjaya membocorkan political bubble itu. Perhimpunan 10 Nov adalah bukti ketidakyakinan rakyat kepada PM.

Apakah 'mood' atau sensitiviti rakyat tertakluk kepada tokoh?
Ya, ia bukan pada institusi. Kejayaan perhimpunan Bersih ini juga menunjukkan rakyat Malaysia berada pada tahap kematangan. Mereka meluahkan rasa tidak puas hati terhadap sistem pilihan raya yang penuh ketempangan.
Pasti ada yang tidak betul kepada sistem dan institusi pilihan raya kita apabila rakyat bangkit menyatakan bantahan. Perumpamaan pilihan raya yang tidak bersih seperti adanya unsur penipuan dalam peperiksaaan, misalnya soalan bocor atau orang lain menyamar menggantikan calon sebenar.

Kalau menipu boleh membantu anda berjaya dalam peperiksaan, mengapa anda perlu belajar? Akhirnya peperiksaan itu tidak mempunyai fungsi lagi. Ia tidak lagi boleh menjadi kayu ukur untuk orang menilai kehebatan seseorang itu dari segi ilmunya.

Apa penanda aras yang menyatakan himpunan 10 Nov berjaya?
Walaupun dihalang dengan pelbagai cara yang menakutkan, puluhan ribu orang tetap muncul di depan Istana Negara. Kalau rakyat tidak mempedulikan tuntutan Bersih, mereka akan hanya duduk di rumah.

Malah, orang kurang upaya pun turut menyertainya. Dan sewajarnya kita tidak boleh memperkecilkan pandangan dan aspirasi golongan ini. Sebahagian mereka bukan orang politik. Rakyat jelata memang inginkan perubahan.

Adakah rakyat sanggup mempopularkan simbol gerakan ini iaitu warna kuning?
Saya rasa ia sangat penting. Kalau rakyat cuma sekali turun ke jalan raya dan menyatakan tindakan itu adalah segala-segalanya, saya rasa itu tidak akan berubah. Kalau diisytiharkan rakyat harus memakai warna kuning pada hari Sabtu, semua pemimpin parti politik serta NGO yang turut sama menyokong tuntutan Bersih hendaklah komited menunjukkan kesungguhan.
Ia juga untuk menggalakkan rakyat dan menunjukkan bahawa isu tersebut belum lagi mati atau menjadi pudar. Maknanya, ia masih berterusan. Ia juga akan menyebabkan kerajaan Umno-BN rasa paranoid dengan warna kuning kerana di mana-mana tempat mereka akan nampak kuning pada setiap Sabtu. Ia juga memberikan tekanan berterusan kepada SPR.

Saya tertarik dengan tuntutan Bersih mengenai akses kepada media. Boleh huraikan lebih lanjut?

Media harus melaporkan kedua-dua belah pihak, tidak kira pembangkang atau pemerintah. Misalnya, siaran tv wajar mesti menyiarkan perhimpunan Hindraf dan perarakan Bersih supaya seluruh rakyat dapat menilai. Biar rakyat yang tentukan siapa yang benar atau salah.

Di Australia dan Amerika Syarikat, semua parti boleh membentangkan manifesto pilihan raya, boleh bersoal jawab dan berdebat sesama calon. Penonton juga boleh mengutarakan soalan dan pandangan mereka.

Jika tuntutan bagi memastikan pilihan raya berjalan secara adil dan bebas tidak dijamin dapat dilaksanakan dalam pilihan raya akan datang, maka Yang di-Pertuan Agong boleh menolak permohonan Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen.

Dari segi amalan demokratik, apa yang sepatutnya berlaku?

Kerajaan mesti berkecuali dalam politik. Sebagai parti mereka boleh berkempen, tetapi sebagai kerajaan mereka harus menjaga batasannya. Mereka tidak boleh menggunakan sumber dan harta kerajaan untuk kepentingan parti politik.

Mereka harus ambil teladan Khalifah Umar Abdul Aziz, misalnya ketika beliau membaca dokumen kerajaan, beliau akan menggunakan pelita kerajaan, sebaliknya apabila membaca buku peribadi, beliau akan memadamkannya, dan menyalakan pelitanya sendiri.

Apabila ditanya mengenai tingkah laku tersebut, beliau menjawab bahawa pelita dan minyak itu adalah untuk kepentingan dan hak kerajaan, tidak sesekali boleh digunakan untuk kepentingan diri.

Islam Hadhari patut meneladaninya. Sebagai seorang bukan Islam saya boleh lihat keindahan peribadi dan teladan seorang tokoh hebat pemimpin Islam. Kalau BN lupa teladan Khalifah Umar Abdul Aziz itu, maka PAS boleh ambil contoh tersebut dan tunjukkan kepada BN.

Yakni, menggubal undang-undang negeri untuk tunjukkan apa itu 'keberkecualian pentadbiran' . Ia mengarahkan kakitangan kerajaan negeri untuk membezakan hal politik parti dan urusan kerajaan.

PAS harus pastikan ia berlaku di Kelantan. Mungkin akan ada pihak yang mempersoalkan, mengapa perlu buat begitu, seolah-olah mengikat tangan sendiri. Tetapi kerajaan PAS harus menunjukkan teladan unggul. Rakyat akan menilai dengan mengatakan, kalau PAS boleh tunjukkan teladan sebagai parti pemerintah, kenapa BN tak boleh?

Bagi saya, harapan demokratisasi yang paling besar di peringkat ini adalah pada PAS. Untuk rakyat melihat kebaikan pembaharuan itu, mereka harus dapat bayangkan apa itu pembaharuan. Kalau parti pembangkang sekadar cakap, maklumat tidak akan dimaklumkan kepada rakyat kerana media dikawal kerajaan.

Sebaliknya jika PAS Kelantan berjaya melakukannya dengan menggubal rang undang-undang atau polisi, rakyat akan dapat lihat pembaharuan itu. Dan Kerajaan BN akan tertekan untuk turut ikut sama. Contohnya, pengurangan jumlah hari bekerja kepada lima hari dan cuti bersalin selama 60 hari yang dipelopori oleh Kerajaan Kelantan, kemudiannya dituruti Kerajaan BN.

Adakah Bersih mampu menggantikan BA dan bertanding dalam pilihan raya?
Untuk Bersih gantikan BA bagi parti-parti politik, mereka perlu ada rasa saling percaya sesama sendiri. Saya rasa ia terlalu tidak matang untuk dibincangkan masa ini.

Mungkin tidak semua anggota daripada gabungan NGO mahu menyertai politik. Ada juga yang belum bersedia untuk menyertai politik dan tidak ingin Bersih menjadi kenderaan atau platform parti.

*****.*.**** *

PAS nyata komitmen sertai himpunan 11 Disember
Wan Nordin Wan Yaacob
Thu | Dec 06, 07 | 3:16:35 pm MYT
KUALA LUMPUR, 6 Dis (Hrkh) - PAS hari ini menyatakan komitmennya untuk menyertai himpunan aman anjuran Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) di hadapan Parlimen 11 Disember ini sebagai tanda sokongan bersama.
Sila layari www.englishsection. com untuk Laman Utama English Section atau www.harakahdaily. net/wap/ untuk melayari HarakahDaily. Net menggunakan telefon bimbit GPRS (General Packet Radio Service) anda.

Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar berkata, parti itu akan menyertai himpunan itu yang baginya bukanlah satu himpunan yang besar tetapi ia adalah untuk menyatakan bantahan kepada usaha kerajaan melanjutkan usia persaraan anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Katanya lagi, himpunan ini satu perhimpunan aman dan pada prinsipnya ia satu himpuann yang sah malah tiada kaitan yang menyatakan ia bercanggah dengan perlembagaan.

Katanya himpunan untuk menyatakan suara ini adalah hak rakyat yang ada dalam prinsip yang ditetapkan dalam perlembagaan persekutuan.

Beliau juga menyelar kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang menyatakan bahawa himpunan perlu mendapatkan permit dan selaras dengan perlembagaan.

Kamarudin menyatakan, soal permit adalah tertakluk di bawah akta polis dan ia bukan selaras dengan perlembagaan.

"Itu lagi tak betul.Tiada dalam perlembagaan yang kata tidak boleh himpun," kata Kamarudin.

Beliau juga memaklumkan bahawa himpunan ini akan berjalan secara aman dan sebagaimana amalan biasa, penganjur akan minta polis mengawal himpunan itu antaranya untuk tidak mengganggu lalu lintas.

Terdahulu sebelum ini, Bersih dalam satu kenyataanya berkata pihak tersebut akan mengadakan satu himpunan aman di hadapan perkarangan Parlimen bagi membantah usaha kerajaan meminda perlembagaan bagi melanjutkan usia persaraan kakitangan SPR.

Kerajaan dikatakan akan meminda Perlembagaan untuk melanjutkan umur persaraan anggota-anggota SPR dari usia 65 ke 66 bagi membolehkan Rashid terus berkhidmat.

Usul tersebut buat kali pertamanya dibentang secara tergesa-gesa untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 20 November lepas oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohammed Nazri Abdul Aziz.

Ia akan dibacakan untuk kali kedua pada 11 Disember ini, kata satu kenyataan Bersih.

Menurut satu kenyataan Bersih, perhimpunan akan diadakan pada jam 10 pagi di perkarangan bangunan Parlimen pada tarikh itu.

BN amat memerlukan khidmat Rashid yang licik bagi memastikan kemenangan dalam pilihanraya akan datang.

* Klik untuk Sumbangan Dana Pembaca HarakahDaily. Net.


HARI SABTU PAKAI KUNING! / WEAR YELLOW ON SATURDAYS!
Lawati laman 10November di http://10nov. himpunan. info/
Lawati laman Bersih di http://bersih. org/

*** - ***
JANGAN LUPA: HARI SABTU PAKAI KUNING!
Link Baru webtv8 di http://wtv8. tv/v2/ tvpas di http://www.tvpas. com/


To leave comments, please refer to latest posting at talkonly or http://talkonly.blogspot.com, thank you.

No comments: