Friday, November 30, 2007

UMNO juga boleh kumpulkan 100,000 penyokong!!!

"Wan"

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak mendakwa Umno dan BN mampu mengadakan perhimpunan lebih besar daripada perhimpunan anjuran Bersih.

Ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali Kebangsaan 2007 di Brickfields, 11 November lalu, Najib dilaporkan berkata:

"Kalau diikutkan, BN mampu mengadakan perhimpunan yang lebih besar daripada perhimpunan Gabungan Bagi Pilihan Raya Bersih dan Adil semalam (10 November) yang mengumpulkan kira-kira '10,000 orang'.

"BN mampu mengumpulkan (bilangan peserta) lebih besar daripada jumlah semalam kalau itu yang kita mahu untuk menunjukkan sokongan rakyat kepada kerajaan dan parti. Namun itu bukan budaya rakyat negara ini," katanya.

Najib memberitahu, rakyat negara ini perlu berpegang kepada Perlembagaan Negara dan menjadikan Rukun Negara teras dan landasan hidup bermasyarakat. Katanya, mereka perlu berusaha gigih mengekalkan kestabilan dan keharmonian sedia ada.

Beliau menegaskan, sekiranya semua pihak menggunakan demokrasi jalanan, perpaduan negara yang dibina oleh pemimpin-pemimpin akan musnah.

Betulkah itu alasan sebenar Umno tidak mahu mengadakan perhimpunan rakyat 'yang lebih besar' daripada perhimpunan anjuran Bersih?

Tiada siapa yang boleh menafikan kemampuan Umno dan BN untuk mengumpulkan para penyokongnya. Dalam sejarah parti itu, mereka mampu mengumpulkan ribuan penyokong di setiap negeri jika mahu. Ia tidak dianggap perhimpunan haram oleh polis, malah mendapat kerjasama padu!

Tidak menjadi satu keganjilan jika polis akan mengadakan sidang akhbar untuk menghebahkan kepada peserta perhimpunan raksasa Umno dan BN tentang perkara yang patut dan tidak patut dilakukan sepanjang 'perhimpunan halal' itu; jalan mana yang harus diikuti; kawasan mana perlu diletakkan motosikal, kereta dan bas; dan berapa ribukah anggota polis yang mengawal 'keamanan'.

Maka seluruh kakitangan dan jentera kerajaan pun dikerah untuk memastikan kejayaan perhimpunan itu termasuk budak-budak sekolah.

Tetapi berapakah kosnya?

Katakanlah Umno mahu menggerakkan seratus ribu penyokong parti dan parti gabungan BN untuk menyerahkan memorandum mempertahankan kebobrokan SPR; sekaligus menyatakan sokongan tidak berbelah-bahagi kepada Presiden Umno yang dicabar oleh seratus ribu rakyat dalam perhimpunan menyerahkan memorandum kepada Yang diPertuan Agung di ibu negara, 10 November lalu. Berapakah belanja yang diperlukan?

Di bawah adalah ilustrasi gambaran bajet Umno:
1. Kebiasaannya setiap peserta akan diberi duit poket. Katakanlah setiap penyokong diberikan RM50. Bagi menggerakkan 100 ribu penyokong, BN terpaksa membelanjakan RM5 juta untuk tujuan itu!

Nota: Bagaimanapun tidak semua penyokong yang akan menerima RM50. Sebahagian besar mereka hanya menerima RM20 dan RM30 kerana sebahagian peruntukan masuk ke poket Ketua Bahagian atau pemimpin-pemimpin peringkat bahagian.

2. BN juga perlu menyediakan 2272 buah bas percuma untuk mengangkut para penyokong ke Putrajaya. Bas itu semestinya berhawa dingin walaupun sesetengahnya tidak mempunyai permit perjalanan (biasalah... boleh 'runding' dengan JPJ). Jika dianggarkan setiap bas disewa pada harga RM600 (purata untuk seluruh negeri Semenanjung) , maka perbelanjaan yang perlu dikeluarkan adalah RM1.36 juta.

Nota: Seperti kebiasaan, ketua-ketua bahagian akan mark-up tambang bas sekali ganda daripada kadar sewaan apabila membuat tuntutan, ataupun menyewakan bas tidak berhawa dingin yang kadar sewanya kurang daripada bas berhawa dingin, walaupun peruntukan sewanya sama. Biasalah... lebihan duit akan masuk ke poket pemimpin bahagian. Oleh itu, belanja sewa bas akan lebih tinggi daripada peruntukan.

3. BN juga perlu menyediakan nasi bungkus dan air mineral kepada para penyokongnya. Katakanlah harga nasi bungkus adalah RM3.50 se pek dan air mineral RM1 sebotol. Oleh itu BN perlu menyediakan kira-kira RM450,000 untuk tujuan itu. Para peserta juga akan disediakan dua botol lagi air mineral sepanjang perhimpunan dengan peruntukan tambahan RM200,000 menjadikan perbelanjaan makan minum kepada RM650,000.

Nota: Biasalah... Peruntukan makan akan 'diubahsuai' oleh pemimpin bahagian menjadi RM2.00 ataupun RM1.50 se pek. Selebihnya akan masuk ke 'tabung kebajikan' pemimpin. Peserta akan dijamu dengan nasi putih, sayur kangkung separuh masak dan ikan kembung yang dibahagi dua. Tidak mustahil jika bajet air mineral dinaikkan kepada RM2 ataupun RM3 sebotol walaupun harganya RM1 bagi 0.5L. Biasalah... kalau kementerian boleh mark-up harga dan menteri tak kena siasat dengan BPR, takkan Umno bahagian tak boleh.

4. Para peserta juga akan disediakan dengan baner atau kain pemidang. Katakanlah, dua kain pemidang disediakan untuk setiap bas. Oleh itu sebanyak 4544 banner akan membanjiri Putrajaya. Katakanlah setiap baner ditempah pada harga RM200; BN perlu membelanjakan hampir RM1 juta (RM908,800) bagi tujuan itu. Ini tidak termasuk belanja poster-poster gambar Dolah, Najib, Samy Vellu, Ong Ka Ting, MB, KM dan lain-lain pemimpin BN yang bakal dijulang dalam perhimpunan itu.

Nota: Seperti kebiasaan, bajet ini tidak termasuk harga 'mark-up' yang selalunya 100%, 200% mahupun 300% dari harga sebenar. Biasalah... kalau Kementerian Pertahanan boleh keluarkan pembayaran RM1000 juta tanpa sebarang dokumen (vocer pembayaran hilang lapor Ketua Audit Negara!), apalah sangat harga banner yang di'mark-up'.
5. Selain daripada kos dianggar RM8,010,000 di atas, perbelanjaan besar juga membabitkan lain-lain perkara atau 'perbelanjaan luar jangka'. Ini termasuk duit poket untuk para petugas dan jamuan untuk VIP dan VVIP di hotel-hotel sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Kita boleh anggarkan perbelanjaan yang bakal dikeluarkan untuk memperlihatkan sokongan kepada kerajaan BN adalah RM10 juta!
Bajetnya datang dari mana? Tahu sama tahu aja lah...


To leave comments, please refer to latest posting on talkonly.blogspot.com , thank you.

No comments: